Sunday 7 June 2009

Ulama juga perlu ditarbiyah

Allahyarham Tuan Guru Haji Ahmad Yusof Pulau Pisang, Kedah pernah 'memarahi' seorang ahli Badan Perhubungan PAS Kedah kerana mengkritik Dewan Ulamak. Baginya institusi ulama sangat mulia kerana mereka adalah pewaris Nabi. Justeru, ia tidak wajar diperlekehkan.

Tindakan Tuan Guru Haji Ahmad Yusof yang dilakukan beliau di hadapan Almarhum Ustaz Fadzil Noor itu adalah betul. Dia mempertahankan kemuliaan institusi ulama. Namun tindakan individu yang mengkritik Dewan Ulamak itu juga tidaklah pula salah.

Beliau tidak bermaksud mengkritik kemuliaan institusi ulama sebagai pewaris nabi. Beliau hanya cuba mendedahkan kelemahan individu dalam kepimpinan ulama yang menyebabkan Dewan Ulamak tidak berperanan seperti yang sepatutnya.

Kepimpinan ulama dalam PAS bermula tahun 1983. Kemunculannya adalah seiring dengan kebangkitan revolusi Islam Iran pimpinan Ayatollah Khomeini. Tidaklah diketahui, ianya suatu perancangan, suratan atau kebetulan.

Selepas 27 tahun berlalu baru dapat dikenal pasti bahawa konsep kepimpinan ulama dalam PAS berbeza dengan di Iran. Kepimpinan ulama di Iran dikuasai dan didominasi oleh majlis syura ulamanya. Mereka benar-benar berautoriti, berwibawa, disegani dan dihormati. Ia menjadi tempat rujukan. Yang penting ialah tempat rujukan isu politik dan kepimpinan; yang sentiasa berubah dan bercelaru.

Adakah kepimpinan ulama dalam PAS begitu? Saya melontarkan soalan dan semua orang bebas memberikan jawapan. Tapi apa yang sangat pasti ialah 'kepimpinan ulama' dalam PAS diterima sebulat suara oleh setiap anggota PAS di mana-mana peringkat jua.

Kepimpinan ulama difahami sebagai kemimpinan mesti berteraskan Islam dan pemimpin adalah orang yang faham Islam atau menjadikan sumber ilmu Islam sebagai asas rujukan. Ia tidak mesti bermakna batang tubuh pemimpin mesti ulamak. Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub pernah memimpin Pemuda sekalipun mereka bukan ulama yang mendapat pendidikan formal di bidang agama.

Semua faham hal itu. Cuma, kalau 'itulah saja' maksud kepimpinan ulamak, maka ia tidak bermula dari tahun 1983. Mungkin sejak PAS ditubuhkan lagi, kepimpinan ulamak sudah bermula. Jangan lupa bahawa antara agenda penting terbit dari kepimpinan ulama ialah penubuhan Majlis Syura Ulamak yang dimasukkan dalam perlembagaan parti.

Selepas PAS Pusat merayakan Jubli Perak, kepimpinan ulamak nampaknya tidak sehebat kepimpinan ulamak di Iran yang benar-benar memperkasa majlis syura ulamak, sehingga keputusan entiti tersebut dipertikaikan lagi. Ulamak Iran juga tidak terdedah (atau mendedahkan diri) kepada kontroversi.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mat Daud Iraqi baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu 'rasuah politik' dalam PAS yang mengundang kemarahan banyak pihak. Rasuah adalah kerja terkutuk yang sangat hina. Ia menjadi sebab musuh politik PAS, Umno, hancur lebur.

Dalam PAS jangankan perbuatan merasuah untuk naik jadi pemimpin, niat untuk merasuah dalam hati kecil pun seharusnya jangan ada. Ekoran kenyataan Ustaz Mat Daud itu, ramai tercari-cari siapa dia 'pemimpin terkutuk' yang ada dalam PAS itu.

Kenyataan itu bukan setakat mengundang keresahan pemimpin PAS, tapi membuka ruang yang sangat luas kepada anggota bukan PAS, khususnya Umno untuk mentohmah PAS. Ia memberi imej yang sangat buruk terhadap PAS. "Tengok, Umno dan PAS sama saja ... taik rasuah!"

Sakit telinga untuk mendengarnya sedangkan apa yang dicanangkan tidak berlaku pun. Kalaupun berlaku (andaian yang tidak masuk akal), apakah bijak menggunakan saluran media tali barut BN, yang tidak pernah bersimpati terhadap perjuangan Islam, untuk menyelesaikan masalah?

Laporkan saja pada jawatankuasa kerja PAS Pusat untuk diambil tindakan. Andai kenyataan liar seperti itu diucapkan oleh pemimpin bawahan PAS, ia tetap mencetuskan kontroversi. Apatah lagi yang mengucapkannya ialah Ketua Dewan Ulamak PAS.

