Sunday 15 November 2009

TUDUHAN TERHADAP AZMIN...

SHAH ALAM 13 Nov. – Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S.A. Vickneswaran mendakwa memiliki dokumen berkaitan pembelian saham melibatkan tiga individu termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang mencecah RM8 juta pada awal 1990-an.

Dua lagi individu yang terbabit seperti didakwa dalam dokumen itu ialah isteri Azmin, Shamshida Tahrin dan iparnya, Jamal Tahrin.

Vickneswaran mendakwa, dokumen itu diterima daripada seorang lelaki tidak dikenali yang menyerahkannya kepada pengawal keselamatan di rumahnya di Kota Kemuning pada pukul 3 pagi, semalam.

Katanya, kesemua dokumen itu hanya dibuka di sebelah pagi iaitu semasa bersarapan.

“Setelah diteliti saya mendapati dokumen itu melibatkan urusan peruntukan unit-unit saham, pembelian saham dan jumlah kemasukan wang dalam akaun-akaun yang melibatkan tiga individu.

“Mengikut dokumen ini dalam tempoh tiga tahun mulai 1992, seorang daripadanya telah membelanjakan kira-kira RM800,000 untuk membeli saham, manakala jumlah saham yang dibeli seorang lagi mencecah RM8.5 juta,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.


KENYATAAN MEDIA

Kenyataan bekas ketua pemuda MIC, Vigneswaran yang mendakwa saya dan isteri memiliki saham bernilai RM 8.5 juta dari tahun 1992 sehingga tahun 1994 adalah tidak berasas sama sekali. Saya belum melihat dokumen yang didakwa oleh Vigneswaran tetapi saya percaya dokumen itu dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaitkan dengan saya dan isteri saya. Semenjak tahun 1998, saya dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Saya diburu oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menjalankan siasatan mengenai perolehan harta saya. Malahan, alasan yang sama digunakan untuk menangkap dan menahan saya pada 16 September 1998 sehingga 22 September 1998. Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset kami.

Saya merasa kesal kerana apa yang berlaku hari ini menunjukkan Barisan Nasional tidak akan berhenti dari melancarkan serangan fitnah yang jahat untuk mengganggu keamanan dan ketenteraman saya dan keluarga. Saya melihat tindakan jijik yang terancang ini adalah untuk mengaibkan dan mencemarkan nama saya dan isteri. Kenyataan berunsurkan fitnah dan berniat jahat itu jelas mempunyai motif politik bertujuan merosakkan reputasi saya selaku Ahli Parlimen Gombak serta Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Vigneswaran. Saya telahpun mengarahkan peguam saya untuk bertindak segera prosiding perundangan yang sewajarnya terhadap pihak yang membuat kenyataan dan melaporkan kenyataan fitnah tersebut.

AZMIN ALI
http://azminali.com/?p=299