Tuesday, 7 July 2009

Perkauman?

Teguran Oleh: TanahAirKu

"Ramai lagikah terutamanya masyarakat Melayu diantara kita yang masih menyimpan perasaan benci dan dendam, terhadap kaum lain terutama kaum Cina? Sehinggakan ada diantara Melayu pada hari ini beranggapan bahawa negara akan lebih aman dan tenteram tanpa kehadiran kaum Cina di negara kita?

Ingin saya berkongsi sedikit pengalaman selama menceburi bidang perniagaan yang mana banyak mengajar saya. Antaranya, ketika perayaan Tahun Baru Cina.

Saya terpaksa menghentikan perniagaan seketika sehinggalah kaum Cina ini kembali menjalankan perniagaan mereka semula. Ini kerana, bahan mentah yang diperlukan tidak menepati kehendak.

Tidak logiklah jika saya katakan bahan mentah tidak ada langsung, masih ada mungkin dari pembekal² Melayu, tetapi bila melihat dari segi kualiti, tahap kesegaran bahan, perbandingan harga, bekalan yang tidak mencukupi, nyata tidak mampu memuaskan hati saya kerana pembekal² Melayu itu sendiri mengakui sukar menjalankan urusniaga ketika kaum Cina bercuti merayakan perayaan mereka.

Jadi, saya tetap memerlukan bahan mentah dari kaum Cina juga.

Saya bersetuju kaum Cina telah ramai yang lebih berjaya berbanding kaum Melayu sendiri. Persoalannya, kenapa ini berlaku? Sedangkan negara pun nama Malaysia = Malay = Melayu, tapi kenapa kita hanya menjadi kaum minoriti yang berjaya?

Kenalkah kita pada Robert Kuok & Ananda Krishnan? Ya, mereka berdua Cina & India. Syed Mokhtar Al-Bukhary? Tidak, beliau berketurunan Arab. Saya bersetuju kaum Cina atau kaum bukan Melayu mungkin ada menjalankan perniagaan secara haram(atas pertolongan kaum Melayu sendiri?) yang mampu memberi keuntungan dengan segera, malah mereka juga tiada halangan untuk berjudi, dan mudah memperoleh pendapatan yang lumayan.

Tapi, adakah faktor-faktor sebegini yang menyebabkan mereka mampu berjaya? Saya lihat kaum Melayu sendiri ada menjalankan perniagaan haram, ada yang berjudi di kedai Toto yang mana memang Melayu lebih ramai membeli? Tapi mengapa masih tidak mampu berjaya seperti kaum Cina tadi?

Nak-nak lagi kaum Cina atau kaum bukan Melayu tidak banyak mendapat 'kemudahan' berbanding kaum Melayu? Jadi dimanakah kekurangan kita? Bagi saya, mungkin kaum Melayu terlalu 'dimanjakan' selama ini oleh 'kemudahan²' itu menyebabkan mereka tidak pandai untuk berdikari.

Berani saya katakan disini, saya tidak bersetuju sekiranya kaum Cina malah kaum lain sekalipun, dihapuskan/dilenyapkan dari negara ini. Dan berani juga saya mengatakan negara mampu dilanda huru hara atau mungkin darurat sekiranya kaum Cina meninggalkan negara kita.

Tidak perlulah berceloteh panjang lebar lagi mengapa saya berpendapat sedemikian, kerana saya telah melihat sendiri keupayaan kaum Cina ini dalam membangunkan ekonomi negara kita. Tidak perlulah kita mempertikaikan kewujudan mereka di negara kita, kepentingan mereka, dan sebagainya.

Memadailah dengan mempertikai sikap dan persefahaman diri sendiri atau kaum Melayu terlebih dahulu dan 'kemanjaan' yang telah diberikan selama ini. Tidak malukah kita? (saya juga Melayu)

Kita harus lah menyedari akan hakikat ini dan sedikit sebanyak menerimanya dengan berterima kasih diatas sumbangan yang telah kaum Cina dan kaum lain berikan. Seharusnya kita merasa bangga hidup dalam keadaan sebegini kerana saya melihat kaum Melayu agak semakin membimbangkan sekiranya kita masih tidak mempunyai kesedaran dalam diri masing-masing.

Janganlah dirisaukan tentang ancaman atau malapetaka yang bakal berlaku apabila isu perkauman dibangkitkan. Negara kita sudah cukup aman sebenarnya. Hanya golongan 'tertentu' ini sahaja yang cuba mengundang malapetaka tersebut. Malah, tanpa disedari, banyak lagi ancaman yang lebih besar yang sepatutnya kita risaukan, sebagai contoh yang paling utama, risaukan tanggungjawab kita terhadap agama terlebih dahulu.

Buanglah sikap perkauman yang telah lama 'diracuni dan dipengaruhi' oleh pemikiran-pemikiran yang jahat dan kotor. Rasulullah juga tidak pernah memandang/menyangka buruk terhadap setiap hamba Allah itu malah kaum kafir sekalipun. Ini jelas terbukti amalan yang dibawa oleh Beliau telah meramaikan kaum kafir untuk memeluk Islam. Saya pasti setiap kebaikan dan keburukan itu, hanya lebih diketahui oleh Allah S.W.T . Wallahua'lam."

No comments:

Post a Comment