Tuesday, 7 July 2009

Perak Gemuruh - Di sebalik cerita di Duta Vista ?

Sejak isu Osman dan Jamal dipanaskan semula menerusi blog tertentu, nama-nama peloya itu kembali diingati semula. Peranan dan gaya hidup malah bini-bini mereka juga turut terkait sama. Hebat sungguh insan2 ini yg telah berupaya meruntuhkan sebuah kerajaan di sebuah negeri. Meranapkan harapan jutaan rakyat serta mengigit jarikan beberapa pemohon balak yg belum sempat mantan MB Nizar luluskan. Amat memeritkan ?

Di sepanjang perbualan, sambil minum2 kopi dengan beberapa pimpinan bertaraf negeri (baca pimpinan negeri Pakatan Rakyat) Perak baru-baru ini, isu ini juga turut dibualkan bersama. Lucu, kelakar dan simpati bercampur-campur bila adunan cerita tentang 2 watak 'gedebe' ini ditelanjangkan semula. Bagi wak, isunya tidaklah sebesar mana, hingga boleh memaksa untuk DUN Perak terbubar dalam tempoh masa yg terdekat. Siapalah mereka itu..,2 watak yg tidak punya harga lagi dimata pengundi di kawasannya sendiri. Hidup seumpama terbuang..tak ubah macam surat khabar lama, hanya layak dibuat bungkus ikan atau sayur di pasar-pasar.

Andai berlaku pembubaran DUN, hakikatnya bukan kerana angkara 2 watak itu, watak itu telah monopous, tidak lagi penting..malah telah dikesampingkan..kerana tidak begitu me'najib'kan langsung..magicnya hanya seketika, dan bersifat sementara, umpama bidalan melayu, " habis madu sepah dibuang ", "habis kapur, sireh ditebang " sehinggakan cerita yg berlaku dan terjadi di ruang lobi Duta Vista benar-benar buat urat leher jadi keras kerana lawaknya si Osman.

Dunia ini kecil beb ! Bayangkan macamana terkucilnya si Osman apabila secara tidak sengaja telah terserempak dan bertembung secara spontan di ruang lobi tersebut dengan bekas ketuanya. Haji Nizar. Hingga terkeluarlah kata-kata dari mulut Osman jailu memohon maaf, atas tindakannya dulu, yg mana beliau cukup menyalahkan rakannya si Jamal. Dengan topi atas kepala macam topi budak-budak hip hop suka pakai itu, si Osman tiada pilihan selain terpaksa bercakap juga dgn Nizar. Walaubagaimanapun, seperti yg dijangkakan, apa saja cakap si Osman tidak lebih sekadar boleh didengar sahaja, percaya jangan. Lagipun percakapan yg tergagap-gagap salahkan sana, salahkan sini, bukanlah cakap yg boleh dipakai sangat, anggap saja sebagai hiburan.

Dan pekung itu tidak perlu lama untuk diketahui apabila blogger blog Umno, memecah inti ceritanya dimana Osman jelas mengejek2 pula apa yg telah dicakapkannya kepada Hj. Nizar ketika berjumpa di Bandar Sunway, Ipoh..., sekadar untuk menolak malu. Dasar munafik jika benarlah itu wajah Osman yang sebenarnya.

Apapun, Osman tetap tidak menyatakan bahawa beliau akan berpaling tadah, cuma sekadar memohon maaf sahaja kepada Hj. Nizar, kerana hidupnya akan kekal bahagia dgn limpahan wang ringgit dan janji2 mulus Umno/BN sehingga akhir hayat. Biarkan..biarkan..dan kita terus biarkan ! Malah jika boleh, biarlah batu nesannya juga disadur dgn replika ringgit berwarnakan ungu. Baru boleh lawan si Billy Jean.

DUN bubar hanya sekadar kemungkinan, malah Hj. Nizar juga meletakkan ayat yg cukup 'selamat' apabila menyebut sebelum PRU13, ini bermakna tiada tarikh, tiada bulan dan tiada tahun yg digazetkan bila akan bubar...selamat bukan ! Tetapi andai mahu mencipta 'kontroversi' atau meletup isu, anda boleh saja menyebut mana-mana nombor utk di'judi'kan bagi tatapan pembaca blog. Tapi hakikatnya tetap kosong tanpa ada kesinambungannya. Sekadar untuk sedap dibaca.

Apapun kepercayaan untuk pembubaran DUN Perak, tidak ubah seperti resam kita menanti detik tarikh 16 September tahun lalu, terus berlalu dan dilalukan. Dan dihujungnya tidak lebih sekadar retorik, yang menyiksakan jiwa!

albanjari

Perbandingan Antara Dua Tokoh Tuan Guru

Artikel Oleh: PedangHijau

Sembang-sembang politik kian hangat di mana-mana tempat seperti di pejabat, kedai kopi, pasaraya dan lain-lain. Fenomena ini semakin menyerlah pasca Pilihanraya Umum ke 12 pada 8 Mac 2008 yang mana Barisan Alternatif dan DAP memenangi banyak kerusi parlimen, sekaligus menafikan penguasaan majoriti dua per tiga BN di parlimen.

