Wednesday, 27 May 2009

ULAMA PRO UMNO JANGAN CEPAT MELATAH

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Apabila timbulnya isu mogok lapar di Perak , Umno dilihat menggunakan ulama’ tertentu untuk menghentam PAS dan Pakatan Rakyat ( PR ). Tokoh agama Johor dan juga mantan Mufti Johor, Datuk Noh Gadut dilaporkan berkata, amalan mogok lapar haram dan bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah kerana ia boleh memudaratkan.

Selain Datuk Noh Gadut , Mufti Perak , Datuk Harussani juga membidas rancangan PR untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah..

Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya," ( lihat Mingguan Malaysia 24/5/2009 )

Saya tidak pasti bagaimana kedua-dua tokoh agama ini melihat krisis Perak. Atau dengan lebih terang lagi saya tidak pasti adakah mereka benar-benar memahami krisis Perak ini ?

Kita melihat kedua-dua tokoh ini dengan begitu mudah mengharamkan perbuatan mogok lapar tanpa melihat dan merenung mengapakah mogok lapar tersebut dilakukan ?

Apa yang malang mereka begitu mudah mengatakan mogok lapar tersebut adalah haram tetapi tidak langsung mengeluarkan pendapat mereka tentang perkara-perkara berikut :

a. Apakah hukumnya bagi Umno yang bertindak “ menculik” tiga orang bekas Adun PR bagi menjatuhkan sebuah Kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat secara sah dalam Pilihanraya Umum 2008 yang lalu

b. Apakah hukumnya Umno menggunakan segala institusi keadilan seperti Polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah ( SPRM ) bagi memberi tekanan dan ancaman kepada Speaker Perak meskipun perbuatan pihak polis dan SPRM tidak ada sebarang asas di bawah undang-undang ? Adakah hanya kerana V. Sivakumar bukan beragama Islam maka kezaliman boleh dilakukan kepada beliau ? Jika ya, bagaimanakah kedua –dua tokoh agama ini ingin menjawab ayat Al-Quran yang menyatakan “ Janganlah kebencian kamu kepada satu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil, berlaku adillah kerana dengannya ( melakukan keadilan ) akan mendekatkan kepada taqwa.”

c. Apakah hukumnya ke atas mereka yang memfitnah Dato Seri Nizar siang dan malam bahawa beliau adalah penderhaka kepada Raja hanya kerana Nizar menyatakan kalimah “ patik memohon sembah derhaka” tatkala beliau diminta untuk meletakkan jawatan oleh Sultan Perak ? Bukankah fitnah lebih dahsyat dari membunuh ?
d. Mengapakah kedua-dua tokoh agama tersebut tidak pernah bersuara menyokong Kerajaan PR yang dipimpin oleh Nizar yang memberi semula bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) dan memberi tanah sebanyak 1000 hektar kepada SAR sedangkan semua orang tahu Umno telah bertindak untuk mematikan SAR dan pernah juga menuduh SAR adalah sarang pengganas.

e. Apakah hukumnya tindakan biadap pihak polis dan disokong dan direstui oleh Umno yang menangkap orang ramai dengan sesuka hati hanya kerana mereka memakai baju hitam dan berhimpun secara aman bagi meminta Dun Perak dibubarkan ? Tidakkah kedua-dua tokoh agama ini sedar bahawa Haji Mohamad Sabu ditangkap kerana hanya ingin menganjurkan solat hajat di Perak ?

f. Adakah menangkap sesuka hati adalah sebahagian ajaran Islam ? Kalau ya terangkan kepada kami ayat Al-Quran atau Hadith manakah yang membenarkan hal tersebut ? Adakah diri dan jasad manusia tanpa mengenal agama tidak perlu dihormati ? Tidakkah Al-Quran menyatakan “ Sesungguhnya kami memuliakan Bani Adam” ? Bukankah Syaidina Umar r.a pernah menegur dengan keras Gabenor Mesir Amru Al’As apabila anaknya Muhammad memukul seorang rakyat qibti dengan kata-kata berikut “ Sejak bila kamu diberi lesen/permit memperhambakan sesama manusia sedangkan manusia itu dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas”.

