Tuesday 2 June 2009

Salahkah menyokong perjuangan Anwar ?

Oleh: WFAUZDIN NS

Gelombang politik terbesar di dalam negara ini hanya berlaku sebaik sahaja berlaku peristiwa pemecatan DS Anwar Ibrahim dari kabinet dan parti Umno lebih kurang 11 tahun yang lalu. Sebelum peristiwa tersebut, gelombang politik juga pernah berlaku tatkala berlaku pertembungan merebut jawatan Presiden Umno di antara Tun Dr Mahathir dengan YBM Tengku Razaliegh yang mana mengakibatkan wujudnya Parti Melayu Semangat 46(S46).

Sebelum itu juga, Umno pernah diharamkan sebelum Tun Mahathir menubuhkan Umno Baru yang kekal hingga sekarang. Namun gelombang politik yang menyaksikan pertarungan di antara Umno/Bn dengan Parti S46 yang telah bergabung bersama PAS dan DAP tidak sehebat gelombang yang dibawa oleh DS Anwar Ibrahim selepas tahun 1997.

Saya yakin sesiapa yang membaca kembali sejarah pada awal era reformasi sehinggalah kini, suka atau tidak terpaksa mengakui bahawa pengaruh DS Anwar sememangnya banyak mempengaruhi sokongan rakyat terhadap parti-parti pembangkang yang ketika itu begitu mudah diratah oleh Umno/Bn, kecuali kekuatan kental PAS di Kelantan. Natijah daripada fitnah yang telah dilakukan oleh mereka yang cemburu serta dengki dengan pengaruh DS Anwar sehingga menyebabkan beliau dipecat dari kabinet dan parti, pembangkang terus mendapat tempat dihati rakyat. Rakyat sudah tidak lagi meyakini Umno malahan mereka seolah-olah tidak percaya tergamaknya Umno mengkhianati tokoh Melayu yang Pro Islam ini. Tetapi bak kata orang, benih yang baik dicampak ke mana sekali pun tetap akan boleh hidup subur. Secara jujurnya, parti PAS dilihat lebih banyak memakan hasil daripada peristiwa yang berlaku dan saya percaya ini adalah `kifarah' buat DS Anwar yang mungkin ketika di dalam Umno melakukan beberapa kesilapan di dalam pendekatannya.

Kini, setelah pembangkang mulai mendominasi beberapa buah negeri selepas pilihanraya Ke 12 yang lalu sehingga menyebabkan kerajaan Bn gagal memperolehi majoriti 2/3 di dalam Parlimen, sudah terdapat suara-suara sumbang terutamanya di dalam PAS yang seolah-olah menidakkan sumbangan, ketokohan dan jasa DS Anwar. Perkara sebegini tidak pernah timbul sewaktu PAS di bawah kepimpinan Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Almarhum adalah seorang yang jujur, tidak pendendam serta bijak berpolitik. Budi Almarhum terhadap DS Anwar sudah tentu tidak terbalas. Pulangnya Almarhum Ustaz Fadzil ke Rahmatullah memaksa DS Anwar menitiskan air mata. Semua ini adalah kisah masa lampau yang amat manis dikenang betapa pemimpin bersatu hati dan sedia bermaafan. Kini, masa berubah apabila melihat kepada kekuatan yang ada pada diri masing-masing.

Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan bermula beberapa minggu sahaja lagi. Sebagai sebuah parti yang telah kuat sudah tentu pendekatan di dalam berkempen berbeza samasekali. Saya mengucapkan syabas kepada PAS kerana sehingga kini masih tetap dengan pendirian tegas berkenaan dasar Islam mereka. Tetapi, saya kurang selesa apabila terdapat beberapa pemimpin yang sering mengaitkan pemimpin yang lain di dalam PAS sebagai `orang DS Anwar'. Apakah dosa DS Anwar sehingga beliau diheret bersama di dalam kancah perebutan kuasa di dalam PAS? Salahkah sekiranya mana-mana pemimpin PAS berbaik serta menyokong perjuangan DS Anwar selama ini? Apakah dengan menyokong perjuangan DS Anwar bermakna mereka meninggalkan prinsip mereka yang termaktub di dalam PAS ?

Semua persoalan ini tidak mampu saya huraikan melainkan pemimpin-pemimpin PAS itu sendiri. Meskipun saya seorang penyokong DS Anwar tetapi saya juga tetap menyokong serta menghormati pemimpin PAS. Memang benar, mungkin terlalu simpati saya terhadap DS Anwar menyebabkan saya ingin menyuarakan perkara ini kerana bagi saya tidak adil DS Anwar dijadikan bahan tohmahan untuk melemahkan lawan politik sesama mereka. Saya hairan mengapa wujud gelaran pemimpin ini `orang Anwar' dan pemimpin itu `orang Tuan Guru'. Setahu saya di dalam PAS pemimpin mereka adalah Presiden mereka dan Tuan Guru Nik Aziz adalah Muryidul Am mereka , tiada yang lain dari itu. Umum mengetahui bahawa Presiden PAS dan Tuan Guru Nik Aziz sendiri tidak pernah ingin berjauhan dari perjuangan DS Anwar malahan ingin dirapatkan lagi.

