Wednesday, 20 May 2009

PERAK JADIKAN EMAS

Apa yang sedang berlaku di Perak ini amat baik sekali. Kelam kabut dan kacau bilau yang sedang kita lihat berlaku di Perak ini sekali imbas dilihat tidak mendatang faedah kepada orang ramai. Ini satu pandangan yang salah.

Apa yang berlaku di Perak ini adakah satu rahmat untuk seluruh warga Malaysia. Hujan emas sedang turun mencurah-curah di Perak.

Untuk pertama kalinya seluruh rakyat Malaysia telah melihat contoh yang amat jelas tentang peranan monarki. Monarki yang selama ini amat lunak dengan ucapan-ucapan yang molok-molok telah mendodoikan orang ramai. Hasilnya, orang ramai telah terlena dan terlalai. Tetiba monarki telah diduga – sama ada berdiri tegak menjadi payung rakyat atau bersama kuasa kezaliman.

Tindakan dan keputusan yang diambil oleh monarki di Perak memperlihat sifat asli monarki dengan jelas. Tingkah laku dan tindakan monarki ini telah melahirkan sentimen republikan dikalangan orang Melayu. Sentimen republikan ini memang sedia wujud dalam hati dan sanubari orang ramai – tetapi tidak meluas.

Apa yang terjadi di Perak telah mengembangkan lagi sentimen republikan ini. Apa yang menarik ialah sentimen republikan ini bukan lahir kerana kempen dan propaganda tetapi kerana tingkah laku monarki itu sendiri.

Orang ramai yang selama ini melihat monarki sebagai simbol kesaksamaan dan ketelusan telah mendapat satu pendidikan politik yang amat berharga. Kini Perak sedang menjadi sekolah politik yang terunggul. Raja adil raja di sembah – raja zalim raja di sangkah telah menjadi realiti di Perak.

Sekolah politik yang sedang berjalan di Perak ini juga sedang mendidik warga seluruh Malaysia untuk lebih waspada agar mengetahui hak-hak mereka didalam Perlembagaan. Untuk pertama kalinya warga Malaysia telah disedarkan untuk bangun membaca dan memahami beberapa fasal dalam Perlembagaan Perak.

Hasil dari krisis ini, warga Perak khususnya telah mengetahui peranan Raja, peranan Menteri Besar, peranan Tuan Speaker dan had-had yang diwujudkan melalui Perlembagaan. Selama kini tidak ramai warga yang ingin mengambil tahu secara terperinci tentang hal-hal perundangan ini. Mereka lalai dan membiarkan para peguam untuk mentafsir hal perundangan. Apa yang sedang berlaku di Perak telah mendidik rakyat agar mereka sendiri wajib mengetahui dan memahami hak dan kuasa sebenarnya berada dalam tangan mereka.

Najib Razak berniat merancang ‘rampasan kuasa’ di Perak kerana ingin memperlihatkan bahawa dirinya bukanlah lembik seperti Abdulah Badawi. Rampasan yang dilakukan sebelum peralihan kuasa ingin dijadikan sebagai tiupan sangka kala untuk menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat. Tiupan sangka kala ini diharap-harapkan dapat membangunkan kembali semangat United Malays National Organisation yang telah pecah bertaburan sesudah 8 March. Harapan ini jelas telah pancet.

Dari hari ke hari Perak sedang menjerut leher United Malays National Organisation. Pemanjangan krisis ini amat baik untuk Pakatan Rakyat. Lagi lama Perak menanah lagi subur sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat. Hari ini MCA, Gerakan dan PPP – komponen Barisan Nasional – telah mula bersuara seirama dengan nada Pakatan Rakyat. Ini adalah tanda-tanda politik sehat dimana elemen-elemen demokrat didalam Barisan Nasional telah mula bersuara.

Badan-badan NGO seperti Suhakam dan Majlis Peguam juga telah mula bersuara. Lembaga-lembaga ini telah menyatakan pandangan mereka untuk menolak tindak tanduk yang dilakukan oleh United Malays National Organisation dalam usaha mereka untuk mengambil alih kuasa pentabiran di Perak.

