Monday 5 July 2010

RAHSIA KEHEBATAN AIR!

Firman Allah S.W.T : “Dan KAMI jadikan daripada air, segala sesuatu yang hidup”
(Surah Al-Anbia, ayat 30 )

Maha Suci Allah yang telah mencipta mahkluk yang bernama air ini! Sesungguhnya ia
adalah makhluk yang paling setia dan amat sekali peka dan menjalankan perintah
Tuhannya!

Di dalam Al-Quran ada menyatakan peratusan Hydrogen (air) ini adalah 72% dan
bakinya tanah adalah hanya 28% sahaja. Tubuh badan manusia adalah kunci kepada
rahsia air ini. Rahsia manusia ada jaluran elektrik yang dinamakan AURA adalah kerana
rahsia air ini juga! Lupakah kita sewaktu dalam kandungan perut ibu di dalam kandungan
air semata-mata?

Air diperakui oleh saintis sedunia sebagai alat perakam terbaik sekali kerana
ketepatannya apabila disukat pada dasarnya. Air sebenarnya boleh merakam setiap gema
getaran yang dihadirkan baik dari bunyi termasuk dengan kata-kata dan juga dari hanya
niat kita (tanpa kata-kata). Itulah keistimewaan air yang kita sangka hanya untuk
pembersihan semata-mata. Islam mendidik kita mengambil wuduk dengan air dengan
niat, begitu juga dengan mandian dari hadas kecil ataupun besar yang harus di letakkan
dengan niat. Tidakkah kita pernah terfikir air itu sedang merakam niat kita?

Molekul air mempunyai struktur yang mudah. Namun begitu, struktur ini dapat
menghasilkan tindak balas yang kompleks. Air terdiri daripada satu atom oksigen dan
dua atomhidrogen.

Setiap atom hidrogen mempunyai satu proton di dalam nukleus dan satu elektron
mengorbit nukleus. Nukleus atom oksigen pula terdiri daripada lapan proton. Mengorbit
nukleus atom oksigen ialah lapan elektron yang bercas negatif. Dua elektron mengorbit
petala yang berhampiran dengan nukleus, manakala enam elektron lagi di petala luar.
Petala luar ini masih tidak lengkap dan memerlukan dua elektron lagi untuk menstabilkan
aras tenaga. Elektron-elektron tambahan ini disumbangkan oleh hidrogen memandangkan
atom hidrogen mempunyai ruang untuk satu lagi elektron.

Disebabkan ini, dua atom hidrogen dan satu atom oksigen boleh bergabung dan
membentuk H2O, formula kimia yang kita semua kenali. Disebabkan daya penolakan dua
atom hidrogen antara satu dengan lain, maka kedua-dua atom hidrogen terpisah pada
sudut 105. Konfigurasi ini menghasilkan molekul air yang asimetri.

Ikatan atom yang membentuk molekul air merupakan ikatan kovalen yang berasaskan
perkongsian elektron. Walau bagaimanapun, disebabkan bilangan proton di dalam atom
oksigen lebih besar daripada atom hidrogen, pasangan elektron yang dikongsi lebih
hampir dengan atom oksigen. Ini bermakna perkongsian elektron adalah tidak sama.

Atom oksigen mempunyai tarikan yang lebih terhadap elektron yang dikongsi. Oleh itu,
oksigen lebih elektronegatif kerana seolah-olah mempunyai sedikit cas negatif.
Disebabkan oleh kehilangan sebahagian daripada komplemennya, atom hidrogen pula
bertindak seolah- olah membawa sedikit cas positif. Disebabkan taburan cas yang tidak
sama, molekul air dikenali sebagai molekul dwikutub. Molekul air bertindak sama seperti
magnet, satu hujungnya bercas positif dan satu hujung lagi pula bercas negatif.