f. Apakah hukumnya Umno menggunakan polis yang bersenjata masuk ke dalam Dun Perak pada 7 hb Mei 2009 meskipun tiada sebarang undang-undang yang membenarakan polis berbuat demikian dan tindakan polis itu semata-mata kerana ingin mewujudkan kekacauan di dalam Dun . Adakah terdapat di dalam Islam hukum mengheret keluar dengan kasar seseoarang seperti Sivakumar ( termasuk dengan mengangkat kerusinya sekali ) dan meletakkannya di dalam bilik stor tanpa membenarkan beliau masuk ke dalam sidang Dun meskipun beliau adalah seorang ADUN yang sah . Adakah hanya kerana dia bukan Islam maka mulut kedua-dua tokoh agama ini dikunci dari berkata-berkata ? Tidakkah kedua-dua tokoh agama ini ingat apa yang Rasulullah s.a.w. katakana kepada sahabat yang menegur Baginda apabila Baginda bangun mengormati mayat seorang yahudi yang lalu di hadapan Baginda. Bukankah Rasullullah s..a.w mengatakan begini “ Alaisat Nafsan ! ( Tidak mayat itu juga makhluk ? ). Lihatlah Rasulullah s.a.w bukan sahaja menghormati orang bukan Islam tetapi juga mayat orang Islam !!!

g. Islam mengajar pendamaian . Dalam konteks kes Perak semua orang tahu keadaan haru biru hanya dapat diselesaikan apabila dibubarkan Dun dan diadakan pilihanraya semula. Mengapakah kedua-dua tokoh agama ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan supaya Dun Perak dapat dibubarkan agar kedamaian dapat pulih semula di Perak.
h. Islam melarang sebarang amalan diskriminasi dan pilih kasih. Mengapakah kedua-dua tokoh agaman ini tidak bersuara apabila Mahkamah Rayuan dengan secara mudah dan cepat menggantung keputusan Mahkamah Tinggi apabila Zambry memohon penggantungan tersebut pada 12 hb Mei 2009 iaitu pada hari sama beliau membuat permohonan. Tidakkah kedua-dua tokoh agama tersebut melihat amalan pilih kasih apabila Nizar membuat permohonan bagi membatalkan penggantungan pada 13 hb Mei 2009 permohonan beliau hanya ditetapkan untuk pendengaran pada 21 hb Mei 2009 iaitu 8 hari selepas permohonan dibuat. Itupun pada tarikh 21 hb Mei permohonan Nizar tidak didengar kerana Rayuan Zambry juga ditetapkan pada tarikh yang sama . Bolehkah Islam menjustifikasi amalan tidak adil tersebut ?

BILA ZAHID TAK MUNCUL - HUSAM

Malam tadi saya dijadualkan berdebat dengan Naib Presiden UMNO yang juga seorang menteri kanan kabinet Malaysia: Datuk Zahid Hamidi. Persoalan sekitar rasuah dan korupsi yang sangat relevan dengan ancaman negara masa kini.

Iklan mengenainya telah disiarkan berhari-hari oleh TV9 dan juga TV3. Saya telah menyatakan persetujuan saya menyertai debat ini selepas pegawai saya mengesahkan dengan pihak pengajur, Datuk Zahid confirm datang. Zahid, tegas saya, bukan orang lain.

Isu sepenting ini, jika kita serius, hendaklah dibincangkan dengan penyertaan pihak yang berautoriti, samada dalam parti mahu pun kerajaan. Itu sebab saya mensyaratkan tokoh seperti Datuk Zahid atau orang yang sepadan dengan beliau.

Jadualnya, 26 Mei, malam. 25 Mei, malam, TV3 mula menyiarkan iklan saya berdebat dengan Sdr Ezam, tanpa persetujuan saya terlebih dahulu. Pada hemat saya, penganjur langsung tidak profesional dan Datuk Zahid langsung tidak bertanggungjawab. Kalau Datuk Zahid menggantikan seseorang seperti Setiausaha Politik beliau, cukup untuk menunjukkan rasa hormat terhadap tanggungjawab beliau kepada masyarakat umum sebagai Menteri Kabinet.

Jika Zahid tak berkelapangan di saat akhir selepas berhari-hari iklan tersiar, saya mencadangkan kepada pengajur, ia diadakan pada tarikh lain Datuk Zahid berkelapangan.

Tengah hari semalam, saya telah meminta pegawai saya menyerahkan dengan serahan tangan satu surat meminta Datuk Zahid mengotakan janji beliau dan dapat hadhir seperti yang diiklankan.

Mengikut pembantu di pejabat Datuk Zahid, bos mereka ke luar negara! Saya rasa tak menasabah. Sebab itu, selepas
sah Datuk Zahid tidak hadhir ketika program hampir dimulakan malam tadi, saya telah menalipon sendiri beliau. Datuk Zahid ada di Malaysia!