Harus diingat bahawa musuh sentiasa berada di sekeliling kita dan jika kita tersilap langkah, musuh akan mengambil kesempatan. Bukan tujuan tulisan ini untuk membela DS Anwar yang bukan seorang yang maksum dan bukan juga seorang Ulamak. Saya sedikit terubat apabila mendengar segala kata-kata Tuan Guru Nik Aziz berkaitan hubungan yang perlu dijaga sesama kita di dalam PR. Jangan dimusnahkan apa yang telah dibina landasannya oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Kesihan juga kepada DS Anwar yang tidak mampu mempertahankan dirinya apabila dikaitkan di dalam mainan politik oleh rakan-rakan seperjuangannya sendiri. Mungkin DS Anwar hanya mampu berkata di dalam hatinya," Kalau lah Almarhum Ustaz Fadzil masih hidup......"

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

Wan Abu Bakar tahu siapa Nasharudin?

Saya menerima satu email. Ia begitu detail dengan pelbagai maklumat. Oleh kerana saya tak berani nak simpan maklumat-maklumat itu, saya delete email tersebut. Di tempat trash pun saya tekan delete forever. Aku bukannya berani pun. Aku penakut!

Bagaimanapun, saya fikir, ada juga yang boleh dikongsikan seperti berikut (kecuali ayat-ayat laporan dari saya, saya tidak edit email itu):

Email itu ialah mengenai Task Force 2010 ditubuhkan atas dasar mengembalikan kestabilan di Selatan Thai. Ia diketuai oleh seorang berpangkat Jeneral daripada Kor Risik yang dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Beliau adalah Dato’ Wan Abu Bakar yang berasal dari Terengganu.

Email itu menuduh Ustaz Nasharudin Mat Isa telah terlibat dengan Task Force ini dan telah dua kali menguruskan pertemuan diantara Dato’ Wan Abu Bakar dengan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bagaimanapun, menurut email itu, Tuan Guru dengan jelas tidak mahu terlibat dengan agenda Task Force 2010 tersebut.

Nasib baik, menurut email itu lagi, Tuan Guru Nik Aziz tidak mahu membabitkan diri.

Ini kerana tidak lama kemudian, menurut email itu, agenda Task Force ini kemudiannya berubah kepada agenda perpaduan Melayu. Ianya mengalih isu Selatan Thai kepada isu menyelamatkan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi 'beyond 2010', menurut email itu. Tahun 2010 ialah tahun asal transisi kuasa antara Abdullah kepada Najib.

Email itu mendakwa, Task Force ini digembeling oleh Dato’ Wan Abu Bakar dan Nasharuddin Mat Isa untuk menganjurkan beberapa pertemuan di antara pemimpin tertinggi UMNO dengan beberapa pemimpin PAS. Akhirnya, Abdullah Badawi membuat pengakuan bahawa sedang ada rundingan antara kedua-dua parti tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah dan Muhyidin Yassin bagaimanapun berjaya membangkitkan keberanian terbuka ahli-ahli Majlis tertinggi UMNO dan pemberontakan dalaman berlaku mengakibatkan Abdullah terpaksa berundur sebelum 2010.

Email itu menuduh "Task Force ini juga terlibat dengan mendedahkan maklumat-maklumat Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia yang bertujuan menjatuhkan Najib Razak. Antaranya ialah mendedahkan maklumat pembunuhan Altantunya kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan kemudian kepada Raja Petra Kamaruddin".

Setelah ketiadaan Abdullah, dakwa email itu, ada usaha untuk mengekalkan semula Task Force ini. Pertemuan di antara wakil Task Force bersama Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi diadakan, dakwa email itu.

Bagaimanapun, dakwa email itu lagi, Najib Razak tidak berminat kerana dia tahu dan sedar apa yang telah dilakukan oleh Task Force ini ke atasnya. Namun akhirnya, dakwa email itu lagi, Najib lembut hati apabila nama Nasharudin Mat Isa dibangkitkan.

Email itu selanjutnya mendakwa, antara yang akan menjadi usaha terkininya ialah mengembalikan kegemilangan BN dengan membawa semula PAS ke dalamnya. Email itu seterusnya yakin Najib Razak akan menerimanya kerana ia akan meneruskan legasi ayahandanya.

Seterusnya email itu mengemukakan dua persoalan:

Apakah peranan Utusan Malaysia di dalam keprihatinan tiba-tiba terhadap PAS adalah sebahagian daripada agenda Task Force 2010?

Email itu mendakwa "Ya"

Siapakah Nasharuddin Mat Isa?

Email itu menjawab, tanya Dato Wan Abu Bakar.

Di bawah sekali tertulis seperti berikut:
Ikhlas,
Hassan

sumber - ~penarik beca