Namun selagi kita manusia, ulama atau bukan ulama, tetap tidak tersisih dari melakukan kesalahan. "Nabi Muhammad adalah pemimpin dan juga imam. Ada ketika Baginda khusyuk solat sampai mengerjakan Maghrib empat rakaat tetapi kemudiannya ditegur makmum.

Rasulullah s.a.w. akur dan mengerjakan sujud sahwi," kata Dato' Dr Harun Din, Timbalan Mursyidul Am PAS. "Ini bukan kesilapan, tetapi petunjuk ringkas dari Rasulullah s.a.w. bahawa pemimpin boleh ditegur, dibantu dan diberi pandangan."

Betul, ulama boleh ditegur. Pengisian kepimpinan ulama juga boleh dipersoal atau diperbetulkan. Melakukan kesilapan adalah perkara biasa, tetapi apabila ulama yang melakukan kesilapan ia mesti dianggap luar biasa. Barulah institusi ulama akan dihormati. Justeru, ulamak juga perlukan pentarbiahan di samping mereka mentarbiyah orang lain.


Zulkifli Yahya

Satu lagi tamparan untuk Hadi...

Sehari selepas DAP mempertikaikan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pakatan Rakyat memberi "reaksi positif" terhadap penubuhan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional, PKR - satu lagi rakan PAS dalam Pakatan - pula menafikan perkara itu.

Timbalan Presidennya, Syed Husin Ali berkata Pakatan Rakyat tidak pernah bersetuju dengan kerajaan perpaduan yang membabitkan Umno.

Beliau berkata, setahunya, majlis kepimpinan Pakatan - yang turut dianggotainya - tidak pernah memberi persetujuan terhadap idea tersebut.

Malah, katanya, majlis tersebut tidak pernah membincangkannya secara mendalam, walaupun beberapa bulan lalu, Abdul Hadi ada memberi penjelasan apabila ia dibangkitkan dalam mesyuarat majlis tersebut.

Syed Husin berkata, beliau secara peribadi tidak percaya yang partinya akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Umno "selagi ia meneruskan amalan dan dasar-dasar korup dan tidak demokratik".

Katanya lagi, adalah mustahil bagi PKR untuk bekerjasama dengan sebuah parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disifatkan oleh Syed Husin mempunyai "watak yang meragukan".

Husam persoal 'musuh' Haron Din

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri

Datuk Husam Musa memohon penjelasan daripada Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din memberi penjelasan berhubung ucapannya mengenai "musuh dalam selimut" parti itu.

Husam, yang gagal dalam percubaan merebut jawatan timbalan presiden semalam, berkata penjelasan ungkapan tersebut "mustahak".

"Saya minta Dr Haron menjelaskan ungkapan itu dalam kertas kerja tersebut," katanya, sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan sebagai mantan naib presiden PAS hari ini di muktamar PAS di Stadium Malawati, Shah Alam.

"Penjelasan (ungkapan) mustahak."

Dua minggu sebelum persidangan, Dr Haron berkata PAS harus berhati-hati terhadap musuh parti, termasuk tajaan Umno atau negara asing, yang bakal menguasai pucuk pimpinan parti.

Ketika bercakap di seminar kepemimpinan ulama 23 Mei lalu, tokoh ulama PAS itu berkata musuh-musuh parti berpeluang menaikkan pemimpin tertentu melalui liputan meluas di media.

"Faktor kemenangan dalam pemilihan parti ialah kekerapan liputan dalam akhbar seperti (organ rasmi) Harakah dan (mingguan politik) Siasah atau media-media lain.

"Justeru itu, musuh berpeluang besar mempromosikan individu-individu tajaan mereka bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan parti," katanya, seperti dalam satu teks ucapan di Markaz Tarbiyah PAS di Gombak.

"(Keahlian terbuka PAS) ini akan membuka peluang besar kepada Umno dan musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam.

"Sehingga kini kita tidak mempunyai mekanisme khusus bagi dijadikan perisai menghadapi musuh kerana strategi ini dilakukan oleh Amerika Syarikat di dalam organisasi Islam di peringkat dunia."

Menjawab pertanyaan Husam, pengamal perubatan alternatif itu bagaimanapun menafikan ucapannya ditujukan kepada pihak tertentu, sebaliknya menyatakan ia dibuat secara umum.

Dr Haron juga berkata "Husam tidak pernah cakap dengan saya secara peribadi" tentang perkara tersebut.

"Saya ingat, tidak ada saya sebut ("musuh dalam selimut"). Saya tidak kata dalam PAS ada musang berbulu ayam. Dan saya tidak kata ada musuh dalam selimut.

"Tetapi saya sebut, musuh sentiasa ada, mungkin sebutan itu orang mengulas dan menambah," jelasnya, sambil meminta maaf jika ucapannya itu disalahfaham.

