Menurut Menteri Pelancongan Dato' Seri Ng Yen Yen, bekas Ketua Pasukan Formula 1 Ferrari Scunderia telah diperuntukkan sebanyak RM1 juta sebagai ganjaran untuk menjadi Duta Tourism Malaysia.
Ng Yen Yen mengakui wujudnya peruntukan sedemikian sebagai respons kepada soalan Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali di Dewan Rakyat pada Rabu 24 Jun lalu.
Azmin yang turut mengejutkan Ahli Parlimen BN sendiri mempertikaikan apakah kewajaran wang sebanyak RM593,400 dibayar kepada Dato' Seri Jean Todt dan RM388,000 lagi untuk perbelanjaannya bercuti di Malaysia.
Bercakap kepada pemberita, Ng Yen Yen berkata, "Wang sebanyak RM1 juta tak boleh buat apa-apa hari ini." ("One million in Europe gets you nothing nowadays.")(sebagaimana yang dipetik dari sebuah akhbar Internet).
Akhbar Utusan Malaysia bagaimanapun mengendurkan atau downplay kenyataan Ng Yen Yen dengan melaporkan, "Apabila kita mahu promosikan negara di Eropah, sebenarnya RM1 juta itu kecil nilainya."
Dan menurut Ng Yen Yen lagi, "Berdasarkan pada pengaruh dan namanya yang besar serta dikenali ramai, Malaysia amat memerlukannya."
Tidaklah diketahui dengan jelas mengapa, bagaimana dan atas kriteria apakah Jean Todt dipilih untuk diberikan peranan Duta Tourism Malaysia.
Turut menjadi persoalan umum apakah kerana menyertai Program Malaysia Rumah Keduaku anjuran Kementerian Pelancongan maka Jean Todt telah dikira sebagai amat patut diberikan bintang penghormatan bergelar Dato' Seri tatkala Datuk Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terengganu dulu.
Namun apapun Todt telah menyertai pelakon Bollywood Dato' Shah Rukh Khan yang turut menerima gelaran Datuk kerana masing-masing dianggap oleh Menteri Besar/Ketua Menteri sebagai telah menyumbangkan jasa amat besar dan tidak ternilai kepada negeri masing-masing dan juga negara.
Sebagaimana yang dicadangkan menerusi kenyataan Ng Yen Yen sudah tentu Jean Todt cukup dikenali dan mengenali ramai orang di Eropah. Todt sudah tentu mengenali Max Mosley, Presiden FIA, badan yang menganjurkan acara Formula 1.
Selain daripada itu Todt tentu juga mengenali Bernie Ecclestone, Ron Dennis, Flavio Briatore dan hampir semua yang terlibat dalam kejohanan Formula 1 terutama di era Michael Schumacher memandu untuk pasukan Ferrari.
Dalam lain perkataan setiap orang yang dikenali oleh Jean Todt di Eropah dan yang sanggup atau mahu datang ke Malaysia atas apa jua sebab telahpun mengunjungi Malaysia sejak tahun 1999 apabila Litar Sepang julung-julung kalinya dijadikan satu daripada venue sirkit kejohanan lumba kereta berkenaan.
Kedatangan mereka ke Malaysia sama ada untuk menyaksikan perlumbaan di Sepang mahupun sebagai anggota pasukan yang menyertai perlumbaan sudah tentu tidak ada kena mengena dengan sebarang usaha dari Jean Todt.
Jadi apakah kewajaran menjadikan beliau sebagai Duta Tourism Malaysia sekiranya hampir kesemua mereka dalam dunia Formula 1 termasuk peminat telah melawat Malaysia dan akan terus berbuat demikian selagi Litar Formula 1 Sepang terus diberikan kebenaran penganjuran.
Jean Todt mungkin merupakan seorang tokoh penting dalam pentadbiran kejohanan Formula 1 tetapi beliau bukanlan seorang seleberiti. Kecuali segelintir kenalan rapat, tidak ada sesiapa pun yang akan mengambil tahu di negara manakah beliau memilih untuk menjadikan rumah keduanya.