Ia suatu kejutan bukan sahaja kepada pimpinan PR tapi turut dirasai oleh pengundi.

Dalam kerjasama PR, Pas merupakan parti politik yang paling lama dan sarat dengan pengalaman menempuhi PRU. Oleh itu, Pas tidak terlepas daripada menjadi tumpuan para penganalisis politik dalam melihat pekembangan parti itu seterusnya merencana program mengurus kemenangan yang dikurnia Allah bersama -sama parti PKR dan DAP.

Dalam hal ini, tumpuan semestinya terarah secara jelas kepada kepimpinan Pas yang baru sahaja dipilih dalam muktamar di Shah Alam sebelum ini. Dari cakap-cakap kedai kopi, penulis dapat mengenalpasti beberapa topik seperti "Perbandingan Antara Dua Tokoh Tuan Guru". Dalam 'persidangan meja bulat' itu ada yang mengkritik dan menyokong kedua-dua Tok Guru dalam Pas ini.

Antara komen mereka Tok Guru Nik Aziz (TGNA) lebih bersikap lemah lembut berbanding Tok Guru Haji Hadi (TGHH). Seperti biasa apabila tajuk begini diutarakan ada yang pro dan kontra. SKritikan tentang perkara ini kian jelas apabila isu Unity Government memecah kehangatan politik tahan air beberapa minggu yang lalu.

Pada pendapat penulis,perbandingan antara TGNA dan TGHH ini tidak perlu diperbesarkan sehingga ada yang melontarkan kata-kata yang kurang elok kepada kedua-dua ulama' ini. Penuli s akan memberikan pandangan seperti di bawah:

1. Kedua-dua Tok Guru ini merupakan ulama' dalam Pas dan tanah air. Maka kita sebagai orang Islam perlu menghormatinya. Tambahan pula, mereka tidak membuat apa-apa kesalahan yang boleh menggadai prinsip perjuangan.

2. TGNA dan TGHH belajar dalam bidang agama tetapi dalam disiplin berlainan(walaupun disiplin berbeza tetapi asas akidah tetap sama). Maka cara pemikiran, pembentukan idea dan strategi antara mereka juga berbeza.

3. Kedua-dua Tok Guru kesayangan ummah ini telah lama mewakafkan diri mereka dalam perjuangan, mereka kenal siapa musuh dan kawan. Mereka tidak berani menukarkan kebenaran ayat-ayat Allah dengan kesenangan dunia(Dengan izin Allah).

Oleh itu, apa yang perlu dibandingkan lagi kerana perbezaan pendapat antara pemimpin dalam jemaah bukan kerana menegakkan kepentingan diri tetapi martabat agama yang diperjuangkan.
Bersama kita mencintai Islam.

tranungkite

Mengapa saya tentang dasar PPSMI

Artikel Oleh Zukri Akashah

KALAU ada orang Malaysia mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh maju dengan budaya Melayu, tidak boleh maju dengan bahasa Melayu, mesti dengan bahasa Inggeris, maka orang itulah yang akan saya persalahkan bila dikatakan pemikiran orang kita tidak pernah maju-maju walaupun prasarana di sekelilingnya sudah berada di kelas nombor satu.

Saya tidak nafikan kepentingan bahasa Inggeris, saya juga bersetuju bahawa adalah sesuatu yang bagus untuk menguasai bahasa asing seperti bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.


Saya tidak menghalang kalau ada orang mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Tetapi kalau saya ke Jepun untuk menyambung pelajaran, saya akan terpaksa belajar bahasa Jepun, tidakkah bahasa Jepun juga bahasa ilmu? Jika saya ke Jordan menyambung pelajaran, saya akan terpaksa belajar bahasa Arab, tidakkah bahasa Arab juga bahasa ilmu? Andai saya ke Jerman untuk belajar kejuruteraan, saya terpaksa belajar bahasa Jerman, tidakkah bahasa Jerman juga bahasa ilmu?

Yang paling penting, jika seorang Rusia datang ke Malaysia untuk menyambung pelajaran, tidakkah dia perlu belajar bahasa Melayu? Maka bukankah bahasa Melayu juga bahasa ilmu?

Orang yang begitu mempertahankan dasar PPSMI mendakwa kononnya jika PPSMI dimansuhkan, ia akan memberi masalah kepada anak-anak kita untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, bukankah banyak sumber rujukan dalam bahasa Inggeris? Orang begini boleh mempersoalkan pula sampai bila kita mahu bergantung kepada penterjemah?

