Wednesday 17 June 2009

K’tan Tuntut Royalti Minyak RM1 Bilion

Kerajaan negeri Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini bersetuju supaya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Katanya, menurut laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion, lapor Bernama.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco hari ini, Husam berkata, Kelantan mula menjadi negeri pengeluar minyak sejak 2004 dan sepatutnya mendapat royalti sepertimana negeri pengeluar minyak yang lain iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Menurutnya, adalah satu perkara yang sangat memalukan jika kerajaan pusat tidak dapat membayar wang royalti itu lebih-lebih lagi kerajaan pusat kini memperkenalkan konsep 1Malaysia, yang mengutamakan rakyat.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail berkata pakatan pembangkang akan memainkan isu royalti minyak itu dalam kempen pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

“Sekiranya negeri-negeri yang lain ini mendapat royalti petroleum, mengapa tidak Kelantan…sekiranya Najib benar-benar ikhlas, saya cadangkan beliau membayar kembali royalti petroleum hak Kelantan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

suarakeadilan

Putar belit kenyataan: Nik Aziz cadang saman Utusan Malaysia

KOTA BHARU, 17 Jun :- Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia yang dianggap memutar belit kenyataannya.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, berita yang disiarkan akhbar tersebut sebelum ini sebagai berniat jahat dan ingin memalukannya.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya menggunakan perkataan 'nasihat saya mesti didengar' sebagaimana yang dilaporkan akhbar berkenaan bertarikh 15 Jun lalu.

"Bukan watak saya memaksa orang lain mendengar cakap saya, bahkan ia bukan sejarah dalam hidup saya untuk berbuat demikian seperti disiarkan akhbar terbabit," katanya selepas mesyuarat Exco, hari ini.

Akhbar terbabit pada 15 Jun lalu melaporkan Nik Abdul Aziz menegaskan kenyataan kerasnya terhadap mereka yang menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan oleh parti parti, hanya nasihat awal.

Menurut akhbar itu lagi beliau mengingatkan bahawa nasihatnya mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggap sebagai ilham Umno.

Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz berita itu ditulis dengan memutarbelit kenyataannya, ditambah pandangan penulis sendiri.

Selain pembohongan, katanya ia juga berupa hasutan terhadap saya terutama disebut 'kenyataan Nik Aziz dianggap suci dan selari dengan Islam oleh sebilangan besar pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang ditulis dalam ruangan surat pembaca akhbar sama.

"Selain pembohongan untuk memburukkan nama baik saya, ia juga berupa hasutan supaya rakyat memandang buruk pada saya.

"Saya telah menyerahkan kepada peguam hari ini untuk mengambil tindakan ke atas akhbar terbabit dan penulis rencana (surat pembaca) terbabit," katanya.

Surat pembaca disiarkan akhbar terbabit pada 16 Jun bertajuk 'Nik Aziz memutlakkan nasihatnya bercanggah hukum-hakam.'

Ketika ditanya perasaan dalam menghadapi situasi berkenaan beliau melahirkan rasa dukacita serta rasa malu dengan apa yang berlaku.

Tambah beliau lebih mendukacitakan lagi apabila penulis terbabit mengajak semua mufti termasuk alim ulamak untuk memberi pandangan berhubung masalah berkenaan.

"Ini semua kerja yang tidak masuk akal lebih lagi bila saat nak menghadapi pilihan raya kecil.. macam ni lagilah untuk menambahkan rasa kebencian kepada saya dan PAS," ujarnya.

Harakahdaily

Khalid: PAS keluar arahan tutup mulut

Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata parti itu telah mengeluarkan arahan "tutup mulut" kepada semua pemimpin tingginya daripada bercakap tentang kerajaan perpaduan.

"Arahan tersebut dibuat kerana perkara itu telah diputarbelitkan oleh orang seperti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

"Malah, ia tidak dibangkit pun dalam ucapan dasar atau usul... ia timbul dalam sidang akhbar dan telah diperbesar-besarkan," katanya yang juga bekas ahli jawatankuasa pusat PAS.

"Kita mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan menolak Umno. Umno sedar perkara itu, tetapi mereka mahu mencetuskan kekeliruan bagi menimbulkan keraguan mengenai halatuju PAS," kata Khalid.

