Friday, 2 October 2009

BANGUNAN RUNTUH DI IPOH!!





































kejadian berlaku di fair park ipoh dalam pukul 9.30 mlm tadi....kawasan yang biasa aku lalui tiap2 hari!setakat ini yang aku tahu angka korban 2 orang...bangunan lama ini memang hendak diruntuhkan tapi mlm ni tiba2 runtuh!


BERITA DARI UTUSAN MALAYSIA
2 terbunuh kereta dihempap bangunan
03/10/2009 12:41am

Oleh Zaini Raban dan Amizul Tunizar Ahmad

IPOH 2 Okt. - Dua terbunuh manakala seorang cedera parah apabila kereta mereka dihempap sederet bangunan lama dua tingkat yang runtuh secara tiba-tiba di Jalan Kamaruddin Isa di sini kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Ketika kejadian, tiga remaja berusia dalam lingkungan 20-an yang menaiki kereta Perodua Viva berwarna putih itu sedang dalam perjalanan dari Taman Fair Park menuju ke pusat bandar.

Pemandu kereta tersebut cedera parah manakala dua rakannya yang menumpang mati di tempat kejadian.

Sehingga pukul 12.15 malam ini, identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira pukul 10.45 malam.

Menurutnya, semua mangsa daripada kenderaan berkenaan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya, runtuhan itu turut mengenai tiga buah kenderaan lain iaitu kereta jenis Perodua Kenari, Perodua Kelisa dan Honda Accord.

Bagaimanapun, katanya, semua pemandu dan penumpang tiga kenderaan itu tidak mengalami kecederaan serius.

``Setakat ini polis masih menyiasat punca kejadian dan kita difahamkan kerja-kerja meruntuhkan bangunan lama ini memang sedang dijalankan sejak pagi tadi.

``Jadi kita mahu tahu sama ada kerja-kerja meruntuhkan bangunan lama ini mengikut prosedur yang sepatutnya atau tidak,'' katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Zulkifli berkata, pihaknya juga sedang menyiasat siapakah pemilik bangunan tersebut bagi mendapatkan penjelasan secara lebih menyeluruh.

Katanya, bagi menjaga keselamatan awam, jalan tersebut akan ditutup kepada orang ramai sehingga kerja-kerja membersihkan runtuhan selesai dijalankan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sebuah kren yang dipercayai menjalankan kerja-kerja meruntuhkan tujuh pintu bangunan lama dua tingkat itu masih berada di tempat kejadian.

Kedudukannya begitu hampir dengan kereta Perodua Viva tersebut serta tiga lagi kenderaan yang terlibat dengan insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang turut melawat tempat kejadian berkata, bangunan itu dimiliki oleh beberapa individu berlainan.

Katanya, difahamkan semua pemilik sudah bersetuju untuk merobohkan bangunan tersebut bagi membina bangunan baru.

``Saya juga difahamkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah memberi kelulusan untuk kerja-kerja merobohkan bangunan ini tetapi saya tetap mahu siasatan menyeluruh dibuat dengan segera.

``Ini termasuklah bagi menjawab persoalan kenapa kerja-kerja meroboh masih dilakukan pada waktu malam tanpa pemantauan MBI,'' katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan negeri berjanji membantu keluarga mangsa yang terlibat.

- Utusan

Thursday, 1 October 2009

Nik Aziz jemput Mahathir lawat Kelantan

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melawat dan melihat sendiri pembangunan di bawah pentadbirannya di Kelantan.

Beliau berkata, tidak perlu bekas Perdana Menteri itu datang ke pejabatnya (secara rasmi) untuk meninjau sejauh mana kejayaan yang dicapai sepanjang mentadbir negeri ini yang dianggap mundur dan tidak membangun itu.

Nik Aziz mendakwa, pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri ialah pembangunan dari segi fizikal dan pembersihan minda dan ini paling penting berbanding pembangunan fizikal.

“Kenyataan itu, (kononnya) kerajaan negeri di bawah tadbiran saya ini tidak maju dan mundur, tidak betul.