Saya kasihankan orang sebegini. Ternyata dia terlalu berkiblatkan British dan Amerika Syarikat, walaupun pernah hidup di era Dasar Pandang ke Timur. Sudah berapa ramai negara kita menghantar pelajar ke negara-negara seperti Jepun, Rusia, China, Jerman dan Perancis? Tidak pernah pula saya dengar mereka ini di waktu persekolahannya belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Jepun, Rusia, China, Jerman atau Perancis. Mereka lulus juga, cemerlang juga, pulang ke Malaysia menabur jasa dan bakti.

Orang yang mempersoalkan kebergantungan masyarakat kepada kerja-kerja terjemahan adalah orang yang buta tamadun. Bukankah tamadun Islam bangkit dan berkembang akibat rancaknya aktiviti-aktiviti terjemahan karya filusuf terdahulu seperti Aristotle dan Plato.

Bukankah Barat bangun dari kegelapan dan membina zaman kebangkitannya hasil dari terjemahan karya-karya sarjana Islam sebelumnya? Dan bukankah juga agama Islam sendiri berkembang kerana masyhaf Quran telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa?

Lemahnya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kita bukan kerana melayunya mata pelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah. Anak-anak kita sudah belajar bahasa Inggeris dari Tahun Satu ke Tahun Enam, dari Tingkatan Satu ke Tingkatan Lima.

Waktu saya dahulu, selain subjek bahasa Inggeris biasa, pelajar juga dibenarkan mengambil English 1119 dalam peperiksaan SPM. Hari ini pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke universiti tempatan pun mesti menduduki peperiksaan MUET. Tidak cukup lagikah pendedahan bahasa Inggeris untuk mereka?

Bagi saya yang salah bukan bila masyarakat menolak dasar PPSMI, tetapi jika benar penguasaan bahasa Inggeris secara umumnya memang lemah di kalangan pelajar kita sejak dahulu, maka yang harus dipersoalkan ialah bentuk latihan yang diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris, dari peringkat sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah. Silibus dan kaedah latihan guru-guru bahasa Inggeris di maktab-maktab perguruan harus dikaji dan digubal semula, juga semakan turut perlu dibuat terhadap kriteria pemilihan calon-calon guru bahasa Inggeris tersebut.

Ingatlah akan pesan jauhari dahulu-kala, bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Maka bagi bangsa Malaysia yang berbahasa rasmikan bahasa Melayu, bahasa Melayu itulah jiwanya. Hari ini kita sedang menggunapakai satu proses indoktrinisasi yang sesat.

Kita bukan sahaja sedang "membasuh minda" anak-anak kita supaya membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi juga mengira dan berteori dalam bahasa Inggeris, lebih parah daripada itu, anak-anak kita ditekan supaya berfikir dan bermimpi dalam bahasa inggeris. Lebih tepat bangsa Malaysia sedang diinggeriskan bahasanya.

Lalu, bila proses indoktrinisasi sesat ini selesai dan berjaya, bangsa Malaysia akan muncul sebagai bangsa yang tiada jiwa. Orked Abdullah adalah seorang Inggeris yang dibesarkan dengan bahasa dan budaya Melayu, jiwa inggerisnya telah mati. Dian P. Ramlee adalah seorang Cina yang dibesarkan dengan bahasa dan budaya Melayu, jiwa Cinanya telah mati.

Dalam konteks pendidikan, ada orang kita yang memilih untuk menolak sistem persekolahan kebangsaan dan mengikuti sistem persekolahan luar yang kononnya internasional. Maka mereka membesar dengan asuhan bahasa asing, pemikiran dibentuk dengan bahasa asing, pergaulan berasaskan bahasa asing, jiwa Malaysia mereka pun mati!

Walau bagaimanapun sosok fizikal mereka masih Malaysia, spesifiknya masih Melayu, kekadang mereka masih mahu bermelayu lewat acara-acara adat dan ritual seperti kenduri kesyukuran dan sebagainya. Tetapi kenduri kesyukuran (yang sepatutnya kita boleh gambarkan aturannya) di tangan mereka menjadi garden style, ada tari-menari. Ahhh... kacau!!!

Kabinet akan membuat keputusan dalam masa terdekat ini sama ada akan meneruskan atau memansuhkan dasar PPSMI. PPSMI dilaksanakan pada waktu negara jiran kita Singapura, yang berbahasa utamakan bahasa inggeris sudah mula berusaha memartabatkan bahasa Mandarin, pada waktu kuasa besar dunia, Amerika Syarikat yang juga berbahasa inggeris, sedang berada di ambang kejatuhan akibat masalah ekonomi dan kewangan yang serius.

PPSMI juga dilaksanakan jauh selepas Empayar British, tonggak bahasa inggeris dunia sudah hanya tinggal nama. Kita bukan melangkah, kita sedang mengundur, bahkan semakin hari semakin ke belakang.

Kalaulah Muhyidin bertanya saya apa keputusan yang patut dibuat, saya tidak perlu berfikir dan termenung untuk menjawab batalkan sahaja, batalkan sebelum terlambat, batalkan sebelum bangsa Malaysia mati jiwanya.

tranungkite.

Perkauman?