Saya meminta Datuk Zahid menetapkan satu tarikh baru bagi debat kami. Penganjur boleh menghubungi Datuk Zahid semula. Sebulan tak ada kosong, tiga emapat bulan lagi tidak menjadi masalah kepada saya.

Janganlah iklan berdegar-degar, tetapi tidak siapa ingin mengambil tanggungjawab dari gagalnya debat pada malam tadi. Tidak Zahid, tidak juga TV9?

Saya sudah berada di Sri Pentas malam tadi. Zahid tidak muncul.

Saya kesal, tapi saya bersedia menunggu untuk tarikh yang baru.

ZAHID HAMIDI MEMANG PENGECUT ORANGNYA

Malu orang Bagan Datoh, Ahli Parlimen yang jadi Menteri Pertahanan rupanya seorang yang pengecut. Tak berani berdebat dalam siri hujjah di TV9 malam ini. Seluruh rakyat Malaysia dihampakan oleh Zahid Hamidi. Husam Musa telahpun berada di Kuala Lumpur untuk berdebat dengannya, malangnya petang tadi pihak TV9 memaklumkan Zahid menarik diri daripada menyertai program tersebut. Sedangkan jutaan rakyat sudah beberapa hari menunggu bagi mengikut program suka ramai itu.
Menurut Husam, pengurusan TV9 telah memaklumkan mengenai keputusan Menteri Pertahanan terbabit membatalkan penyertaannya pada saat-saat akhir kerana sebab-sebab tertentu, dan mencadangkan Ezam Mohd Noor sebagai penganti Zahid. Husam tidak bersetuju, hasratnya hanya ingin berdebat dengan Zahid yang sama-sama terlibat memimpin parti politik dan kerajaan. Tajuknya juga sangat sesuai dengan situasi politik wang yang sedang membudaya dalam UMNO dan kerajaan.

Zahid memang pengecut, bercakap di atas pentas memang nampak hebat tetapi jiwanya kecil dan lemah.

Saya teringat 10 tahun dulu ketika gelombang reformasi, Zahid merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim, beliau bersama anggota EXCO pemuda UMNO cukup lantang menentang Dr. Mahathir. Setelah Anwar ditahan, beliau turut ditahan dibawah ISA di Sabah. Ketika beliau dalam tahanan, pemuda-pemuda UMNO sering berjumpa saya dan membeli Harakah dari saya untuk mendapatkan maklumat terkini isu-isu politik ketika itu. Hanya Harakah yang memberi liputan yang meluas dan benar terhadap gerakan reformasi ketika itu.

PAS Bg Datoh turut menganjurkan ceramah besar-besaran untuk mengulas isu ini. Ramai kalangan ahli-ahli UMNO yang menyokong Anwar hadir termasuk orang-orang kuat Zahid. Himpunan besar-besaran atas nama GERAK di Taman Melewar turut dihadiri oleh orang-orang kuat UMNO Bg. Datoh.

Setelah Zahid dibebaskan, beliau telah membuat kenyataan di hadapan Dr. Mahathir kononnya Anwarlah yang merancang untuk menjatuhkan Dr. Mahathir. Zahid tahu dia diperangkap oleh Dr. Mahathir, tetapi dasar pengecut, dia tidak berani menyatakan tentangan terbukanya kepada Mahathir. Dia gagal melalui ujian ISA, orang lain setelah keluar ISA lebih bersemangat lawan kerajaan, tetapi Zahid bertambah pengecut, kata orang Jawa "kucur'.

Saya ketika itu menjadi Ketua Pemuda PAS Bagan Datoh, dan masih berkhidtmat sebagai guru. Saya masih ingat ketika itu setelah Zahid dibebaskan, kawan-kawan saya dari UMNO melalui beberapa rakan yang sama mengajar di sekolah, menyatakan Zahid ingin sekali berjumpa dengan saya, tetapi tidak berani secara terang. Macam-macam cara cuba diatur untuk membolehkan berjumpa dengan saya.

Saya jadi hairan, hebat sangatkah saya sehingga Zahid terlalu ingin berjumpa dengan cara yang begitu strategik macam cerita James Bond. Setiap kali ura-ura nak berjumpa dengan Zahid, diaturlah berbagai strategi untuk bertemu dengannya supaya pertemuan tersebut tidak ada siapa yang tahu, saya pula menjadi rimas. Nak jumpa Zahid macam nak jumpa dengan perompak atau penyangak. Tetapi tak pernah terjadi perjumpaan tersebut. Saya berkali-kali dipesan jangan beritahu sesiapa, saya pegang sungguh pesanannya, memang tidak ada siapa yang tahu ketika itu.

