Sunday 5 July 2009

Pengerusi Suhakam Mahu Pilihanraya Di Perak

Kerajaan Umno-Barisan Nasional berang dengan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Abu Talib Othman yang menggesa pilihanraya diadakan segera di Perak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz berkata Abu Talib tidak lagi layak mempengerusikan badan hak asasi manusia itu kerana tidak berpendirian neutral dalam krisis politik di negeri Darul Ridzuan.

Pada Mei lalu, Abu Talib dipetik sebagai berkata rakyat Perak harus diberi pilihan untuk melaksanakan tanggungjawab menentukan kerajaan kehendak mereka.

“Ini adalah asas hak asasi manusia,” tegas Abu Talib.

Abu Talib berkata demikian ketika dimitna mengulas perlantikan Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak dan kejadian Speaker V Sivakumar diheret keluar dari Dewan Undangan Negeri atas arahan Umno-BN.

Nazri berkata kenyataan bekas Peguam Negara itu bersifat subjudis dan boleh mempengaruhi kes kerajaan Perak.

"Itu ada pandangan beliau. Beliau ada kebebasan untuk menyatakan pandangannya. Bagaimanapun bagi saya, beliau tidak wajar menyatakan demikian," kata Nazri semasa membahaskan Rang Undang-Undang Suhakam (Pindaan) 2009.

"Sebagai bekas pendakwa raya nombor satu negara, Peguam Negara, beliau tidak harus mempengaruhi hakim memandangkan kes masih dalam pertimbangan mahkamah. Sangat jelas ia adalah subjudis," katanya lagi.

Beliau seterusnya mengingatkan para persuruhjaya Suhakan harus neutral dan tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.

Menjawab peringatan Nazri itu, ahli Parlimen Tian Chua (PKR-Batu) menarik perhatian Dewan Rakyat kepada keputusan kerajaan melantik peguam Umno, Muhammad Shafee Abdullah sebagai persuruhjaya Suhakam.

Tian Chua mempersoalkan mengapa Shafee yang terbabit sepenuh masa dalam politik sebagai penasihat dan peguam kepada Umno dilantik sebagai persuruhjaya.

Tian menambah dwi-peranan Shafee ini satu percanggahan serius kerana dalam pada dia dituntut supaya bersifat neutral sebagai seorang persuruhjaya, dia juga perlu memastikan kemenangan undang-undang berpihak kepada Umno-BN.

Abu Talib , mengeluarkan kenyataan berdasarkan interpretasi beliau keatas hak asasi manusia. Ini adalah berbeza dari kes seorang peguam yang dilantik untuk mewakili sebuah parti politik,” tegas Tian.

“Bukan sahaja beliau aktif dalam politik, tetapi juga dia dilantik dan masih seorang persuruhajaya. Ini amat mengelirukan – bagaimana boleh seorang persuruhajaya Suhakam mengambil bahagian dalam kes-kes politik?” kata Tian.


Nazri menjawab Abu Talib tidak perlu mengulas mengenai isu Perak kerana kes tersebut tidak termasuk dibawah bidang kuasa Suhakam.

Sementara Shafee pula, kata Nazri lagi, bergerak atas asas profesionalisma sebaik sahaja dia dilantik mewakili anak guam.

Sumber: TVAntara

Kenyataan Media SUA Berhubung Tuduhan Bank Malaysia Terbabit di Dalam Transaksi Penjualan Senjata Oleh Korea Utara

Kenyataan Media Untuk Edaran Segera—

5hb Julai 2009

Parti Keadilan Rakyat memandang serius perkembangan mutkahir di Laut Timur. Korea Utara telah pun melancarkan 7 peluru berpandunya ke arah bahagian pantai timur negaranya. Tindakan ini jelas menyalahi resolusi 1874 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berusaha mengendurkan ketegangan di rantau itu. Komuniti antarabangsa melahirkan rasa kesal dan mengecam keras pelancaran peluru berpandu tersebut.

Resolusi 1874 yang diluluskan pada 12hb Jun 2009 itu mengharamkan sebarang ekspot senjata oleh Korea Utara. Langkah ini bertujuan menyekat Korea Utara dari menggunakan dana hasil penjualan senjata bagi pembangunan program senjata nuklearnya. Makanya amatlah penting resolusi ini dipatuhi dengan kerjasama komuniti antarabangsa demi mewujudkan keamanan berkekalan, bukan sahaja di rantau Timur Jauh, bahkan juga di seluruh Asia.

Oleh itu adalah mengejutkan apabila beberapa laporan akhbar dari Korea Selatan mengaitkan bank di Malaysia digunakan untuk transaksi pembayaran penjualan senjata dari Korea Utara ke Myanmar. Tambah membimbangkan apabila rombongan khas perlaksanaan resolusi 1874 dipatuhi yang diketuai Phillip Goldberg, dijadualkan ke Malaysia, bertujuan memastikan negara ini mematuhi perlaksanaan resolusi tersebut. Sekiranya benar tuduhan yang dilaporkan akhbar terbabit (Korea Herald dan Korea Times), kita merasa kesal dengan kecuaian kementerian dalam negeri dan regulasi kewangan negara.

Keadilan menekankan isu keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dipandang remeh. Kerajaan mestilah bersikap telus serta bertanggungjawab, terutamanya apabila menangani isu sebegini. Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar Rumah Putih bertarikh 26 Jun 2009 menyatakan antara butir penting perbualan Presiden Obama dan Dato’ Seri Najib ialah memastikan perlaksanaan resolusi 1874 dipatuhi. Ini jelas bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Malaysia tersebut kepada media dan rakyat Malaysia berhubung perbualan telefon beliau dengan Presiden Amerika Syarikat itu. Dato’ Seri Najib sewajarnya menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat. Kita bimbang sekiranya terbukti tuduhan bank di Malaysia terbabit di dalam transaksi penjualan senjata oleh Korea Utara, negara ini akan dikenakan tindakan keras oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sepertimana yang nyaris dikenakan apabila syarikat Scomi Precision Engineering dikatakan terlibat di dalam menghasilkan komponen senjata nuklear.

SALEHUDDIN HASHIM
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI KEADILAN RAKYAT