Teguran Oleh: TanahAirKu

"Ramai lagikah terutamanya masyarakat Melayu diantara kita yang masih menyimpan perasaan benci dan dendam, terhadap kaum lain terutama kaum Cina? Sehinggakan ada diantara Melayu pada hari ini beranggapan bahawa negara akan lebih aman dan tenteram tanpa kehadiran kaum Cina di negara kita?

Ingin saya berkongsi sedikit pengalaman selama menceburi bidang perniagaan yang mana banyak mengajar saya. Antaranya, ketika perayaan Tahun Baru Cina.

Saya terpaksa menghentikan perniagaan seketika sehinggalah kaum Cina ini kembali menjalankan perniagaan mereka semula. Ini kerana, bahan mentah yang diperlukan tidak menepati kehendak.

Tidak logiklah jika saya katakan bahan mentah tidak ada langsung, masih ada mungkin dari pembekal² Melayu, tetapi bila melihat dari segi kualiti, tahap kesegaran bahan, perbandingan harga, bekalan yang tidak mencukupi, nyata tidak mampu memuaskan hati saya kerana pembekal² Melayu itu sendiri mengakui sukar menjalankan urusniaga ketika kaum Cina bercuti merayakan perayaan mereka.

Jadi, saya tetap memerlukan bahan mentah dari kaum Cina juga.

Saya bersetuju kaum Cina telah ramai yang lebih berjaya berbanding kaum Melayu sendiri. Persoalannya, kenapa ini berlaku? Sedangkan negara pun nama Malaysia = Malay = Melayu, tapi kenapa kita hanya menjadi kaum minoriti yang berjaya?

Kenalkah kita pada Robert Kuok & Ananda Krishnan? Ya, mereka berdua Cina & India. Syed Mokhtar Al-Bukhary? Tidak, beliau berketurunan Arab. Saya bersetuju kaum Cina atau kaum bukan Melayu mungkin ada menjalankan perniagaan secara haram(atas pertolongan kaum Melayu sendiri?) yang mampu memberi keuntungan dengan segera, malah mereka juga tiada halangan untuk berjudi, dan mudah memperoleh pendapatan yang lumayan.

Tapi, adakah faktor-faktor sebegini yang menyebabkan mereka mampu berjaya? Saya lihat kaum Melayu sendiri ada menjalankan perniagaan haram, ada yang berjudi di kedai Toto yang mana memang Melayu lebih ramai membeli? Tapi mengapa masih tidak mampu berjaya seperti kaum Cina tadi?

Nak-nak lagi kaum Cina atau kaum bukan Melayu tidak banyak mendapat 'kemudahan' berbanding kaum Melayu? Jadi dimanakah kekurangan kita? Bagi saya, mungkin kaum Melayu terlalu 'dimanjakan' selama ini oleh 'kemudahan²' itu menyebabkan mereka tidak pandai untuk berdikari.

Berani saya katakan disini, saya tidak bersetuju sekiranya kaum Cina malah kaum lain sekalipun, dihapuskan/dilenyapkan dari negara ini. Dan berani juga saya mengatakan negara mampu dilanda huru hara atau mungkin darurat sekiranya kaum Cina meninggalkan negara kita.

Tidak perlulah berceloteh panjang lebar lagi mengapa saya berpendapat sedemikian, kerana saya telah melihat sendiri keupayaan kaum Cina ini dalam membangunkan ekonomi negara kita. Tidak perlulah kita mempertikaikan kewujudan mereka di negara kita, kepentingan mereka, dan sebagainya.

Memadailah dengan mempertikai sikap dan persefahaman diri sendiri atau kaum Melayu terlebih dahulu dan 'kemanjaan' yang telah diberikan selama ini. Tidak malukah kita? (saya juga Melayu)

Kita harus lah menyedari akan hakikat ini dan sedikit sebanyak menerimanya dengan berterima kasih diatas sumbangan yang telah kaum Cina dan kaum lain berikan. Seharusnya kita merasa bangga hidup dalam keadaan sebegini kerana saya melihat kaum Melayu agak semakin membimbangkan sekiranya kita masih tidak mempunyai kesedaran dalam diri masing-masing.

Janganlah dirisaukan tentang ancaman atau malapetaka yang bakal berlaku apabila isu perkauman dibangkitkan. Negara kita sudah cukup aman sebenarnya. Hanya golongan 'tertentu' ini sahaja yang cuba mengundang malapetaka tersebut. Malah, tanpa disedari, banyak lagi ancaman yang lebih besar yang sepatutnya kita risaukan, sebagai contoh yang paling utama, risaukan tanggungjawab kita terhadap agama terlebih dahulu.

Buanglah sikap perkauman yang telah lama 'diracuni dan dipengaruhi' oleh pemikiran-pemikiran yang jahat dan kotor. Rasulullah juga tidak pernah memandang/menyangka buruk terhadap setiap hamba Allah itu malah kaum kafir sekalipun. Ini jelas terbukti amalan yang dibawa oleh Beliau telah meramaikan kaum kafir untuk memeluk Islam. Saya pasti setiap kebaikan dan keburukan itu, hanya lebih diketahui oleh Allah S.W.T . Wallahua'lam."

