Tuesday, 30 June 2009

Apa Masalah Umno-BN ‘Bakul Sampahkan’ IPCMC?

Seawal jam 9.00 pagi saya tiba di “Istana Keadilan” Putrajaya bagi mendengar rayuan berhubung pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Apakan daya kes ditangguh lagi keesokkan harinya. Terpaksalah berulang-alik dari Parlimen ke Putrajaya. Apatah lagi sesi Dewan Rakyat kali ini akan tamat pada 2hb Julai 2009 dan saya merasakan perlu untuk menyertai perbahasan rang undang-undang yang bakal dibentangkan kelak.

Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan menyertai perbahasan rang undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Perlaksanaan(SIAP). Saya ulangi kekecewaan ramai dari ahli parlimen kerana kegagalan kerajaan meneliti serta menuruti saranan IPCMC. Sungguhpun saya mengakui hasrat kerajaan untuk melebarkan peranan suruhanjaya ini kepada sejumlah 27 agensi lainnya. Latar asal dari rang undang-undang SIAP perlu diberi perhatian sewajarnya. Pokok pangkalnya adalah terhakisnya keyakinan rakyat terhadap institusi polis.

Sekiranya asas ini diabaikan, permasalahan sebenar tidak akan selesai. Integriti agensi kerajaan terutamanya pasukan polis tercalar teruk akibat salah guna kuasa segelintir pucuk pimpinannya tatkala mereka di bawah tetap berdedikasi mencurah bakti kepada masyarakat. Ketiadaan fasal berkaitan bidangkuasa siasatan hanya menyebabkan kewujudan suruhanjaya tersebut seumpama melepaskan batok di tangga.

Yang lebih mengejutkan saranan IPCMC ditolak kononnya adalah untuk melindungi ramai anggota polis yang majoritinya orang Melayu. Membingungkan sekali alasan sebegini, sedangkan yang terlibat melanggar jalur hukum merupakan pucuk pimpinan polis. Berselindung di sebalik alasan kaum merupakan alasan dangkal yang cuba memperbodohkan rakyat.

Oleh kerana itu saya menekankan tiadanya iltizam politik pada pihak pimpinan Umno-BN untuk benar-benar memastikan perubahan terlaksana. Tidak hairanlah usaha kerajaan ini seakan fatamorgana yang cuba mengelirukan mata rakyat. Inshaallah dengan usaha dan doa, pastinya yang hak akan mengatasi yang batil.

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Post a Comment