Sifat dwikutub ini penting kerana membenarkan molekul air membentuk ikatan dengan
molekul air yang berdekatan. Ikatan ini dikenali sebagai ikatan hidrogen. Atom hidrogen
yang mempunyai cas positif yang sedikit boleh ditarik secara lemah oleh satu lagi atom
oksigen daripada molekul air lain yang mungkin wujud berdekatan memandangkan
oksigen ini bercas sedikit negatif. Dengan kata lain, hujung positif (hidrogen) satu
molekul air akan tertarik kepada hujung negatif (oksigen) molekul air yang lain.

Kajian saintifik di Jepun : Dr. Masaru Emoto dari Universiti Yokohama dengan tekun
melakukan penyelidikan tentang perubahan molekul air. Air murni dari mata air di Pulau Honshu didoakan secara agama Shinto, lalu didinginkan sehingga -5 °C di makmal,
kemudian diambil gambar dengan mikroskop elektron dengan kamera halaju tinggi.
Ternyata molekul air tersebut membentuk kristal segi enam yang indah.
Percubaan diulang dengan membacakan kata, “Arigato (terima kasih dalam bahasa
Jepun)” di depan botol air tadi. Kristal yang terbentuk sangat indah. Lalu dicuba dengan menghadapkan tulisan huruf Jepun, “Arigato”. Kristal membentuk dengan keindahan yang sama. Selanjutnya ditunjukkan kata “setan”, kristal berbentuk buruk.

Diputarkan muzik Symphony Mozart, kristal muncul berbentuk bunga. Ketika musik heavy metal diperdengarkan, kristal hancur. Ketika 500 orang berkonsentrasi memusatkan pesanan “peace” di depan sebotol air, kristal air tadi mengembang bercabang-cabang dengan indahnya. Dan ketika dicuba dibacakan doa Islam, kristal bersegi enam dengan lima cabang daun muncul berkilauan.Subhanallah!

Semasa di suatu seminar yang rata–ratanya dihadiri oleh bukan Islam, Prof. Masaru
Emoto menunjukkan beberapa molekul air yang buruk rupanya. Kemudian yang terakhir
beliau menunjukkan molekul-molekul air yang begitu indah, berbentuk kristal yang
bercabang-cabang dan berkilauan. Beliau kemudiannya bertanya kepada hadirin tentang
molekul air tersebut. Hadirin senyap. Dengan yakinnya seorang peserta seminar dari
Malaysia bangun dan berkata “Itu molekul air zam-zam, air yang paling mulia”. Prof.
Emoto menggangguk “Saya tidak pasti sama ada itu adalah air yang paling mulia atau
tidak tetapi memang benar itu adalah molekul air zam-zam”.

Dr. Emoto akhirnya mengelilingi dunia melakukan percubaan dengan air di Swiss, Berlin, Perancis, Palestin,dan ia kemudian diundang ke Markas Besar PBB di New York untuk membentangkan hasil penemuannya pada bulan Mac 2005 lalu. Ternyata air boleh ”mendengar” kata-kata, “membaca” tulisan, dan boleh “mengerti” pesanan.

Persidangan Air Sedunia baru-baru ini di salah sebuah Universiti di Malaysia
membuktikan segala fakta tentang air. Sewaktu persidangan itu, air dari merata dunia
diambil dan diperiksa akan “kehebatannya“. Kamera berfrekuensi tinggi berjarak jauh
digunakan untuk melihat akan gambaran yang terjadi kepada air yang sedang di uji itu.
Maka air dari Sungai Ganges dan juga termasuk Air Zam-Zam diuji dan dikenal pasti.

Sesuatu yang nyata adalah Air Zam-Zam sahajalah air yang begitu kukuh dalam
merakam segala perubahan pada kadar gelombang alam semesta ini dan strukturnya
begitu kukuh (segi tiga). Keunikan Air Zam-Zam ini juga adalah strukturnya tidak
berubah, ia tidak akan terjejas di dalam apa sekali pun tekanan yang sedang diberikan
padanya. Ia tetap utuh sehinggakan seorang Professor dari Jepun memeluk agama Islam
kerana keunikan Air Zam-Zam yang beliau ketahui hanya ada di Kaabah. Lagi satu
kehebatan air Zam-Zam ini adalah ia sahaja didapati boleh merakam dengan tepat
gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu-waktu yang tertentu.

