(Memperingati 61 tahun Perisytiharan Undang-Undang Darurat dan Perjuangan Bersenjata melawan British)
Ahmad Boestamam digiring ke penjara
oleh polis upahan penjajah British
Pada 20 Jun 1948, penjajah British telah melakukan penindasan yang menyeluruh ke atas gerakan kemerdekaan Malaya dengan mengisytiharkan Undang-Undang Darurat di seluruh negara.
Parti-parti kiri yang berjuang untuk kemerdekaan telah diharamkan. Ramai pemimpin dan para aktivis telah ditangkap – ada yang dipenjarakan, ada yang dibuang negeri dan bahkan dihukum gantung sampai mati.
Di bawah keadaan teror putih, pemuda-pemuda revolusioner telah berundur ke kawasan-kawasan pendalaman dan memulakan perang gerila melawan British.
Pejuang-pejuang kemerdekaan itulah yang dilabel oleh British dan talibarut mereka sebagai “pengganas” hingga hari ini.
tentera dan polis penjajah British sedang
melakukan penggeledahan ke atas massa rakyat
1. Abu Samah Mohd Kassim, pahlawan Rj 10, menulis: “Arus perjuangan untuk kemerdekaan semakin berkobar-kobar selepas Perang Dunia Kedua, khususnya dari golongan kiri. Menghadapi keadaan ini, penjajah British telah mengambil langklah-langkah penindasan terhadap perjuangan tersebut. Tanda-tanda penindasan kekerasan yang menyeluruh dari kerajaan penjajah British semakin nyata.” (Dipetik dari buku Sejarah dan Perjuangan Kemerdekaan)
2. Suriani Abdullah pula menulis: “Pada 18 Jun 1948, penjajah British telah mengisytiharkan Undang-Undang Darurat bagi seluruh Tanah Melayu. Parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan progresif-demokratik semuanya diharamkan. Pada 20 Jun1948, ia telah melakukan penyerkapan dan penggeledahan secara besar-besaran di seluruh negeri. Kader-kader dan anggota-anggota PKM dan tokoh-tokoh patriotik-demokratik serta massa revolusioner ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara dan kem kurungan.” (Dari Rejimen Ke-10 dan Kemerdekaan)
3. Tambahnya lagi: “Terdorong oleh situasi revolusioner yang sedang berkembang, berbagai organisasi massa di merata kampung di lembah Sungai Pahang telah mendirikan laskar rakyat atau dinamakan tentera tani untuk menjaga keamanan kampung. Mereka bersenjatakan parang, lembing, kapak dan kadang-kadang senapang patah. Mereka menjalankan tugas menyusun massa, menjalankan kerja propaganda di kalangan massa, mengawasi gerak-geri musuh bahkan menjalankan tindakan-tindakan yang berkoordinasi dengan pasukan gerila seperti membasmi hantu-hantu dan ejen-ejen musuh.”
4. Wanita dan kanak-kanak juga tidak ketinggalan. Suriani mencatatkan: “Massa wanita yang revolusioner… dengan semangat yang berkobar-kobar, ada yang memasuki tepi hutan bersama tentera tani untuk menjalankan tugas; ada yang menjalankan kerja massa di kalangan rakyat. Mereka sentiasa mengutip derma dalam segala bentuk untuk tentera dan menyelesaikan makan-minum untuk kawan-kawan kita.
5. “Barisan pelopor kanak-kanak atau dinamakan tentera semut juga didirikan untuk bahagian kanak-kanak. Kanak-kanak juga sangat tangkas dan cergas menjalankan sesetengah tugas seperti menyampaikan maklumat, menghantar surat-surat dan mengawasi gerak-geri hantu, berkawal untuk kawan-kawan kita. Mereka juga membantu…membeli barang-barang, menjemput orang dan lain sebagainya.”
6. Setalah Undang-Undang Darurat diisytiharkan, tokoh-tokoh patriotik-demokratik Melayu dan anggota-anggota PKM, PKMM, API, AWAS, BTM, Hizbul Muslimin dan lain-lain telah menjadi sasaran pokok dalam tangkapan besar-besaran itu. Kira-kira seribu orang telah ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara dan kem kurungan; ramai yang dibuang negeri dan tidak sedikit yang dihukum gantung sampai mati.
penjajah British memaksa massa rakyat
berpindah ke kampung berkurung
7. Abdullah C.D menulis: “Dalam beberapa tahun saja setelah diisytiharkannya Darurat terdapat hampir seratus batalion pasukan infantri, pasukan meriam dan pasukan kereta perisai British yang terlibat dalam perang di Malaya. Mengikut perangkaan yang diperolehi, jentera perang penjajah terdiri dari 400,000 tentera, 77,000 polis dan 320,000 tentera simpanan termasuk AP. Pasukan tenteranya yang diketahui terdiri dari 3 batalion askar Australia, 3 batalion askar New Zealand, 8 batalion askar Gurkha, 1 batalion askar Kenya, 1 batalion askar Rhodesia Utara (Zambia), 1 batalion askar Nyassaland (Malawi), 1 batalion askar Fiji dan lebih 50 batalion lagi askar British.” (Dipetik dari buku Darurat Dan Kemerdekaan)
8. Akhbar The Times (London) melaporkan pada 2 Oktober 1953 bahawa Templer telah mengerahkan 3 divisi tentera darat untuk menghadapi peperangan di Malaya (jumlah ini tak termasuk tentera laut, udara dan kawalan kampung). Di sesetengah tempat hitung panjang setiap 2 orang penduduk dijaga oleh seorang tentera British manakala setiap gerilawan di hutan dijaga oleh 65 orang tentera. Bandingan ini menjadi lebih besar jika dimasukkan tentera laut, udara, polis dan kawalan kampung.
9. Pada tahun 1953, Templer berjaya mendirikan 400 lebih kampung berkurung di seluruh negara. Hampir satu juta massa telah dihalau ke dalam kampung-kampung tersebut.
10. “Justeru dalam keadaan demikianlah kisah pahit Kampung Jenderam berlaku. Seluruh penduduknya yang berjiwa patriotik-demokratik dan menyokong perjuangan untuk kemerdekaan telah dihalau dengan kejamnya oleh penjajah British ke Kluang, Johor. Kampung tersebut telah dibom dan dibumihanguskan menjadi padang jarak padang tekukur.
askar-askar dari negara-negara Komanwelth dikerahkan
untuk melancarkan perang ke atas rakyat Malaya
11. “Nasib yang sama juga dialami oleh penduduk-penduduk Kampung Belum pada tahun 1952. Kampung Belum yang dibangunkan beberapa ratus tahun dahulu dengan titisan peluh, keringat dan air mata rakyat pekerja telah dimusnahkan secara total oleh penjajah British. Penghuninya dihalau ke Kelantan dan Gerik, Perak manakala semua rumah dibakar, pokok buah-buahan ditebang dan binatang ternakan ditembak mati. Inilah kejayaan yang dilaung-laungkan oleh Templer.”
12. Abdullah C.D mencatatkan lagi: “Mengikut perangkaan yang tidak lengkap, dari bulan Jun 1948 hingga Januari 1954, pasukan Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) telah melancarkan 19,000 kali lebih pertempuran dalam berbagai sekil.
13. “Dalam masa 8 tahun sejak bermulanya Darurat pada Jun 1948 hingga Jun 1956, penjajah British terus menerus menukar benggolan politik dan militernya. Di antaranya Pesuruhjaya Tinggi 3 kali tukar ganti – dari Edward Gent, Henry Gurney, Gerald Templer hingga ke Donald MacGalivery; Panglima tenteranya pula 6 kali ditukar – dari Charles Bucher, Harold Briggs, Ralph Lockhart, Gerald Templer, W.P. Oliver, Jeffry Boon hingga ke Rodger Bauer. Demikian juga dengan benggolan polis dan lain-lain.”
14. Dalam keadaan beginilah British terpaksa menganugerahkan “kemerdekaan” Tanah Melayu melalui Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957.
matamin
No comments:
Post a Comment