Saturday, 23 May 2009

Mengapa Mahkamah Rayuan bangkitkan soal mandatori? - Prof Dr Aziz Bari .

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan Jumaat lalu yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi lansung tidak memeranjatkan. Demikian komen spontan Profesor Dr Abdul Aziz Bari terhadap keputusan mahkamah yang menghukumkan Dato Seri Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Penghakiman 5 minit itu sungguh memeranjatkan banyak kalangan. "Buat masa ini saya fikir kita belum perlu untuk membuat komen yang menyentuh aspek teknikal penghakiman Datuk Raus Sharif kerana beliau sendiri pun belum memberi penghakiman bertulis," ujar Aziz lagi.

Bagaimanapun, tambahnya, keputusan itu tidak terlalu memeranjatkan kerana sejak merdeka hanya ada tiga orang hakim yang berani membuat keputusan yang tidak menyebelahi parti yang didokong oleh kerajaan pusat.

Aziz berkata, itu pun keputusan Mahkamah Tinggi dan ada yang memprovok Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat. Keputusan-keputusan yang menentang Kerajaan Pusat di buat dalam kes Dato Stephen Kalong Ningkan di Sarawak (1966), Dato Seri Joseph Pairin Kitingan di Sabah (1986) dan Dato Seri Nizar Jamaluddin di Perak (2008).

Sejak Februari lalu kebanyakan hakim memberi keputusan yang menyebelahi Umno termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan yang bertentangan dengan peruntukan perlembagaan yakni Perkara 72(1).

"Ertinya kita perlu sedar bahawa bukan semua keputusan mahkamah selaras dengan kehendak dan semangat perlembagaan," tegasnya lagi.

Aziz turut mengingatkan, meskipun Zambry diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebagai sah, tetapi kedudukan Speaker Dato Ganesan tetap haram kerana cara perlantikannya melanggar peraturan dewan.

Berbalik kepada keputusan Jumaat lalu Aziz berkata beliau berasa anih mengapa Mahkamah Rayuan menyebut soal mandatori (kewajipan termesti) dalam soal undi tidak percaya.

"Memang perlembagaan tidak mewajibkan begitu tetapi undi tidak percaya adalah cara yang terbaik kerana ia selamat dari manipulasi", ujarnya.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perlantikan Zambry sah kerana tidak ada kemestian di dalam perlembagaan bahawa mesti ada undi tidak percaya terhadap menteri besar yang ada.

Ketika mengulas perkara itu, Aziz berkata keputusan Mahkamah Rayuan tidak membantu memperkasa demokrasi. "Ia juga tidak selaras dengan kedudukan eksekutif di dalam sistem demokrasi berparlimen yang mesti mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan".

Aziz menegaskan di dalam keadaan undi tidak percaya tidak dihalang ia perlu dilakukan. Katanya, "Mahkamah sepatutnya memperkasa keperluan undi tidak percaya ini dan bukan sebaliknya".

Aziz berkata Raus mempunyai tugas berat untuk meyakinkan mengapa beliau memutuskan bahawa menteri besar yang ada boleh disingkirkan tanpa undi tidak percaya. Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membawa kesan yang besar kepada perlembagaan khususnya dan demokrasi umumnya.

Beliau mengakui memang ada keadaan di mana undi tidak percaya tidak perlu. "Tetapi itu di dalam keadaan menteri besar yang ada enggan atau lari darinya. Dalam kes di Perak sekarang ini jelas tidak berlaku; malahan Nizar bersedia menghadapinya," kata Aziz.

Sebelum ini Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan berkata keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu membayangkan seolah-olah sultan mempunyai kuasa yang lebih besar daripada apa yang dinyatakan oleh perlembagaan. Katanya lagi, mahkamah telah meletakkan beban yang cukup berat untuk dipikul oleh Raja-Raja.

Aziz berkata umumnya keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah berita sedih buat demokrasi di negara ini. "Di sisi perlembagaan istana dan mahkamah mempunyai tugas untuk mempastikan semak dan imbang. Raja dan hakim berperanan mempastikan keadilan dan ketelusan, bukan mengambilalih fungsi rakyat dalam memilih kerajaan".

Beliau tidak bersetuju dengan para peguam Umno yang mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan menamatkan krisis politik di Perak. "Yang pasti Nizar akan memohon untuk membuat rayuan dan kalau ditolak ia akan menyebabkan rakyat melihat mahkamah dengan pandangan yang negatif," ujarnya.

No comments:

Post a Comment