Rahsia kehebatan air begitu terserlah apabila rahsia di Kaabah disingkap. Di bawah 4
penjuru (4 segi) bentuk Kaabah ada terkandung rahsia air yang bersifat Alkali. Itulah
dia Air Zam-Zam, air yang merakam segala niat jemaah-jemaah yang datang secara gema
gelombang, penyerahan yang harus di tekad niatkan dan sebaliknya bukan niat yang
negatif umpama menunjuk-nunjuk, angkuh-sombong, riak-takbur dan sebagainya. Betapa
ramai yang telah kita dengar akan jemaah yang tersesat dari dapat keluar dari pintu
Masjidil Haram, juga yang tersesat balik ke Hotel, juga hilang entah ke mana, hanya
menyimpan niat yang negatif, maka terakamlah segala niat kita maka dimakbulkan akan
permintaan tadi sebagai suatu ujian getir dan diterbalikkan segala niat kita agar menjadi suatu peringatan supaya insaf dan sedar!

Hanya mereka yang benar-benar ingin mengambil tahu akan rahsia kehebatan air ini yang
akan mendapat ganjaran kehebatan dan keunikan air ini. Di Kaabah, apabila niat kita
benar-benar ikhlas, memohonkan ampun dan taubat, maka dengan sendirinya, kekuatan
air iaitu Air Zam-Zam merakam niat jemaah tadi. Setelah ia melakukan tawaf 7 kali
pusingan ke kanan, maka di situlah berlakures onan (pusingan dengan geseran sesama
manusia) maka penyerapan dosa-dosa itu terjadi, Insyaallah iaitu rahsia Kaabah yang
memegang rahsia hitam serta Hajar Aswad yang juga hitam. Jemaah itu akan terasa
begitu hening, tenang serta lapang jesteru akan terasa sebak lalu menangis teresak-esak kerana dapat merasakan kebesaran Allah SWT semata-mata.

Sebenarnya rahsia Kaabah dan Hajar Aswad ini adalah rahsia pada kejadian manusia di
dalam perut. Majalah Medical Journal keluaran tahun 2000 ada menyatakan bahawa
saintis mendapati apabila air mani dari lelaki memasuki ruang rahim wanita, berjuta-juta sperma berenang arah kanan ke kiri sebanyak 7 kali pusingan sebelum hanya satu sperma yang berjaya bercantum dengan telur maka persenyawaan pun terjadi maka samalah dengan rahsia pusingan jemaah di Kaabah iaitu apabila penyerahan adalah bersungguh sungguh, penyerapan dosa akan terjadi, ciuman Hajar Aswad seakan-akan kita baru sahaja dijadikan iaitu bersih dari segala dosa! Maha Suci Allah yang Maha Pencipta, Maha Pengasih, Maha Penyayang pada hamba-hambanya. Apa yang disangkakan alam yang besar di dunia ini rupa-rupanya hanyalah kecil sahaja kerana “alam pada diri manusia” itu jauh lebih besar dan memegang segala rahsia luaran dan dalaman.
Maka benarlah kata-kata Rasullullah SAW marhumnya : “Kenalilah diri kamu rata-
rata, barulah kamu kenal Tuhan yang nyata“.

Air adalah sumber penyucian. Ia berupaya merakam gema serta niat, umpama kita
mengambil wuduk membaca niat, mandi wajib berniat dan sebagainya. Setiap tempat
yang sudah pun Bertekanan Rendah, akan berlaku pelbagai istilah “musibah” yang
“berbunyi” umpama taufan, ombak, gempa bumi dan pelbagai lagi untuk
menyerap/seimbangkan semula gema/getaran kepada tahap tenaga asal tempat-tempat itu.
Tidak lain tidak bukan Allah Maha Pengasih Maha Penyayang menghantar suatu
“Isyarat” agar jangan kita “terbuai dan terhanyut jauh” oleh nafsu nafsi dan kembali ke pangkal jalanNya!