Antara Chin Peng dan Henry Gurney?

Artikel Oleh che'GuBard

'Chin Peng anak kelahiran Tanah Melayu, ketika membesar telah terserap dengan mood anti penjajah yang amat kuat. Mood anti penjajah yang ada pada beliau bukan setakat membebaskan negara tetapi lebih tinggi menjadi mood fahaman pengurusan ekonomi menentang fasis kapitalisme dan menghanyutkan beliau ke fahaman komunisme dengan dalam.

Chin Peng percaya dengan fahaman Komunisme negara ini mampu di urus dengan lebih baik kerana pada kepercayaannya Komunisme lebih humanis dan menjamin hak sama rata bukan seperti kapitalis yang hanya menjamin hak pemodal besar Lantas atas kenyakinan kuatnya beliau menentang penjajahan British dengan sepenuh daya dan pemikiran beliau.'

Pada 21 Jun yang lepas telah di adakan satu majlis yang kononya 'amat bermakna' di tepi jalan, Jalan Kuala Kubu – Bukit Fraser.

Pegawai Daerah tersebut, Nor Hisham Dahlan (yang mungkin sudah siap menangani semua aduan penduduk dan pembayar cukai setempat) telah hadir bersama dengan anggota Persatuan Bekas Perajurit Tentera Malaysia untuk memotong reben merasmikan terletaknya papan tanda lokasi pembunuhan Henry Gurney di Batu 56 ½, Jalan Kuala Kubu – Bukit Fraser.

Maka sesiapa yang melalui jalan tersebut pada waktu itu pasti akan terkejut dengan kehadiran anggota agak ramai polis dan tentera yang turut diarahkan hadir meraikan perletakan papan tanda tersebut yang mewirakan Henry Gurney. Mana tidaknya jalan yang sehari – hari sunyi dan lengang tiba – tiba kelihatan ramai anggota beruniform bukan kerana kemalangan tetapi kerana meraikan sebuah pana tanda.

Sudah tentu bersungguh – sungguh lagi majlis ini apabila ia dibuat ketika semangat menolak Chin Peng pulang ke Malaysia.

Pertama sekali, siapa dia Henry Gurney yang nak diagungkan kematiannya ini? Henry Gurny ialah warga kelahiran British. Dia dibesarkan dalam keluarga bangsawan yang percaya bahawa bangsa mereka gagah dan kuat serta berdaulat. Maka semua bangsa lain perlu tunduk kepada kekuasaan bangsawan British. Di besarkan dengan persekitaran Eropah masih dipenuhi hamba abdi dari Asia dan Afrika.

Sebelum dihantar bertugas di Malaysia beliau merupakan Ketua Pentadbiran Inggeris di Palestin (1946 – 1948). 'Jasa' beliau yang harus kita tidak lupa ialah menjadi antara perancang membawa masuk bangsa Yahudi khususnya yang berfahaman Zionis untuk menjadikan Palestin sebagai kawasan perlindungan. Tanah rakyat Palestin dirampas untuk menjadi perlindungan Yahudi yang kononya dizalimi di Eropah. Dari hanya kawasan perlindungan, 'berkat' usaha gigih Henry Gurney pada tahun 1948 tertubuhlah negara zionis Israel lakhanat.

Atas kecekapan beliau memperdaya arab Palestin dan menubuhkan negara Israel maka, Henry Gurney telah dinaikkan pangkat menjadi Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu pada 13 September 1948.

Perlantikan beliau ke jawatan nombor satu di Tanah Melayu oleh British dengan harapan mampu terus memperdaya penduduk Tanah Melayu untuk terus mempertahankan sistem kapitalis dengan menolak unsur komunisme yang anti imperialis serta paling penting mematahkan gerakan kemerdekaan anti penjajah yang tidak seiring dengan kapitalisme amalam British.

Sejak September 1948 bukan sedikit pejuang kemerdekaan ditangkap, dipenjara dan dibunuh oleh Henry Gurney dengan menabur fitnah bahawa mereka pengganas dan menentang negara.

Ingat negara atau kerajaan pada masa itu ialah kerajaan penjajah British. Banyak kumpulan yang bangkit menentang penjajah dilabel komunis dan pengganas. Memang tidak dinafikan fakta sejarah ada kumpulan yang membuat keputusan membebaskan negara dengan memikul senjata dan masuk ke dalam hutan.

Itupun atas perbagai faktor. Bayangkan pertubuhan atau gerakan kemerdekaan negara diharamkan, ramai pemimpin gerakan kemerdekaan ditangkap dan ada yang mati dan hilang tanpa dikesan. Selaku pemimpin pada masa itu hanya ada 3 pilihan, bergabung bersama badan siasah yang direstui penjajah atau menanti ditahan (mungkin dibunuh) atau masuk ke hutan pikul senjata pertahankan prinsip.