Malah dari dalam United Malays National Organisation sendiri kita telah mula mendengar suara-suara yang tidak mempersetujui langkah dan tindak tanduk yang telah diambil oleh Najib Razak. Ini adalah tanda-tanda bahawa masih wujud elemen sehat dan sentimen demokrat di dalam United Malays National Organisation. Suara-suara ini bukan suara musuh tetapi suara sahabat.

Krisis adalah dugaan. Krisis di Perak telah menduga Pakatan Rakyat. Dugaan ini telah memperkukuhkan lagi setiakawan diantara parti Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP. Semangat setiakawan yang kukuh dan berpanjangan akan lahir dalam kancah perjuangan. Perak adaklah medan tempur yang menduga tiga buah parti politik untuk mengenepikan ajenda sampingan dan menerkam kepada ajenda induk. Kebijaksaan berpolitik di Perak akan dapat membezakan yang mana kayu dan yang mana hutan.

Setiakawan ini telah dilihat dengan amat jelas sekali didalam pilihanraya kecil Bukit Gantang. DAP yang selama ini dimomokan sebagai parti keCinaan telah diterima oleh orang Melayu. Pas yang selama ini dimomokan dengan hukum hududnya telah menerbus masuk ke dalam kawah Cina. Ini adalah perkembangan yang amat menakutkan untuk United Malays National Organisation.

Dua buah parti ini selalu digunakan sebagai senjata ampuh oleh United Malays National Organisation untuk memecah belahkan orang ramai. Di Perak orang Melayu tidak lagi waswas dan gentar untuk menerima DAP. Di Perak orang Cina tidak lagi takut untuk menerima Pas. Setiakawan seperti ini pasti akan menakutkan sesiapa sahaja yang mengamalkan politik rasis dan perkauman.

Dalam kancah pertempuran pucuk pimpinan juga akan diduga. Krisis di Perak telah memunculkan dua ikon kepimpinan yang unggul – Nizar dan Siva. Kalau di permulaan era Reformasi dahulu yang muncul hanya Anwar Ibrahim yang pada mulanya masih dilihat sebagai perwakilan ikon Melayu. Anwar mengambil masa yang agak lama untuk menyakinkan warga bukan Melayu bahawa Reformasi adalah agenda untuk semua.

Berbanding dengan krisis Perak secara sepontan Nizar dan Siva telah dilihat sebagai pemimpin yang mewakili semua bangsa. Tidak timbul apa-apa persoalan atau waswas seperti yang terjadi kepada Anwar Ibrahim. Ini membuktikan telah ada anjakan dan kedewasaan pemahaman politik untuk semua warga Malaysia.

Apa yang berlaku di Perak ini tidak banyak bezanya dari apa yang berlaku pada tahun 1998 dahulu. Pada malam 20 September 1998 Anwar Ibrahim telah di tangkap di rumahnya. Episode penangkapan ini telah menjadi ombak besar yang membuka gelombang Reformasi. Pada malam itu mata rakyat Malaysia telah terbuka untuk melihat kezaliman yang diwakili oleh Mahathir Muhamad.

Di Perak episode ini berulang lagi. Pada 7 Mei yang lalu sekali lagi mata rakyat terbuka apabila melihat Sivakumar diheret keluar dari kerusi Tuan Speaker dan dikurung agar kuasa dapat dirampas. Kini sekali satu Malaysia telah terbuka mata untuk melihat penerusan kezaliman yang di wakili oleh Najib Razak.

Sama ada Dun dibubar atau tidak dibubar bukan lagi persoalan. Sekolah politik yang sedang dibuka di Perak wajib disebarkan ke seluruh negara. Aktivis dan angkatan muda dari Pakatan Rakyat wajib menjelajah ke seluruh pelusuk untuk membawa sekolah politik ini.

Ombak Perak ini wajib terus di kembangkan. Bara kemarahan rakyat jangan dipadam-padamkan malah wajib terus dikipas dan di bakar. Musim menuai hanya akan sampai apabila pilihanraya umum di adakan. Perak sedang membawa hujan emas kepada Pakatan Rakyat. Lebih lama hujan ini lebih subur politik Malaysia. (TT)

HJ NIZAR BERPELUANG MENGADAP TUANKU

YAB Dato' Seri Hj Nizar berpeluang mengadap Tuanku Raja Nazrin tengahari tadi di Istana Iskandariyyah selepas selesai Majlis Anugerah Pingat & Bintang. Demikian dinyatakan oleh Hj Nizar dalam taklimat ringkasnya di Mesyuarat Perhubungan PAS Perak tadi.

Dalam kesempatan yang singkat itu, digunakan oleh Hj Nizar bagi memohon maaf bagi pihak PR dan rakyat Perak sepanjang tiga bulan sebelum ini sekiranya apa sahaja insiden yang berlaku mengguris hati Tuanku.

Beliau juga bagi pihak PR mengucapkan takziah di atas kemangkatan Kekanda Tuanku Sultan Azlan Shah yang juga bapa saudara Raja Nazrin.

Kesempatan itu juga digunakan oleh Dato' Seri secara berterus terang dengan penuh berhimah memberi pandangan-pandangan terhadap senario dan kemelut politik di Perak. Dato' Seri merayu supaya Tuanku memberi penghormatan kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan di negeri Perak, kerana melalui pembubaran DUN sahajalah kemelut ini akan berakhir.

Pakatan Rakyat akan menghormati pendirian dan keputusan rakyat yang samada memilih Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional. Dato' Seri juga memberi pandangan supaya tidak ada sidang DUN diadakan dalam tempoh terdekat selagi kemelut politik ini belum berakhir, beliau memberi gambaran insiden sidang DUN 7 Mei yang lalu dibimbangi akan berulang semula sekiranya sidang DUN diadakan juga, dan ianya akan hanya memalukan imej Tuanku dan negeri Perak.

Sebelum ini beliau juga memberi pandangan kepada Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Perak tentang kemelut politik di Perak, beliau merayu supaya Dato' Mufti turut memainkan peranan dengan membantu agar penyelesaian kemelut politik melalui pembubaran DUN.

Pertemuan singkat antara YAB Dato' Seri Hj Nizar dengan DYTM Raja Nazrin merupakan pertemuan yang cukup berharga walaupun pertemuan tidak rasmi. Mesej rakyat yang mahukan DUN dibubarkan telah disampaikan oleh Hj Nizar. Kini, semuanya terserah kepada Tuanku, mesej rakyat telahpun disampaikan oleh Dato' Seri Hj Nizar. Diharap rakyat terus solat Hajat dan bermunajat mudah-mudahan dilembutkan hati Tuanku bagi memperkenan DUN Perak dibubarkan.

(sumber misabah blogspot)

Saturday, 16 May 2009

Sejarah Solat 5 Waktu

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

Subuh:

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

Zohor:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

Asar:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

Maghrib:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

Isyak:

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

(sumber darulnuman)

Propaganda Yahudi Mengenai Masjidil Aqsa




















Kekeliruan antara Masjid Al-Aqsa dan Dome of The Rock

Melihat pada gambar di atas, tentunya ramai yang menyangka bahawa masjid di atas adalah Masjid Al-Aqsa. Jika diperhatikan denga teliti, kita akan dapat melihat sebuah lagi kubah berwarna hijau yang kelihatan agak samar-samar. Percayalah, kubah yang berwarna hijau itulah Masjid Al-Aqsa yang sebenarnya.

Masjidil Aqsa merupakan kiblat pertama bagi Umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah dengan perintah Allah SWT. Kini ia berada di dalam kawasan jajahan Yahudi. Dalam keadaan yang demikian, pihak Yahudi telah mengambil kesempatan untuk mengelirukan Umat Islam dengan mengedarkan gambar Dome of The Rock sebagai Masjidil Aqsa. Tujuan mereka hanyalah satu, iaitu untuk meruntuhkan Masjidil Aqsa yang sebenarnya. Apabila Umat Islam sendiri sudah terkeliru dan sukar untuk membezakan Masjidil Aqsa yang sebenarnya. Maka semakin mudahlah tugas mereka untuk melaksanakan perancangan tersebut.