Apabila kita renungkan berpuluh-puluh ayat Al-Quran tentang air, kita akan tersentak
bahawa Allah rupanya selalu menarik perhatian kita kepada air. Bahawa air tidak sekadar
benda mati. Air menyimpan kekuatan, daya ingatan, daya penyembuh, dan sifat-sifat
aneh lagi yang menunggu disingkap manusia. Islam adalah agama yang paling melekat
dengan air. Solat fardhu wajib air wuduk 5 kali sehari, ketika solat sunat, malah untuk memegang Al-Quran. Persetubuhan, suami isteri wajib mandi wajib. Wanita yang datang haid selepas itu pun wajib mandi. Setelah matipun jenazah wajib dimandikan.

Oleh itu kita mestilah menghormati air. Jaga kebersihan dan jaga adab–adab serta jangan membazir. Seorang ilmuwan Jepun telah merintis. Ilmuwan muslim harus melanjutkan kajian kehidupan ini berdasarkan Al-Quran dan hadis. Wallahua’lam.

Thursday 1 July 2010

AMALAN DI BULAN REJAB: ANTARA YANG PALSU DAN TULEN

Oleh:

Abd al-Razzaq bin Abd Muthalib

Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitabnya serta menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai syariat kepada manusia. Ini semua bertujuan tidak lain dan tidak bukan supaya manusia itu mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah swt di dalam semua keadaan dan tingkah lakunya. Malah, inilah tujuan utama penciptaan makhluk seperti mana yang ditegaskan oleh Allah swt di dalam firmannya yang bermaksud:

"Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (Surah al-Zaariyat: ayat 56).

Suatu perkara yang penting dan perlu untuk diberikan perhatian bahawa segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt serta menepati dengan cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, ianya tidak akan diterima oleh Allah swt apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah swt berfirman yang bermaksud:

"Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya". ( Surah al-Kahfi: ayat 110).

Al-Imam Ibn Kathir (w 774 H) di dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Barangsiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah ia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)).

(Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’, cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).

Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, antaranya al-Fudhail bin ‘Iyadh r.h dalam kata-katanya: Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tetapi tidak betul maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan betul tetapi tidak ikhlas, ianya juga tidak diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan betul. Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla, dan betul itu pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw.

(Ibn Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyah, cetakan ke-3, 2000), m/s 15).


Bulan Rejab dan amalan yang dilakukan di dalamnya.

Bulan Rejab adalah antara salah satu bulan yang termasuk di dalam bulan-bulan yang suci. Dinamakan dengan Rejab bersempena dengan penghormatan terhadapnya di zaman jahiliyyah dengan tidak melakukan sebarang peperangan di dalam bulan ini. (Al-Razi, Mukhtar al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah, 2001), m/s 215)

Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima? Menyentuh tentang persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah saw. Justeru, menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya itu bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini yang tidak menepati sunnah Rasulullah saw ialah:

1) Menghidupkan malam ke-27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa al-Mi’raj.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj merupakan salah satu daripada peristiwa besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ianya bukti kepada kebesaran Allah swt dan kebenaran Nabi Muhamad saw serta risalah yang dibawa oleh Baginda. Tersebar luas di kalangan umat Islam bahawa peristiwa agung ini berlaku di malam dua puluh tujuh di bulan Rejab. Maka sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus dengan mengharapkan fadhilat-fadhilat tertentu. Tetapi pendapat ini adalah tidak tepat sepertimana yang disebut oleh Syiekh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: Dan malam ini yang dikatakan berlaku padanya peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj, tidak ada satu hadith sahih pun yang menyebut tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat yang menyebut tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak thabit daripada Rasulullah saw di sisi ulamak hadith, dan kepada Allah jualah diserahkan segala hikmah disebalik kerahsiaan ini kepada manusia, dan walau sekiranya terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang perkara ini, tetap juga tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah saw dan para sahabat r.a tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan yang khusus. Sekiranya menghidupkan atau merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi saw akan menunjukan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya, dan sekiranya amalan ini pernah dilakukan oleh Baginda saw, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan oleh para sahabat ra kepada kita.

(Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7).

2) Solat Raghaib

Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadith maudhu’ yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah saw: Rejab bulan Allah, Sya’ban bulan-ku, dan Ramadhan bulan umatku… dan tidak ada seorang pun yang berpuasa pada hari Khamis yang pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan solat diantara waktu Maghrib dan ‘Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah sekali dan surah al-Qadr tiga kali, dan surah al-Ikhlas sebanyak dua belas kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan salam, dan apabila telah selesai, ia berselawat ke atasku sebanyak 70 kali, kemudian membaca: (Allahumma salli ‘ala Muhammadin Nabiy al-Ummiy wa ‘ala alihi), kemudian sujud dan membaca: (Subbhuhun Quddusun Rabbu al-Malaikatu wa al-Ruh) sebanyak 70 kali, kemudian ia angkat kepalanya dan kemudian membaca: (Rabbi ighfir warham watajawaj ‘amma ta’lamu innaka anta al-‘azizu al-a’dzam) sebanyak 70 kali, kemudian ia sujud kali kedua dan membaca seperti bacaan di sujud pertama, kemudian ia mohon kepada Allah segala hajatnya, nescaya akan ditunaikan. Bersabda Rasulullah saw lagi: Dan demi diriku yang di tangan-Nya, tidak ada seorang hamba pun, lelaki mahupun perempuan yang mengerjakan solat ini melainkan akan diampunkan Allah sekelian dosanya, walau pun seperti buih di lautan dan sebanyak dedaun di pohonan, dan ia akan dapat memberi syafaat pada hari Qiamat untuk 700 orang di kalangan kaum keluarganya…))

(Diriwayatkan oleh Ibn al-Jauzi, di dalam kitabnya al-Maudhu ‘at, jilid 2, m/s 124-125).

Seterusnya Ibn al-Jauzi menyebut: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan dusta ke atas Rasulullah saw, di dalam nya terdapat seorang rawi yang bernama Ibn Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guruku; Abd al-Wahab berkata: Para rawinya majhul (tidak dikenali) dan telah disemak tentang peribadi mereka ini di dalam semua kitab tetapi tidak ku temui tentang mereka).

Al-Imam al-Syaukaniy rh juga menyebut di dalam kitabnya: al-Fawaid al-Majmu ‘ah fi al-Ahadith al-Maudhu‘ah: ((Hadith ini adalah maudhu’ dan perawinya adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini telah sepakat para ulamak bahawa ia adalah maudhu’)).

Setelah kita mengetahui tentang kedudukan hadith yang menyebut tentang solat Raghaib ini, marilah kita melihat apakah pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat tersebut.

Imam al-Nawawi (w 676H) berkata: Sesungguhnya ia adalah bid ‘ah yang ditegah di antara bid ‘ah-bid ‘ah yang sesat, dan padanya terdapat pelbagai percanggahan yang jelas, Allah memerangi mereka yang mencipta dan mereka-reka solat ini, dan para imam telah menulis pelbagai penulisan yang bernilai dan bermutu yang menyebut tentang keburukannya, kesesatan orang yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bid ‘ah ini, serta dalil tentang kejelekan, kebatilan serta kesesatan orang yang mengamalkannya adalah terlalu banyak dan tidak terhitung.

(Al-Nawawi, al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Bierut: Dar al-Ma’rifah, cetakan ke-7, 2000), jilid 8, m/s 262.

Al-Imam Ibn Taimiyah (w 728 H) juga menyanggah pendapat tentang kewujudan solat ini dengan berkata: Solat ini (Raghaib) ini tidak dilakukan oleh Rasulullah saw dan tidak pula oleh seorang pun dikalangan para sahabat Baginda, tabi‘in dan para imam kaum Muslimin, dan Nabi saw tidak menggalakkannya serta tidak terdapat seorang pun dikalangan ulamak salaf dan imam-imam yang menggalakannya dan mereka tidak pernah menyebut akan adanya keutamaan-keutamaan yang khusus bagi malam ini. Hadith-hadith yang menyebut mengenainya adalah dusta dan maudhu’ dengan sepakat ahli ilmu, maka oleh kerana itu ahli-ahli tahqiq mengatakan bahawa solat tersebut adalah makruh, bukan sunat)).