Untuk memutuskan bantuan kepada pihak yang menentang dari dalam hutan. British memperkenalkan sistem kampung baru, masyarakat dipaksa pindah ke dalam kawasan penempatan baru yang berpagar duri dan di bawah kawalan senjata.

Ada rekod kebun orang asal dan penduduk di pinggir hutan dibakar kerana takut menjadi sumber makanan pasukan bersenjata menentang penjajah. Orang asal dan penduduk kampung dipinggir hutan diugut jangan bekerjasama dan dimainkan ilusi bahawa pasukan bersenjata di dalam hutan yang menentang penjajah jahat dan ganas.

Tanpa menafikan memang ada juga rekod keganasan dari pasukan bersenjata yang menentang penjajah.

Tidak cukup dengan itu didatangkan tentera upahan dari luar negara yang turut dijajah British untuk mempertahankan 'keamanan' dan 'kestabilan' kerajaan penjajah British. Maka wujudlah tentera Gurkha dan perbagai tentera luar yang sama membelasah pasukan bersenjata yang anti penjajah tidak kira mereka berideologi apa.

Dari 1948 – 1951, British bangga dengan Henry Gurney yang berjaya bukan sahaja mengekang tentangan bersenjata malah berjaya memainkan 'psywar' untuk mengheret sama anak tempatan mempertahankan Kerajaan penjajah British dengan perang anti Komunis nya, sedangkan kita perlu tahu dan sedar ada juga guru agama yang menanam sentimen anti penjajah turut ditangkap dan dikatakan terlibat dalam kegiatan komunis.

Ini tidak dapat dinafikan sehingga sekumpulan mereka yang berpendidikan agama juga telah membuat keputusan masuk hutan menyertai Regimen ke 10 menentang penjajah British.

Henry Gurney begitu menikmati zaman kegemilanganya di Tanah Melayu. Dia dipuja dan dikawal umpama 'Presiden Tanah Melayu'. Bergerak ke mana – mana dengan koleksi kereta mewahnya seperti Rolls Royce yang bangga terkibar Union_Jack (bendera penjajah) didepanya.

Pada 7 Okotober 1951, semua kemegahan Henry Gurney musnah apabila beliau mati dengan tembakan dalam satu serang hendap oleh pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya yang serangan itu dikatakan diketuai oleh Chin Peng.

Tepat 12 kilometer sebelum sampai pusat peranginan mewahnya di Bukit Fraser beliau ditembak mati, namun isterinya yang turut berada di dalam kereta tidak dicederakan.

Sejurus selepas itu semua tentera baik anak watan mahupun tentera upahan asing digerakkan secara besar – besaran memburu 'pengganas' komunis. Digambarkan ganasnya komunis ini sehingga saggup membunuh Henry Gurney.

Lupakah kita Henry Gurney ialah antara manusia yang mencipta negara Israel yang sehingga kini menjadi masalah dunia.

Di bawah ini diperturunkan ayat di perenggan ke dua di papan tanda yang dengan bangga diletakkan mengenang tempat kejadian pembunuhan Henry Gurney.

“Henry Gurney bersama isterinya dan setiausaha peribadi D.J Stapler bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Bukit Fraser untuk urusan rasmi dan berehat. Apabila kereta Rolls Royce yang membawa rombongan Gurney itu dengan kibaran bendera 'Union_Jack' oleh Konstable Mohd Din sedang mengambil selekoh s di bt. 56 ½, kira – kira 8 batu dari Bukit Fraser tiba – tiba Rolls Royce menjadi sasaran peluru pengganas komunis”

Ayat di atas menggambarkan kita tidak pernah belajar untuk menulis sejarah sendiri. Tulisan penjajah yang merakam sejarah kita salin bulat – bulat. Kita bangga dengan kibaran Union_Jack. Ada rekod Henry Gurney mati dan isterinya selamat tetapi apa nasib Mohd Din yang diperdaya menjadi pemandu lantikan penjajah, kita tidak kisah.

Bukankah sebagai anak Malaysia kita harus bangga antara manusia yang menyebabkan tertubuhnya negara Zionis Israel mati dan darahnya dipaksa menyimbah bumi kita.

che'GuBard bukan penganut komunisme, tetapi tidak hairan lepas membuat posting ini ada juak yang membuat tuduhan che'GuBard komunis kerana mereka mewarisi taktik Henry Gurney.

Ini juga berlaku kepada Ust. Ibrahim Libya yang dibunuh mati kerana dituduh komunis, hanya kerana kepercayaan bahawa negera ini bukan negara Islam dan dia tidak mahu ditangkap ISA kerana kepercayaannya itu. Dia ahli PAS, pondok tempat dia mengajar menjadi Markas PAS. Namun regim warisan penjajah ini menggerakkan 'aparat' bersenjata membunuh bukan sahaja Ust. Ibrahim Libya tetapi pengikutnya tidak kira perempuan atau orang tua mahupun kanak – kanak. Mana lebih kejam serangan Chin Peng ke atas rombongan Henry Gurney (penjajah) tanpa membunuh isterinya atau serangan 'aparat' bersenjata Regim Bn ke atas pondok agama di Baling Kedah dibawah arahan Musa Hitam dan Mahathir Mohamad ?