“Sebab itu saya jemput dia mari sendiri tengok dari segi pembangunan fizikal, sekarang ada KB Mall, ada Hotel Renaissance, ada pasar raya Tesco, ada Parkson, ada Nirwana, dia boleh tengok sendirilah,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Menteri Besar Kelantan itu harus bertanggungjawab terhadap kemunduran negeri itu di bawah pentadbiranya.

Dr Mahathir berkata, pada satu tahap tertentu, beliau (Nik Aziz) bertanggungjawab terhadap kemunduran Kelantan. Beliau perlu menerimanya. Di negara lain, orang akan letak jawatan jika mereka gagal.

Nik Abdul Aziz berkata tindakan perubahan utama yang dilaksanakan di Kelantan adalah membetulkan tauhid orang Islam di negeri tersebut termasuklah isu halal dan haram.

Antara perubahan yang dibawa adalah menutup premis judi nombor ekor, menghadkan penjualan arak, melaksanakan sistem gadaian Islam dan mengimarahkan masjid.

“Brain wash yang paling penting sekali, daripada syirik kepada tauhid dan Kelantan sekarang ni tegak di atas Islam, halal haram kami ambil peduli,” katanya.

Mursyidul Am PAS itu juga memberi contoh pembangunan ala pembersihan minda yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinannya dibuat sebelum hari raya barubaru ini.

Di bawah program itu, belia Islam berkerjasama dengan belia Cina dan India membahagikan juadah dan air minuman untuk berbuka puasa di jalan Kuala Krai kepada pemandu kenderaan (anak Kelantan di perantauan) yang pulang berhari raya. BERNAMA

Sunday, 27 September 2009

JANGAN hidupkan penghawa dingin sebaik menaiki kereta!

Oleh:Izo

Harap dapat berkongsi dengan sahabat anda yang lain.

Bukalah tingkap terlebih dahulu sebaik memasuki kereta anda dan jangan sama sekali menghidupkan pendingin hawa.

Berpandukan kepada kajian yang dijalankan, dashboard, sofa, pewangi udara menghasilkan Benzene, sejenis toksin yang menyebabkan kanser (carcinogen)
ia dapat dikenalpasti melalui bau yang terhasil dari haba bahan plastik di dalam kereta). Disamping menyebabkab kanser, ia juga bertindak sebagai racun bagi tulang, menyebabkan anemia dan mengurangkan sel darah putih. Tindakan ini jika dibiar berlarutan akan menyebabkan Leukemia, meningkatkan risiko menghadapi kanser di samping punca keguguran.

Kadar pendedahan Benzene yang dibenarkan ialah 50 mg bagi setiap kaki persegi. Kereta jika diparkir di kawasan berbumbung dengan tingkap tertutup menghasilkan 400-800 mg Benzene. Jika dibiarkan dikawasan yang terdedah dengan tingkap yang tertutup pada suhu 60 darjah fahrenheit, tahap Benzene boleh meningkkat sehingga 2000-4000 mg, iaitu 40 kali dari tahap yang dibenarkan.. . dan penumpang di dalamnya akan menyedut toksik yang berlebih2an secara tidak sedar.

Cara yang dicadangkan untuk mengelakkan perkara ini daripada berterusan ialah dengan membuka tingkap dan pintu terlebih dahulu untuk memberi udara di dalam beredar keluar. Benzene adalah sejenis toksik yang boleh mencemar buah pinggang dan hati, dan sukar pula bagi tubuh manusia untuk menyahkeluarkan toksik tersebut apabila.

izoblog.com

INDEKS RASUAH..TAHNIAH! MALAYSIA KECUNDANG KEPADA BOTSWANA?..KAHKAHKAHKAH

Rasuah: Malaysia merudum lagi, negara Islam tercorot

Politik KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketika Pulau Pinang diiktiraf kerana usahanya memerangi rasuah oleh Transparency International (TI), Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.

Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikelaurkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.

Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.

Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.

Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 bilion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 150,000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.

Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.

Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep semak dan imbang.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.

Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Satu-satunya sisi yang positif dari laporan tersebut mengenai Malaysia ialah pengiktirafan yang diberikan kepada kerajaan Pulau Pinang dalam memerangi rasuah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan pihaknya menerima pujian itu dengan rendah hati.

Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mengurangkan RM36 juta atau 12 peratus perbelanjaan operasi hasil usaha memerangi rasuah itu.

Harakahdaily/

Saturday, 26 September 2009

SELCAT!....kenyataan dari YB khalid samad..

"apakah sukar sangat untuk kita berpakat dan berkerjasama secara jujur dan ikhlas? Bukankah kejujuran dan keikhlasan itu dituntut oleh Islam? Adakah kerana kita merasakan kita Parti Islam dan yang lain tidak, maka kita tidak perlu berlaku jujur dalam kerjasama kita bersama mereka? Adakah kita sudah begitu sesat dengan fahaman Yahudi Zionis sehingga menganggap setia kepada janji dengan bukan Islam adalah satu kesalahan?"


Baru-baru ini kita terpaksa menangani ‘krisis jadian’ sekali lagi di Selangor. Krisis kali ini berhubung persoalan kaedah sesi soal siasat terbuka yang berlangsung melalui SELCAT, khususnya terhadap pegawai-pegawai kerajaan. Mereka dikatakan telah ‘dibuli’, ‘diperbudak-budakkan’ dan ‘dihina’ semasa perjalanan sesi tersebut. Di atas alasan ini maka dikeluarkan kenyataan mengkritik perjalanan sesi soal siasat tersebut di dalam media.

Seperti yang boleh dijangkakan, kritikan terbuka sebegini oleh Dato Dr. Hassan Ali, sebagai seorang Ahli Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh media arus perdana. Kritikan-kritikannya digunakan untuk menyatakan kononnya wujud perbalahan dan berbagai masalah dalam PR Selangor.

Sebenarnya, kita semua menyedari bahawa SELCAT merupakan perkara yang baru. Sesi soal siasat terbuka seperti ini sememangnya merupakan satu amalan yang tidak biasa dilakukan di negara kita ini. Oleh itu sudah pasti akan ada reaksi yang kurang baik dan mungkin akan ada juga kelemahan-kelemahan yang perlu diatasi. Saya difahamkan bahawa sudah pun dibuat teguran-teguran kepada pihak yang berwajib bagi memperbaiki beberapa kelemahan yang telah pun dikenalpasti. Teguran-teguran itu telahpun diterima dengan baik di atas semangat kebersamaan dan kerjasama.

menjadi masalah ialah apabila Dato Dr Hassan membuat pendedahan dan kritikan berhubung persoalan ini kepada pihak media arus perdana. Diambil olehnya posisi sebagai pengkritik dan pembangkang, mengkritik kerajaan PR, sedangkan beliau sepatutnya memainkan peranan sebagai ahli exco yang sedang bersama berusaha untuk mengasaskan budaya ketelusan, pertanggungjawaban dan keamanahan yang hampir tidak wujud semasa zaman BN dahulu. Diluah pula apa yang tidak dipersetujuinya kepada akhbar arus perdana yang dikenali semua sebagai alat pihak lawan.

Semestinya apabila diserang sebegitu, oleh orang yang dianggap rakan, ramai dari ADUN PR yang terperanjat. Lebih-lebih lagi apabila teguran-teguran yang sama telah pun dibincang bersama secara tertutup dan telah juga diambil kira. Tindakan beliau dilihat sebagai usaha untuk menonjolkan diri sebagai pembela pegawai-pegawai ini, sambil dalam masa yang sama SELCAT pula digambarkan sebagai pihak yang menzalimi mereka!

Bagi saya, yang ‘membuli’, ‘memperbudak-budakkan’ dan ‘menghina’ pegawai-pegawai kerajaan gred atasan ini ialah pentadbiran BN dahulu. Ini mereka lakukan apabila mereka mengarah pegawai-pegawai atasan ini supaya membenarkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi setiap DUN dihabiskan dalam tempoh 2 bulan sedangkan ianya peruntukan untuk setahun! Mereka dipaksa mengenepikan peraturan-peraturan tetap dan dalam pada itu diugut dengan tindakan tata-tertib sekiranya tidak akur. Ini ‘buli’ dan ini ‘memperbudakkan’. Sebaliknya, tindakan kerajaan PR ingin mendidik dan memartabatkan jawatan pegawai-pegawai kanan ini dengan menjelaskan kepada mereka amanah dan tanggungjawab yang datang bersama jawatan yang penting sebegitu.

Hasil tindakan mengkritik SELCAT secara terbuka oleh Dato Dr Hassan, dan ini bukan merupakan kali pertama tindakan sebegini dilakukannya, telah pun menjejaskan imej PR dan PAS.

PR kelihatan sebagai sebuah kerjasama dan gabungan yang rapuh, lemah dan tidak kukuh. Ia dilihat sentiasa bertelagah satu sama lain walaupun telah bersama selama lebih dari setahun. Imej lemah sebegini memang diusahakan oleh BN dan dengan tindakannya itu, beliau telah pun secara tidak langsung membantu BN dalam usaha mereka untuk memperlekehkan PR. Segala usaha PR untuk menzahirkan imej bersatu, kukuh dan padu digagalkannya dengan tindakan sebegini.

PAS pula dilihat sebagai parti yang bersifat ‘talam dua muka’atau ‘gunting dalam lipatan’. Duduk bersama Exco membincang segala pendekatan tetapi menempelak kerajaan PR pada setiap peluang yang diperolehinya. Dalam bahasa Inggeris ada istilah ‘one-up manship’ yang bermakna usaha untuk menaikkan nama sendiri dengan menjatuhkan nama ‘kawan’. Orang yang sebegini tidak ada yang ingin jadikan sebagai kawan. Dia sentiasa mengambil kesempatan untuk menjatuhkan imej kawan demi menaikkan imej sendiri. Golongan ini dijadikan kawan hanya apabila tiada pilihan lain atau terpaksa.

Sepatutnya sebagai Parti Islam, PAS adalah parti yang ingin disepakati oleh semua kerana jujurnya, amanahnya, setianya, lurusnya dan telusnya. Parti Islam tidak akan khianat kerana sentiasa boleh diharapkan dan dipercayai. Berpegang kepada janjinya dan bukan jenis cakap lain, buat lain. Malangnya buat masa ini di Selangor, PAS tidak mempunyai imej yang sebegitu. Apabila disebut sahaja ‘lompat’ di Selangor, semua melihat pada PAS. Ini adalah hasil dari tindakan-tindakan ‘one-up manship’ yang telah berlaku selama ini.

PAS dilihat mempunyai agenda tersendiri yang dirahsiakan dan tidak dikongsi bersama dengan rakan Pakatan. Ini menimbulkan syak wasangka dan boleh menggagalkan PR. Kenyataan-kenyataan yang saling bercanggah yang dikeluarkan selepas ditegur hanya menimbulkan kesangsiaan. Sekejap dikatakan hakim pencen, sekejap tidak. Sekejap dikatakan ingin mengkaji semula kedudukan dengan PR, sekejap tidak! Keliru lagi mengelirukan!

Saya tidak faham, apakah sukar sangat untuk kita berpakat dan berkerjasama secara jujur dan ikhlas? Bukankah kejujuran dan keikhlasan itu dituntut oleh Islam? Adakah kerana kita merasakan kita Parti Islam dan yang lain tidak, maka kita tidak perlu berlaku jujur dalam kerjasama kita bersama mereka? Adakah kita sudah begitu sesat dengan fahaman Yahudi Zionis sehingga menganggap setia kepada janji dengan bukan Islam adalah satu kesalahan? Akan hilang atau tidak wala’ lagi pada kepimpinan Islam kerana menjadi wala’ kepada pemimpin lain? (Bagi yang tidak tahu, wala’ maksudnya kesetiaan).

Sekiranya itulah fahaman yang hendak dibawa, maka akan hancurlah PAS. Bukan kerana kekuatan lawan tetapi kesesatan diri sendiri. PAS sebagai parti Islam mestilah jujur dengan kerjasamanya dengan pihak lain dan atas kejujuran itu akan terbina satu kekuatan yang jitu. Kekuatan kejujuran dan keikhlasan perjuangan Islam inilah yang akan menyebab semua datang berteduh di bawah naungannya. Inilah kaedah yang sebenarnya, bukan melalui pengkhianatan, kelicikan dan kepura-puraan.


Wallahu ‘Alam
KHALID SAMAD