Wednesday, 1 July 2009

Strategi syaitan profesional

Oleh Mohd Zawawi Yusoh

SYAITAN ialah musuh sejati, bukannya teman sejati. Ia tidak boleh dibuat kawan, sebaliknya kena dibuat lawan.

Jika hendak bermusuh dengan syaitan, kita mesti mengetahui teknik serta sepak terajang syaitan dan konconya yang begitu taktikal, sebab tugas mereka sangat profesional menggoda dan menyesatkan manusia.


Pertemuan kali ini kita ingin melihat strategi syaitan dengan pelbagai cara supaya dengan mengetahuinya kita boleh menghindari diri dan terhindar daripada godaan mereka.

Antara strategi syaitan ialah:


1. Suka orang berada dalam keraguan. Ketika anda menghadapi masalah dan ragu-ragu untuk membuat keputusan, pada saat kebimbangan itulah syaitan mengganggu dan menggoda, mengarah anda untuk memilih itu dan membuat ini.

Sudah tentu pilihan syaitan itu ke arah keburukan, jauh dari kebaikan. Malah, jika pilihan baik sekalipun, mereka akan mengalih orientasi dan matlamat supaya berakhir dengan keburukan.

Antaranya, melakukan sesuatu bukan kerana Allah, sebaliknya untuk mengejar glamor dan pangkat. Oleh kerana bimbang gangguan syaitan ini, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tinggalkan yang meragukan, ambillah yang meyakinkan."

Ini dikatakan 'believe system' (sistem keyakinan diri). Apabila ada keyakinan, hilang keraguan dan apabila hilang keraguan tertutup peluang syaitan untuk menggoda manusia.

Sebab itu prinsip Islam bermula dengan keyakinan, yang bernama iman iaitu beriman kepada perkara ghaib, dosa pahala, hari akhirat dan sebagainya. Tetapi apabila rosak iman, rosaklah segala-galanya.

2. Syaitan suka orang kuat ibadat tetapi tidak ada ilmu. Beribadat dan beramal mesti berasaskan ilmu sebagai imam, manakala amal sebagai makmum untuk menewaskan syaitan.

Keinginan untuk belajar tidak boleh berhenti. Sesiapa yang berasa cukup dengan ilmu yang sudah ada atau sudah rasa pandai sebenarnya dia sedang memberikan peluang dan ruang kepada syaitan menguasai dirinya.

Islam bermusuh dengan kebodohan. Sebab itu ayat pertama diturunkan pada Nabi s.a.w dalam surah al-'Alaq ialah menyuruh nabi membaca. "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)."

Suruhan itu bukan sekadar membaca buku dan kitab tetapi membaca fakta, data dan tanda kebesaran Allah di dalam al-Quran.

Dengan membaca bererti semakin banyak kita membuka jendela ilmu serta semakin sempitlah peluang syaitan untuk melakukan tipu daya dan mengelecek manusia.

3. Syaitan menyesatkan orang yang tidak ikhlas, sebab itulah ibadat mesti dengan ikhlas, cari ilmu dengan ikhlas, menolong orang dengan ikhlas, malah berjuang dengan ikhlas. Ikhlas bermakna melakukan sesuatu kerana Allah dan berasa bersama dengan Allah.

4. Syaitan sangat suka orang sombong diri, sebaliknya syaitan akan menjauhkan diri daripada orang merendah diri.

Islam menggesa umatnya menjadi orang terunggul dan terhebat, tetapi jangan sampai menjadi seperti Firaun dan Namrud yang sanggup melawan 'Taukeh' (Tuhan).

Kesimpulannya kata kunci untuk melawan syaitan dengan empat huruf, iaitu 'BEST'. B merujuk kepada 'believe in Allah' (beriman kepada Allah), E ialah 'Eager to learn' (gigih untuk belajar sampai mati), S ialah 'sincerity' (melakukan kerja dengan ikhlas) dan T ialah 'towards excellence' (menggapai keunggulan).

Cuma satu hal, apabila sudah berjaya jangan sombong diri, nanti makan diri.

No comments:

Post a Comment