Dalam mengangkat sejarah kita perlu jujur. Jangan gunakan sejarah untuk menakutkan ganerasi selepas itu atau mencari siapa yang salah, siapa yang benar ? Siapa kita yang hendak menjadi hakim kepada sejarah, tetapi sejarah perlu diangkat menjadi pengajaran …..agar bangsa kita ini menjadi bangsa yang kuat...... kesilapan dalam merakam sejarah harus dihentikan.

Tidak benar kemerdekaan negara pada tahun 1957 diperolehi hanya dengan runding-runding atau bincang – bincang sahaja. Mengangkat fakta salah ini umpama menghina sejarah perjuangan bangsa sendiri.

Kemerdekaan ini telah dipaksa diberikan oleh penjajah setelah tidak tahan dengan tekanan yang diterima. Dari penentangan awal seperti Tok Janggut, yang difitnah sebagai penentang dan pengganas sehingga tokoh agama ini dihukum mati digantung terbalik dan mayatnya dibiar berhari – hari. Sehinggalah penentangan tekanan Parti Komunis Malaya mahupun gerakan politik seperti Melayu Muda, API , AWAS dan seumpamanya. British tidak punya banyak pilihan terus menjajah secara konvensional dan berdepan dengan tentangan rakyat yang mula meningkat atau mencari satu pewaris yang mampu mentadbir negara ini dengan imej tempatan tetapi dengan syarat mampu menjaga polisi kapitalisme British. Maka British telah memilih untuk mengharamkan semua pertubuhan pro kemerdekaan yang tidak mampu menjaga kepentingan British dengan perbagai label dengan hanya membenarkan beberapa organisasi politik yang mampu menjaga kepentinganya bergerak dan mendapat kemerdekaan darinya.

Henry Gurney mendapat layanan begitu istimewa di tanah ini sama ada ketika hidup atau ketika sudah mati. Bukan setakat jalan, sekolah, bangunan dinamakan dengan namanya malah tempat dia mati yang selama ini terlupa diletakkan makamnya sudah diletakan baru baru ini. Adakah 'regim warisan penjajah' ini tidak tahu akan sejarah Henry Gurney dan kaitannya dengan kekejaman Zionis atau 'regim' ini tidak kisah dengan kekejaman zionis.

Melihat kepada beberapa perkembangan ia lebih kepada regim warisan penjajah ini tidak kisah.

Ramai mungkin tidak percaya dan mengatakan che'GuBard hanya menulis berdasarkan sentimen bukan fakta.

Secara mata kasar sememangnya negara ini kelihatan anti Amerika , anti – Zionis yang kuat. Itulah gambaran media negara ini membentuk persepsi kepada rakyat sendiri.

Lihat sahaja selepas ucapan 'berapi – api' Dr. Mahathir menghentam barat dan Amerika dalam satu Perhimpunan Agong Umno media tempatan terus memainkan ucapan tersebut seolah ucapan itu juga menjadikan Dr.Mahathir hero negara Islam.

Malangnya ramai tidak tahu bahawa selepas itu Dr.Mahathir membazirkan jutaan wang rakyat untuk membayar Jack Abramoff, Heritage Foundation, kumpulan pelobi Yahudi (zionis) untuk melobi sehingga membolehkan Dr.Mahathir berjumpa dengan Bush buat beberapa minit dan menjelaskan ucapanya. (sila klik membaca lanjut isu pelobi yang dibayar untuk membolehkan bertemu Bush). Tradisi menggunakan pelobi tersebut juga diteruskan dengan bayaran jutaan ringgit oleh Abdullah kepada Jack Abramoff untuk membolehkan beliau berjumpa Bush.

Jack Abramoff telah dijatuhkan hukuman bersalah di Mahakamah di Amerika kerana mengumpul bayaran melampau dan cara salah sebagai pelobi dan dalam fakta kes beliau di mahkamah ada tercatat kes Malaysia membayar beliau.

Masih ingatkah kita, dengan insiden menantu Abdullah Badawi pada 2006 yang membawa pemuda Bn berkumpul di depan KLCC membuat demonstrasi menghalau Condoleezza Rice . Khairy yang patah tangan pada ketika itu diberikan imej juara anti Amerika dengan mengumpulkan anak muda menghalau pemimpin Amerika yang dibawa masuk oleh bapa mertuanya. Tindakan Khairy seolah menggambarkan Malaysia benar anti Amerika , Anti Zionis Israel. Namun ramai yang tidak tahu pada waktu yang sama tentera Amerika sedang berada di Johor 'berseronok' mengukur tanah negera ini dalam sesi latihan ketenteraan.