Lainlah kalau Michael Schumacher yang sentiasa diburu oleh peminat ke mana-mana sahaja bekas pemandu pasukan Ferrari itu berada. Andai kata Schumacher dijadikan Duta Tourism Malaysia dan dia juga menyertai program Malaysia Rumah Keduaku, maka sudah tentu ramai yang akan melawat ke Malaysia untuk menemui lagenda hidup lumba kereta itu.
Sekiranya pengaruh dan nama besar menjadi ukuran bagi menentukan kriteria pemilihan Duta Tourism Malaysia sebagaimana yang dijelaskan oleh Ng Yen Yen, maka mengapa tidak tawarkan sahaja jawatan tersebut kepada David Beckham.
Beckham bukan sahaja mengenali Alex Fergusson, Michel Platini, malah Pele, tokoh sukan yang jauh lebih dikenali dari sekadar Jean Todt secara peribadi tetapi mengenali hampir kesemua pemain bola sepak terkemuka dari hampir semua kelab di Eropah. Dan sebagaimana yang umum sedia maklum jumlah peminat dan penonton bola sepak di seluruh dunia mengatasi jumlah peminat dan penonton Formula 1 (termasuk tontonan TV secara langsung).
Bukan itu sahaja, Beckham mungkin dapat menarik pelancong dari Pantai Barat Amerika Syarikat kerana pernah bermain dalam pasukan bola sepak Los Angeles Galaxy. Selain paling banyak digoogle untuk topik sukan pada tahun 2003 dan 2004 dan beristerikan seorang seleberiti, kerja menjadi duta ini bukannya asing buat beliau yang telah berpengalaman menjadi Duta Muhibah UNICEF.
Namun, di sebalik semua itu, apakah Pelancongan Malaysia memerlukan seorang duta untuk menarik pelancong Eropah berkunjung ke negara ini?
Tanpa memperdulikan sangat hakikat jutaan rakyat Singapura yang datang ke Johor Bahru sepanjang tahun untuk membeli sayur dan ikan di pasar malam atau wanita muda dari China dan beberapa buah negara lain yang datang ke Malaysia untuk melancong sambil 'berniaga', jumlah pelancong asing yang datang ke Malaysia pada tahun 2006 bertambah sebanyak lebih dari tiga kali ganda berbanding tahun 1998.
Menurut Tourism Malaysia Corporate Website, jumlah pelancong (atau mereka yang masuk ke negara ini menerusi checkpoint imigresen Malaysia) pada tahun 2006 adalah seramai 17.45 juta berbanding 5.5 juta pada tahun 1998 dengan perolehan RM36.3 juta berbanding RM8.6 juta bagi tahun masing-masing.
Maknanya lama sebelum Ng Yen Yen dilantik menjadi Menteri Pelancongan, sudah ada usaha gigih oleh Kementerian berkenaan untuk mempertingkatkan industri ini tanpa perlu bantuan sebarang duta pelancong dalam bentuk seseorang seperti Jean Todt.
Oleh itu, mengapakah baru kini seorang duta pelancongan diperlukan? Dan mengapa pula Jean Todt yang tidak memenuhi kriteria sebagai seorang seleberiti dipilih untuk mengisi jawatan tersebut?
Apakah ia disebabkan perhubungannya dengan aktres Hollywood Malaysia Datuk Michelle Yeoh? Tentu ramai masih ingat era Dato' Seri Abdullah memerintah Malaysia di mana John Todt dan Michelle Yeoh sentiasa mencuri perhatian media.
Turut hadir ketika itu adalah Idris Jusoh selaku MB Terengganu dan Patrick Lim aka Patrick Badawi.
Mungkin di sinilah segala idea Duta Tourism ini telah bercambah.
Shirzad Lifeboat
harakahdaily
No comments:
Post a Comment