Bekas pensyarah agama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga mengingatkan penyokong PAS supaya berhati-hati dengan laporan media "selain Harakah dan Siasah" yang belum dapat dipastikan kesahihan laporan mereka.

Mengulas lanjut isu "musuh dalam selimut", Dr Haron hari ini berkata, dengan keahlian parti mencecah jutaan orang, sudah tentu musuh besar seperti Amerika Syarikat dan Israel merancang menggendalakan agenda Islam yang ingin dibawa PAS.

Dr Haron sebelumnya mengkritik sikap tidak patuh kepada pemimpin dan "lawan taukeh" yang disifatkannya sebagai "penyakit parti politik tidak Islam" agar tidak berjangkit ke dalam PAS.

Tidak jelas sama ada ungkapan ini ditujukan kepada Husam atau pemimpin lain yang menolak saranan kerajaan perpaduan seperti anjuran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mengakhiri ucapan beliau dengan dengan laungan takbir daripada kira-kira 2,000 hadirin yang hadir.

malaysiakini

Kerajaan perpaduan: Nik Aziz tolak idea Hadi, anggap “karut”

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disyorkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno merupakan idea karut yang boleh merugikan PAS.

“Idea itu mengarut, orang lain tak tahu macam mana kami berhadapan dengan Umno di Kelantan,” kata beliau semalam.

Bercakap dalam ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Stadium Malawati, Nik Aziz berkata, beliau sendiri tidak faham bagaimana cadangan seumpama itu timbul sedangkan parti itu telah mengambil ketetapan untuk menyokong Pakatan Rakyat yang dianggotainya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

“Saya tak faham macam mana (timbul)… kita sudah buat keputusan di Ipoh tahun lalu, dan kita menyokong Pakatan Rakyat,” katanya.

Kenyataan Nik Aziz itu ternyata bercanggah dengan pandangan Abdul Hadi yang terus menaruh keyakinan bahawa cadangan pembentukan kerajaan perpaduan akan tetap diterima satu hari nanti.

Selain itu Nik Aziz turut membantah sebarang usaha sama atau rundingan bersama Umno yang bermatlamat untuk membincangkan mengenai perkongsian kuasa.

“Nak berunding untuk tubuh kerajaan tak usah, tapi nak bincang dengan Umno untuk benda lain boleh,” katanya.

Sambil menyifatkan Umno sebagai samseng politik, Menteri Besar Kelantan itu turut mengingatkan supaya Umno terus dimusuhi dan dibasmi.

“Umno adakah samseng politik, kita perlu matikan mereka habis-habisan.

“Mereka ini umpama telur-telur tinggalan penjajah Inggeris dahulu yang menetas satu persatu,” katanya.

mSTAR

USUL TERGEMPAR: Tubuhkan Suruhanjaya Bebas DiRaja siasat pengambilan secara haram kerajaan Perak

SHAH ALAM, 7 Jun : - Satu usul tergempar mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Diraja siasat pengambilan secara haram kerajaan Pakatan Rakyat Perak diterima sebulat suara.

Usul yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun, Perak itu diterima untuk dibahaskan setelah menyedari tindakan Umno/BN merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak merupakan perbuatan yang biadap dan tidak menghormati suara rakyat.

Perwakilan Perak, Dr Khairuddin Abdul Malik yang juga bendahari PAS Perak ketika membawakan usul tersebut menegaskan perlunya penubuhan suruhajaya tersebut bagi menyiasat perbuatan Umno/BN yang merasuah wakil rakyat bagi membolehkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

"Kami mencadangkan usul tergempar ini kerana tidak mahu lagi peristiwa yang berlaku di Perak berulang dinegeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain.

"Kerana itu kami mendesak supaya Suruhanjaya Bebas DiRaja perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat perbuatan rampasan kuasa itu," tegas Dr Khairuddin.

Kerajaan tegas beliau perlu segera menubuhkan suruhanjya ini bagi membolehkan segala perbuatan tidak bermoral yang dilakukan untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak dapat didedahkan kepada umum.

Usul yang dibawakan itu disokong sepenuhnya oleh PAS Kawasan Shah Alam dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat melalui perwakilan mereka yang membahaskan usul tersebut.

Perwakilan Shah Alam, Khalid Samad yang membahaskan usul tersebut menegaskan, penubuhan suruhanjaya tersebut perlu disokong tanda penolakan terhadap Umno/BN.

Beliau juga menyeru semua perwakilan supaya tidak mudah terpedaya dengan agenda yang dimainkan Umno/BN yang cuba memerangkap dengan tawaran-tawaran yang amat menarik.

Selain Khalid, perwakilan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Dzulkifli Ahmad juga menyokong penuh usul tergempar yang dibawa oleh PAS Kawasan Tambun dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Harakahdaily.