Ketika keganasan Israel memuncak semula baru – baru ini, regim warisan penjajah yang memerintah negara ini cuba menggambarkan bahawa negara ini serius menentang dan ingin melumpuhkan negara Zionis itu. Maka rakyat pun di ajak jangan makan KFC (walaupun KFC itu milik saham terbesar anak tempatan), jangan makan Mc Donald atau jangan minum coke.

Boikot itu kuasa pengguna tetapi boikot barangan kecil tidak akan ada sudahnya. Jika berani halang saja barangan tersebut masuk ke Malaysia...sudah tentu tidak berani....

Malaysia sebenarnya tidak kisah, tahu atau tidak banyak kontrak atau hubungan perniagaan yang lebih besar dari setin coca cola yang agihan kek ekonominya tidak dirasai rakyat tempatan tetapi terus masuk ke poket zionis berlaku di Malaysia.

Selain yang diterangkan sebelum ini Jack Abramoff (pelobi Yahudi pro Zionis), regim ini punya kaitan rapat dengan Saatchi & Saatchisebuah agensi perunding/pengiklanan multi nasional yang pro Zionisme. Syarikat tersebut menjadi perunding imej dalam beberapa siri pilihanraya yang bertanggungjawab mencari teknik kempen dan pengiklanan untuk kempen regim Bn. Syarikat yang sama juga terlibat dalam banyak projek kerajaan.

CIMB sebuah syarikat kewangan yang dimiliki oleh adik Najib Tun Razak telah menadatangani kontrak bernilai USD 250 juta kepada sebuah syarikat yang berpengkalan di Israel. CIMB telah menyumber luarkan pengurusan Jabatan IT nya kepada EDS (electronic data system) selama 10 tahun.

Hubungan CIMB dengan EDS bukan sahaja tidak mempedulikan keganasan Israel Zionis tetapi turut memangsakan pekerja CIMB sendiri yang dibuang kerana Jabatan IT disumberluarkan.

EDS telah ditubuhkan pada tahun 1995 dan berngpengkalan di Herzelyia, Israel. Syarikat ini jugalah merupakan syarikat yang mengendalikan sistem komputer polis, ketenteraan dan pertahanan Israel. Malah ia juga terlibat dalam industri persenjataan Israel. Dan hubungannya dengan Malaysia dirakamkan dengan bangga dalam Laporan Tahunan CIMB 2008. (sila klik untuk laporan CIMB 2008)

Sudahlah kita telah lama sangat dibodohkan.................. Kini masa anak muda untuk bangkit melawan kebodohan....Kita seharusnya bosan dengan memu momokan 'perkauman' yang sudah disajikan berulangkali sejak zaman penjajah lagi kemudian di ulang – ulang oleh regim pewaris penjajah ini.

Konsep satu Malaysia harus didokong, tetapi bukan satu Malaysia versi Najib yang hanya retorik sebaliknya kita harus mendokong satu Malaysia versi Rakyat dengan rukun pertama merdeka dari politik perkauman.

Bangsa yang kuat ialah bangsa yang merdeka mindanya.

KES ANWAR - GENG SAIFUL BERKUMPUL, GENG ANWAR PUN IKUT

Kes Anwar : kumpul boleh… tapi bersedia kena tindakan jika cetus huru hara

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengingatkan Pemuda PKR mereka harus bersedia berdepan tindakan undang-undang jika gerakan membawa penyokong membanjiri Kompleks Mahkamah Jalan Duta ketika perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan huru hara. Sambil mengakui pihaknya ada menerima maklumat mengenai tindakan terdesak itu beliau berkata tiada masalah jika mereka mahu berkumpul atau berhimpun asalkan tidak menjejaskan proses mahkamah serta keselamatan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat gerakan membawa ramai penyokong itu bertentangan dengan apa yang dilaungkan pembangkang yang kononnya mahu institusi kehakiman dan mahkamah dipertahankan. “Mereka sendiri kata nak pertahankan tetapi ganggu perjalanan mahkamah...Ini bukti apa yang mereka cakap, mereka tak lakukan,” katanya pada wartawan di Manek Urai Isnin ketika di mengulas usaha Pemuda PKR mengumpulkan kira-kira 5,000 orang di mahkamah ketika kes Ketua Pembangkang itu mula didengar, Rabu ini.

Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ahad melancarkan Gerakan Rakyat Tolak Konspirasi Jahat Terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atau KEJAM. Menurut Hishamuddin, beliau sudah beri amaran tegas sebelum ini bahawa sesiapa sahaja melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan. “Sesiapa yang didakwa bersalah, biarlah di hadapkan ke mahkamah untuk proses keadilan. Biar mahkamah tentukan...kita tiada sekatan. Biarlah kita akur pada proses sistem warisan (mahkamah) ini supaya ianya lancar,” tegasnya.-

Sumber:Agendadaily/6/7/2009