Khalid menegaskan demikian diminta mengulas kenyataan Najib hari ini yang menyatakan beliau melihat PAS ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disuarakan oleh presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Oleh itu, kata perdana menteri, beliau tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk negara.

Umno, kata Najib lagi, sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS.

'Pertikai keikhlasan Umno'

Mengulas lanjut, Khalid mempersoalkan keikhlasan Umno untuk mengadakan perbincangan dengan PAS mengenai kerajaan perpaduan.

Sebaliknya, kata beliau, idea untuk mengadakan perbincangan tersebut adalah pandangan peribadi Abdul Hadi dan bukan keputusan sebulat suara parti itu.

Khalid turut menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai satu helah.

Cadangan Abdul Hadi itu mendapat bantahan beberapa pemimpin utama parti itu walaupun idea itu disokong oleh timbalannya, Nasharuddin.

Antara yang membantah keras kerajaan perpaduan itu ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyifatkan mereka yang menyokong cadangan itu sebagai "boneka Umno".

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa - yang tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden - turut menentang cadangan kerajaan perpaduan itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa menyambut baik kesediaan Najib mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

Sidang akhbar Mustafa Ali

Katanya, merupakan reaksi serius pertama dari perdana menteri terhadap cadangan kerajaan perpaduan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat bercakap bagi pihak PAS tetapi perlu membawa perkara itu kepada presiden dan pihak parti.

Namun begitu, katanya, PAS terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak.

Pendirian itu, katanya, telah diputuskan dalam muktamar tahun lalu dan sekali lagi pada muktamar tahun ini.

Oleh itu, katanya, timbul isu PAS akan bersama Umno atau BN.

malaysiakini

Nik Aziz gesa Nasharuddin keluar PAS

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa meninggalkan parti itu dan meletakkan ahli parlimen Bachok jika masih ingin kerajaan perpaduan.

"Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas Pakatan Rakyat.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok.

"Apa buat sampah, menyusahkan," menteri besar Kelantan dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan tersebut seperti yang dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, lapor Bernama.

Kenyataan tokoh ulama PAS ini yang paling keras pernah dikeluarkan selepas menuduh beberapa pemimpin atasan PAS yang bersetuju dengan idea tersebut sebagai "boneka Umno."

Khamis lalu, mengulas isu kerajaan perpaduan yang semakin bercelaru dalam PAS susulan kemunculan semula isu tersebut ketika muktamar awal bulan ini, Nik Aziz berkata:

"Saya tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu... keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat.

"(Yang sokong) perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas.

"Suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno."

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Aziz dilaporkan berkata "beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana PAS Kelantan menerimanya sebagai calon di parlimen tersebut" pada pilihanraya umum 2008.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau juga berkata PAS dan Pakatan Rakyat kini "telah masuk perangkap Umno" berhubung isu berkenaan sehingga menimbulkan pecah-belah dalam kalangan mereka.

"Orang Umno sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan Pakatan Rakyat sedang berpecah," katanya.

Beliau juga dilaporkan berkata jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada gabungan pembangkang untuk jawatan menteri.

"Kalau semua setuju...PAS jadi menteri, DAP jadi menteri dan Keadilan jadi menteri," katanya

malaysiakini

UG: Nik Aziz suruh Nasa keluar Pas

KOTA BAHRU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat menggesa Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa keluar parti itu dan sertai Umno ekoran isu perbincangan kerajaan perpaduan PAS-Umno-BN.

Nik Aziz juga merupakan Mursyidul Am PAS.


MStar

KEMPEN BUBAR DUN PERAK

Tarikh: 17hb Jun 2009
Rabu
Masa: 9.00 Malam
Tempat : Dewan Orang Ramai RPT Tawas Tambahan,Kg. Tawas, Ipoh.
Penceramah:
1. YB HJ Ahmad Zainuddin
2. YB Kulasegaran
3. YB Chang Li Kang
4. HJ Yusof bin Ismail
5. SDR Amran bin Harun
6. AF USTAZ Norazli Musa
SEMUA DIJEMPUT HADIR
Anjuran: PAS Kawasan IPOH BARAT