KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melawat dan melihat sendiri pembangunan di bawah pentadbirannya di Kelantan.
Beliau berkata, tidak perlu bekas Perdana Menteri itu datang ke pejabatnya (secara rasmi) untuk meninjau sejauh mana kejayaan yang dicapai sepanjang mentadbir negeri ini yang dianggap mundur dan tidak membangun itu.
Nik Aziz mendakwa, pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri ialah pembangunan dari segi fizikal dan pembersihan minda dan ini paling penting berbanding pembangunan fizikal.
“Kenyataan itu, (kononnya) kerajaan negeri di bawah tadbiran saya ini tidak maju dan mundur, tidak betul.
“Sebab itu saya jemput dia mari sendiri tengok dari segi pembangunan fizikal, sekarang ada KB Mall, ada Hotel Renaissance, ada pasar raya Tesco, ada Parkson, ada Nirwana, dia boleh tengok sendirilah,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Menteri Besar Kelantan itu harus bertanggungjawab terhadap kemunduran negeri itu di bawah pentadbiranya.
Dr Mahathir berkata, pada satu tahap tertentu, beliau (Nik Aziz) bertanggungjawab terhadap kemunduran Kelantan. Beliau perlu menerimanya. Di negara lain, orang akan letak jawatan jika mereka gagal.
Nik Abdul Aziz berkata tindakan perubahan utama yang dilaksanakan di Kelantan adalah membetulkan tauhid orang Islam di negeri tersebut termasuklah isu halal dan haram.
Antara perubahan yang dibawa adalah menutup premis judi nombor ekor, menghadkan penjualan arak, melaksanakan sistem gadaian Islam dan mengimarahkan masjid.
“Brain wash yang paling penting sekali, daripada syirik kepada tauhid dan Kelantan sekarang ni tegak di atas Islam, halal haram kami ambil peduli,” katanya.
Mursyidul Am PAS itu juga memberi contoh pembangunan ala pembersihan minda yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinannya dibuat sebelum hari raya barubaru ini.
Di bawah program itu, belia Islam berkerjasama dengan belia Cina dan India membahagikan juadah dan air minuman untuk berbuka puasa di jalan Kuala Krai kepada pemandu kenderaan (anak Kelantan di perantauan) yang pulang berhari raya. BERNAMA