Melihat kesungguhan Zahid, saya sendiri yang mengatur untuk bertemu di kediamannya di Kajang. Bukan susah sangat, saya bersama Muhaimin melalui Zaharuddin (ketika itu pemimpin mahasiswa yang rapat dengan Zahid) akhirnya dapat bertemu dengan beliau di rumahnya di Cauntry Hight, Kajang pada waktu tengah malam.

Tidak ada pun yang sangat penting rupanya, pertemuan hampir 2 jam di rumahnya. Zahid jamu kami dengan satay Kajang. Setelah kenyang makan satay, Zahid tak juga cerita apa maklumat penting yang hendak disampaikan sehingga ingin sangat berjumpa saya, hanya bersembang kosong sahaja.

Saya akhirnya yang berterus terang bertanya pendirian beliau yang sebenar, nak terus bersama dengan Anwar atau bagaimana. Jawapanya penuh dolak dalik, berkepul-kepul asap rokok gudang garam keluar dari mulut dan hidungnya, entah berapa batang yang dihisapnya, saya pun tak ingat. Beliau tetap tidak menyatakan pendirian yang sebenar.

Saya cabar dia samada bersama Anwar untuk lawan Mahathir atau bersama PAS. Contohi beberapa tokoh yang telah menyertai PAS seperti Kamaruddin Jaafar dan Datuk Dr. Hassan Ali. Macam-macam alasan diberi, antaranya terikat dengan perniagaan, kalau menyertai PAS atau Anwar, bila-bila masa akan diisytihar bangkrap, bangunan UMNO di Bg. Datoh banyak guna duit dia, hutang banyak lagi. Saya jawab mudah je, kalau Datuk masuk PAS, bangunan tersebut ahli-ahli PAS boleh tolong bayarkan, kemudian terpulang padanya nak jadikan apa bangunan tersebut. Zahid tersengih sahaja, mengisap asap rokok dalam-dalam kemudian menghembusnya puas-puas, begitulah setiap kali saya ajukan pertanyaan mengenai sikapnya yang sebenar.

Zahid juga ada menyebut dalam pertemuan itu, dia kata ada dua tokoh yang cukup dihormati yang dianggap tok gurunya iaitu Datuk Dr. Harun Din dan Ustaz Fadzil Noor. Saya segera mencelah, kalau dah anggap dua tokoh ini macam tok gurunya, tak ada sebab tak boleh bersama PAS, sedangkan dua tokoh ini pemimpin PAS dan ulama yang tersohor. Dia cuma menjawab Insya Allah berkali-kali.

Akhirnya dari pukul 11.00 hingga 1.00 pagi, Zahid tetap tidak pernah menyatakan pendirian yang jelas samada ingin terus bersama gerakan reformasi atau sebaliknya.

Dalam perjalanan pulang, saya dengan Muhaimin buat kesimpulan, bahawa Zahid orang yang tidak jelas pendirian bila berlaku kemelut seumpama ini, seorang yang penakut terhadap risiko perjuangan, seorang yang hanya menjaga kepentingan dirinya sendiri dari kepentingan rakyat dan perjuangan, seorang yang bergantung kepada kehebatan orang lain, kenaikan dalam politik kerana bergantung dengan Anwar, dia juga sangat kaya orangnya, siapa yang bagi peluang dia kaya ketika itu, Anwar juga orangnya. Apabila Anwar jatuh, dia tidak rela jatuh bersama Anwar, walaupun dia turut jatuh ketika itu di mana jawatan Ketua Pemuda UMNO terpaksa dilepaskan kepada timbalannya. Tetapi Zahid terus bergayut dengan orang lain sehingga dia dapat semula kedudukan politik yang cukup selesa sekarang, tetapi sayang, dia tetap menjadi orang pengecut.

Kalau tidak berani berdebat dengan Husam, saya cabar Zahid, jom kita berdua berdebat di Bg Datoh atas tajuk apa pun tak apa di Kg. Sg. Nipah Darat tempat kelahirannya atau di Sg. Tiang Darat tempat kelahiran saya. Tidak perlu siar dekat tv pun tak apa, panggil sahaja orang kampung di Bagan Datoh. Tak mahu wartawan tahu untuk buat ulasan, kita berdebat dalam bahasa Jawa. Amacam Zahid, setuju ke, kita berdebat?

Ngomong waie Zahid, wane orak debat karo aku, orak wani nak kine, kito berdebat nang Jowo, dhulur kito nang Jowo pun pirang-pirang, men dhulur kito seng ngerokni.

(misabahblogspot)