Oleh Zulkifli Sulong
Nampaknya, Umno menjadikan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai target serangan mereka akhir-akhir ini. Tokoh penyerang utama adalah tidak lain dari Timbalan Presiden Umno sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Ramai yang bertanya, kenapa Nik Aziz? Kenapa bukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?
Bagi saya, jelas sekali Umno sedar bahawa faktor penyatu utama Pakatan Rakyat sekarang adalah Nik Aziz di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai operator utamanya. Bolehlah diumpamakan, Nik Aziz adalah Pengerusi manakala Anwar adalah Presiden Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat adalah pesaing dan pemangsa kepada kedudukan Barisan Nasional (BN) kini. Servival politik BN terletak kepada sejauh mana kekuatan Pakatan Rakyat. Untuk membolehkan BN terus kekal, walau dengan apa cara pun, pakatan di kalangan PAS, PKR dan DAP ini perlu dirungkaikan.
Inilah usaha yang sedang dibuat BN sekarang. Pecahkan Pakatan dengan cara melaga-lagakan sesama mereka atau menjatuhkan mana-mana pihak yang menjadi faktor penyatu kepada mereka.
Saya yakin, sebagai pemimpin nombor dua parti yang akses kepada semua aparatus negara, Muhyidin sedar, kekuatan Pakatan adalah pada Nik Aziz. Jadi kalau mahu diruntuhkan Pakatan, Nik Aziz perlu dihancurkan dulu di samping Anwar.
Bertitik tolak dari sinilah, kedua-dua tokoh Pakatan ini menjadi sasaran Umno siang dan malam. Terbaru, Muhyidin menghalakan serangannya kepada Nik Aziz ekoran kenyataan Nik Aziz mengenai DAP.
Muhyidin sedar, selagi Nik Aziz mempertahankan tindakan DAP, selagi itulah Pakatan Rakyat akan mantop, kalau boleh saya pinjam ungkapan anak-anak muda sekarang.
Terlalu banyak contoh kenapa kesimpulan ini diambil. Apabila Setiausaha DAP Perak, Nga Koo Meng membaca beberapa surah ayat Al Quran, Umno marah. Kononnya ia menghina Islam. Mufti Perak, yang menjadi penyokong tegar Umno itu juga mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap Nga.
Namun, apabila Nik Aziz bersuara sahaja dan menyokong Nga, semua senyap sepi tidak berani melawan hujjah Nik Aziz.
Sebelum itu, apabila isu kerajaan perpaduan datang, semua para penyokong Pakatan Rakyat bimbang kalau-kalau ia sama sahaja dengan isu muzakarah iaitu PAS mahu bekerjasama dengan Umno untuk kepentingan Melayu dan Islam. Para penyokong DAP paling resah selain orang Cina dan India yang menyokong Pakatan.
Menyedari hakikat ada mesej negatif yang dihantar dari isu ini, Nik Aziz cepat-cepat menolak agenda kerajaan perpaduan. Bagi beliau, idea mungkin baik tetapi tidak sesuai dengan masa ini.
Siapakah yang paling lega dengan kenyataan Nik Aziz ini? Tidak lain dan tidak bukan rakan-rakan kongsi PAS dalam Pakatan Rakyat yang bimbang PAS meninggalkan mereka untuk bersama Umno. Perginya PAS bermakna hancurlah Pakatan Rakyat sebagaimana hancurnya Barisan Alternatif sebelum ini.
Terkini, isu penjualan arak di Selangor. Isu asalnya adalah kebimbangan ramai orang Islam di negara ini dengan langkah penjualan arak 24 jam melalui kedai 7-Eleven. Mereka merasakan, menjual minuman keras di luar waktu biasa (8 pagi - 10 malam) boleh menjerumuskan remaja dan orang dewasa Islam ke kancah minuman keras. Ini kerana, selemah-lemah orang Melayu dengan agamanya, dia akan malu untuk membeli atau meminum arak di depan orang ramai. Jadi, waktu selepas 12 malam, ketika orang ramai tidur, digunakan untuk membeli dan meminumnya.
Apabila PAS Selangor melalui Pesuruhjayanya membangkitkan isu ini, ramai para pemimpin DAP berhujjah pandangan PAS Selangor itu terlalu berlebihan. “Nik Aziz pun tak buat macam itu di Kota Bharu,” kata mereka.
Maknanya, mereka boleh menerima pendekatan pengawalan penjualan arak yang dibuat Nik Aziz di Kota Baru yang dinamakan bandaraya Islam itu. Tetapi, mereka tidak boleh menerima sesetengah idea yang dikemukakan pemimpin PAS di Selangor yang bagi mereka terlebih dari apa yang dibuat Nik Aziz sendiri.
Sebelum isu arak ini, di dalam PAS sendiri berlaku juga pertembungan antara sekolah pemikirannya. Apabila sekumpulan pemimpin muda PAS mahu parti Islam itu mengambil pendekatan yang sederhana dan realistik dalam melaksanakan idea Islamnya, mereka telah digelar kumpulan Erdorgan.
Yang dilabelkan sebagai pemimpin kumpulan Erdorgan ini adalah Datuk Husam Musa. Walaupun kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PAS, Husam tetap menjadi idola ramai anak muda. Bagi mereka, inilah pemimpin masa depan negara.
Dan Husam adalah dikira anak didik Nik Aziz. Sebagaimana Nik Aziz, Husam bertegas, jika PAS mahu ke hadapan dalam memimpin negara ini, PAS perlu menggantikan Umno bukannya bekerjasama dengan Umno. Jika bekerjasama dengan Umno bermakna, PAS akan sentiasa di tempat kedua kepada Umno.
Apa yang Husam buat dianggap satu pemikiran dengan Nik Aziz. Inilah yang sangat tidak disenangi Umno.
Apabila Umno seolah-olah sampai ke peringkat gila talak untuk berbaik-baik dengan PAS, Nik Aziz dan Husam menjadi rakan (sparring partner) dalam menolak agenda Umno itu.
Inilah kekuatan Nik Aziz. Dia sudah menjadi icon Pakatan Rakyat. Beliau menjadi faktor penyatu Pakatan Rakyat. Jadi untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat, Nik Aziz perlu dijatuhkan terlebih dahulu. Bagi saya, inilah yang berlaku sekarang dan akan terus dilakukan Umno yang sudah kecewa selepas ‘pinangan’ mereka terus-terusan ditolak PAS hanya kerana Nik Aziz.
No comments:
Post a Comment