Lihat pula gambar di bawah, berikut adalah gambar sebenar Masjidil Aqsa pada jarak yang lebih dekat. Betapa jauhnya perbezaan antara Dome of The Rock jika dibandingkan dengan Masjidil Aqsa. Hanya Jauhari juga yang mengenal Manikam

Agenda Israel menghapuskan Masjidil Aqsa

Berikut disertakan juga terjemahan daripada surat yang dikarang dan dikirimkan oleh Dr. Marwan kepada ketua pengarang "Al-Dastour" harian. Berhati-hatilah dengan perancangan zionist tentang Masjidil Aqsa. Jangan biarkan mereka berjaya dengan peracangan mereka.
Terjemahan surat Dr. Marwan:

Terdapat beberapa kekeliruan di antara Masjidil Aqsa dan The Dome of The Rock. Apabila sahaja disebut tentang Masjidil Aqsa di dalam media tempatan mahupun antarabangsa, gambar The Dome of The Rock pula yang dipaparkan. Sebab utama ia dilakukan adalah bagi mengabaikan orang ramai dimana ianya adalah perancangan Israel. Tinjauan ini diperolehi semasa saya tinggal di USA, dimana saya telah dimaklumkan bahawa Zionis di Amerika telah mencetak dan mengedarkan gambar tersebut dan menjualkannya kepada orang arab dan Muslim. Kadangkala dijual dengan harga yang murah bahkan kadangkan diberikan secara percuma supaya Muslim dapat mengedarkannya dimana-mana sahaja. Tak kira di rumah mahupun pejabat.

Ini meyakinkan saya bahawa Israel ingin menghapuskan gambaran Masjid Al-Aqsa dari ingatan umat Islam supaya mereka dapat memusnahkannya dan membina kuil mereka tanpa sebarang publisiti. Sekiranya terdapat pihak yang membangkang atau merungut, maka Israel akan menunjukkan gambar The Dome of The Rock yang masih utuh berdiri, dan menyatakan bahawa mereka tidak berbuat apa-apa. Rancangan yang sungguh bijak! Saya juga merasa amat terperanjat apabila bertanya kepada beberapa rakyat arab, Muslim, bahkan rakyat Palestin kerana mendapati mereka sendiri tidak dapat membezakan antara kedua bangunan tersebut. Ini benar-benar membuatkan saya berasa kesal dan sedih kerana hingga kini Israel telah berjaya dalam perancangan mereka.
Dr. Marwan Saeed Saleh Abu Al-Rub Associate Professor,
Mathematics Zayed University Dubai

(sumber darulnuman)

MENGAPA MAHKAMAH PINDA TARIKH ?

Rakyat mempersoalkan mengapa Mahkamah Rayuan yang sepatutnya bersidang pada 18hb ini dipinda pula ke 21hb. ?. Rakyat menjadi keliru dengan pindaan tarikh ini. Perbicaraannya sama pula dengan perbicaraan rayuan Zambry.

Dengan pindaan ini, rakyat semakin pra sangka berlaku ketidakadilan dan penganiyaan terhadap Hj Nizar. Selang dua tiga hari sementara menunggu perbicaraan, Zambry masih berkuasa dan dengan kuasa haramnya itu, beliau boleh melakukan apa sahaja termasuk mengadakan sidang haram bagi mengusulkan undi tidak percaya kepada Dato' Seri Hj Nizar sebagaimana yang disaran oleh Dr. Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO yang lain.

Sebab itulah usaha dibuat bagi membolehkan sidang diadakan secepat mungkin. Bagi membolehkan sidang haram itu diadakan tarikh perbicaraan rayuan Hj Nizar dipinda ke 21hb.

Sementara itu, saman Sivakumar terhadap Ganesan masih belum ditentukan tarikh perbicaraannya. Semua proses ini dilambatkan bertujuan Zambry terus berkuasa dengan cara yang haram, dan mereka bebas melakukan apa sahaja mengikut kemahuan mereka.

Ini semua mengundang ketidakyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman di negara ini. Rakyat sebenarnya sudah lama mempertikaikan institusi kehakiman sejak lama dahulu, lebih-lebih lagi selepas isu peguam Linggam yang gempar suatu ketika dulu. Apabila unsur ini berlaku pula kepada kes Hj Nizar, rakyat semakin tidak percaya kepada mahkamah di Malaysia. Kita bimbang rakyat akan bertindak di luar batasan undang-undang setelah ketidak percayaan kepada mahkamah sampai kemuncaknya. Adakah ini yang pemimpin BN mahu ?

(misabah blogspot)