Sunday, 20 December 2009

Dasar Pakatan Rakyat: Muafakat baru untuk Malaysia

SHAH ALAM, 19 Dis: Tepat jam 5.30 petang 19 Disember, bertempat di Auditorium MBSA, Dasar Pakatan Rakyat diluluskan sebulat suara dalam konvensyen pertamanya.

Ia diluluskan apabila semua perwakilan berdiri dan mengangkat tangan tanda setuju apabila ditanya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan cadangan Lim Kit Siang.

Berikut adalah kandungan muafakat rakyat.

Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijaksanaan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan "demokrasi otoritarian". Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tergelincir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.

Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campurtangan politik dan kepentingan perniagaan.

Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.

Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.

Malah kami yakin, kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.

Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil, terutama bagi kelompok miskin dan terpinggir.

Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yan ghanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golonga miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.

Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.

1. Demokrasi Telus dan Tulen

a. Negara perlembagaan dan kedaulatan undang-undang

Perlembagaan Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pakatan Rakyat akan:

1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-manaantara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

2. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan.

3. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

4. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.

5. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalin serta melanggar hak asasi.

6. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

b. Pemisahan kuasa

Kebanyakan amalan sistem demokrasi bergantung kepada keutuhan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa. Integriti sesebuah kerajaan bergantung kepada kebebasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjamin keseimbangan antara cabang eksekutif, kehakiman dan legislatif.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

2. Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya lebih telus, demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak dan imbang.

3. Menjamin pertangjawaban badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada Parlimen.

4. Mewajibkan pelantikan jawatan-jawatan seperti Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah dan Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.

5. Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).

6. Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.

7. Membebaskan media, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan Internet.

8. Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta menjamin kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali dan menjalankan tanggungjawabnya secara cekap.

9. Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil. Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.

c. Sistem pilihanraya yang bersih, bebas dan adil

Kewibawaan sistem pilihanraya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan. Makanya adalah penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkaitan dengan pilihanraya.

Pakatan Rakyat akan:

1. Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.

2. Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan membersihkan senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri, memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan menggunakan dakwat kekal.

3. Memastikan media massa memberi ruang kepada semua parti politik secara dil dan saksama, tempoh kempen yang munasabah dan pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan bebas.

4. Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.

5. Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihanraya umum.

6. Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menghukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.

2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil

Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan. Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah negara secara cekap dalam pelaburan di bidang-bidang dan sektor-sektor utama dan strategik adalah penting bagi menjamin daya saing negara.

Merancakkan pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan bakal menjadikan ekonomi berdaya maju dan berdaya tahan.

Pakatan Rakyat beriltizam untuk "Merakyatkan Ekonomi Negara" bagi memastikan kemakmuran dan kekayaan yang terhasil dikecapi oleh seluruh lapiran rakyat. Sekaligus merapatkan kesenjangan di antara kaya-miskin serta mengatasi ketidak seimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan tempang yang tidak mendahului kepentingan rakyat ramai.

a. Ekonomi kemahiran tinggi

Paksi kepada ekonomi berprestasi tinggi adalah tenaga kerja yang berpengetahuan, berketrampilan dan berkemahiran. Pakatan Rakyat akan membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk membekalkan kewujudan warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah dalam kegiatan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menjamin peluang pendidikan tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan pertanian.

2. Memastikan warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta diberi latihan berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti.

3. Menggalakkan warga negara yang profesional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke tanahair dengan menyediakan suasana kerja yang profesional dan menarik.

b. Ekonomi demokratik dan telus

Pakatan Rakyat beriltizam melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme bagi meningkatkan kepertanggungjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan mengekang pertumbuhan mampan serta menghakis daya saing negara.


Pakatan Rakyat akan:

1. Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.

2. Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding semula konsesi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil pada rakyat, termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan prasana air.

3. Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara bersedia.

c. Desentralisasi dan pengupayaan pengurusan ekonomi negeri

Selaras dengan semangat persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.

Desentralisasi mampu mendorong perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkatkan hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

1. Melaksanakan formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.

2. mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan pelaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka bentuk dan jaringan pengangkutan awam.

3. Menjana pembangunan kawasan yang lebih seimbang, sekaligus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah Klang.

4. Mengutamakan dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta berjangka panjang, berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik untuk menentukan serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi.

d. Dasar afirmatif berdasarkan keperluan

Pakatan Rakyat memperakui bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan berdasarkan keperluan tanpa mengira latar belakang. Pakatan rakyat bertekad untuk merakyatkan ekonomi negara, agar khazanah negara dapat dinikmati dengan adil oleh semua.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.

2. Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.

3. Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin.

4. Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.

5. Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta jihad menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi kemiskinan.

e. Tenaga kerja

Tenaga kerja adalah tunjang kepada kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dipelihara.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.

2. Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.

3. Memperkenalkan Akta peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.

4. Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi serta mengurangkan karenah birokrasi.

5. Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.

6. menyusun dasar pekerja sing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

7. Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang bekerja sendiri.

f. Jaringan perlindungan sosial

Setiap rakyat Malaysia harus menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa. Rakyat yang hilang mata pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah mesti dilindungi dan diberi peluang untuk turut menikmati faedah pembangunan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.

2. Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan latihan semula pekerja.

3. Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang kepada masyarakat.

g. Perumahan

Rumah merupakan keperluan asas manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berkeupayaan memiliki
rumah sendiri terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Maka

Pakatan Rakyat akan:

1. Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk menambahkan bilangan rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu keluarga, Satu Rumah.

2. Mengatasi masalah 'setinggan/peneroka bandar' sebaiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian
tanah dan melalui syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan membeli rumah mereka.

3. Menyelaraskan sistem perundingan antara 'setinggan/peneroka bandar', pemaju dan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara berkaitan perumahan dan tanah.

4. Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah.

5. Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.

6. Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor kewangan untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.

7. Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar perumahan dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk mereka yang memerlukannya.

h. Prasarana dan kemudahan awam

Penyediaan dan penyelenggaraan prasana awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan. Pelaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat atau menguntungkan kroni tertentu. Prasarana dan kemudahan awam yang baik membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan pendapatan boleh belanja dan produktiviti mereka.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.

2. Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian balik lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7 tahun.

3. Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam melalui penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak kerajaan dan wakil masyarakat.

4. Memperkenalkan sistem separuh tambang bagi warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara untuk semua jenis pengangkutan awam.

5. Menyemak semula pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat besar dengan keutamaan kepada pengusaha individu dan persatuan mereka.

6. Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.

i. Alam sekitar

1. Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.

2. Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.

3. Membina asas dan kemahiran teknologi bagi melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.

4. Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.

5. Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian antabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.

j. Pertumbuhan lestari dan pembangunan hijau

Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi hijau sebagai teras kepada era kemakmuran baru yang lestari dan saksama untuk Malaysia. Penyediaan prasarana dan perkembangan industri baru sejajar dengan peralihan ke arah ekonomi hijau akan menjadi enjin penjanaan pertumbuhan ekonomi yang dinamik.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memperkenalkan prasarana yang moden, lengkap dan sesuai untuk ekonomi karbon rendah, termasuk sistem pengangkutan awam berintegrasi bertaraf dunia dan sistem kita semula yang menyeluruh.

2. Membangunkan industri-industri yang berasaskan teknologi hijau seperti pembuatan panel surai dan sel fuel hidrogen.

3. Memimpin pembangunan sistem sumber tenaga alternatif dan tenaga keterbaharuan di rantau Asia.

4. Mengukuhkan sektor pertanian dengan kaedah dan teknologi terkini demi memastikan jaminan bekalan makanan negara.