(Ibn Taimiyah, Majmu’ al-Fatawa, 1/149)

Menurut al-Hafiz Ibn Rejab pula: Solat ini adalah bid‘ah di sisi jumhur (kebanyakan) ulamak, dan di antara mereka yang menyebut tentang perkara ini adalah di kalangan ulamak yang terkemudian seperti Abu Ismail al-Haruwi, Abu Bakar ibn al-Sam‘aniy, Abu al-Fadhl ibn Nasir, Abu al-Farj ibn al-Jawzi dan yang lain lagi, dan perkara ini tidak disebut oleh ulamak yang awal disebabkan ianya hanya muncul selepas daripada zaman mereka, dan yang terawal timbulnya perkara ini ialah selepas 400 tahun, maka sebab itulah golongan ulamak yang awal dan terdahulu tidak mengetahuinya dan tidak membincangkannya

(Ibn Rejab, Lataif al-Ma ‘arif, m/s 228)

Terdapat ramai lagi dikalangan ulamak yang membincangkan tentang hukum solat Raghaib ini. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pendapat-pendapat mereka semuanya menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu bid ‘ah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh mengamalkannya kerana ianya tidak thabit daripada Rasulullah saw mahupun para sahabat ra serta al-tabi’in..

3) Berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khas.

Sesetengah daripada umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau sebahagainya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadhilat yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran atau kelebihan yang khas bagi mereka yang melakukan amalan ini tidak bersumberkan daripada al-Quran atau hadith-hadith yang sahih. Bahkan ianya diambil daripada hadith-hadith yang maudhu’ (palsu) dan yang lebih malang lagi hadith-hadith ini disebarkan oleh golongan-golongan agama atau ustaz-ustaz kepada masyarakat Islam samada di dalam kuliah-kuliah mereka atau melalui penulisan. Antara hadith-hadith maudhu’ yang tersebar luas mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini ialah:

1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…."

Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu’.

2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa yang berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…"

Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith.

3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa yang berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun".

Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab Fawaid susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang batil.

Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang tersebar dikalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini. Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat puasa di bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan kaedah dan prinsip asas agama.

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: Tidak terdapat hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat khusus bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus.

(Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23).

Sayyidina Omar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di bulan Rejab.

(al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’, (Bierut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63).

Al-Imam Al-Syawkaniy pula menyebut di dalam kitabnya al-Fawaid: ((Dalam satu risalahnya Ali bin Ibrahim al-‘Athar berkata: Apa yang diriwayatkan mengenai keutamaan puasa Rejab semuanya maudhu’ dan dhaif tidak mempunyai sumber. Katanya lagi: Abdullah al-Anshari tidak berpuasa Rejab dan beliau melarangnya dan berkata: Tidak ada satu hadith pun yang sahih dari Nabi saw mengenainya)).

(Al-Syawkaniy, al-Fawaid al-Majmu’ah, m/s 440).

Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain yang disebarkan seperti amalan membaca apa yang disebut sebagai ‘Istighfar Rejab’. Disebutkan di antara fadhilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka ia akan mendapat pahala sebanyak 80, 000 pahala para Nabi.

Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini dengan menganggap ianya mempunyai fadhilat yang khusus jika dilakukan pada bulan Rejab.

Demikianlah sebahagian amalan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di dalam bulan Rejab ini yang tidak bersumberkan dari Rasulullah saw. Persoalan yang mesti diulang fikirkan lagi adakah amalan-amalan tersebut akan diterima oleh Allah dan mendapat ganjarannya?. Atau ianya tidak mendapat apa-apa kecuali penat dan letih sahaja. Semoga Allah swt mengampunkan kesalahan yang dilakukan di atas kejahilan kita. Marilah kita bersama-sama untuk membenteraskan kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu di kalangan umat Islam. Pastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar menepati sunnah Rasulullah saw dan diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt.