Wednesday, 27 May 2009

ULAMA PRO UMNO JANGAN CEPAT MELATAH

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Apabila timbulnya isu mogok lapar di Perak , Umno dilihat menggunakan ulama’ tertentu untuk menghentam PAS dan Pakatan Rakyat ( PR ). Tokoh agama Johor dan juga mantan Mufti Johor, Datuk Noh Gadut dilaporkan berkata, amalan mogok lapar haram dan bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah kerana ia boleh memudaratkan.

Selain Datuk Noh Gadut , Mufti Perak , Datuk Harussani juga membidas rancangan PR untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah..

Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya," ( lihat Mingguan Malaysia 24/5/2009 )

Saya tidak pasti bagaimana kedua-dua tokoh agama ini melihat krisis Perak. Atau dengan lebih terang lagi saya tidak pasti adakah mereka benar-benar memahami krisis Perak ini ?

Kita melihat kedua-dua tokoh ini dengan begitu mudah mengharamkan perbuatan mogok lapar tanpa melihat dan merenung mengapakah mogok lapar tersebut dilakukan ?

Apa yang malang mereka begitu mudah mengatakan mogok lapar tersebut adalah haram tetapi tidak langsung mengeluarkan pendapat mereka tentang perkara-perkara berikut :

a. Apakah hukumnya bagi Umno yang bertindak “ menculik” tiga orang bekas Adun PR bagi menjatuhkan sebuah Kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat secara sah dalam Pilihanraya Umum 2008 yang lalu

b. Apakah hukumnya Umno menggunakan segala institusi keadilan seperti Polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah ( SPRM ) bagi memberi tekanan dan ancaman kepada Speaker Perak meskipun perbuatan pihak polis dan SPRM tidak ada sebarang asas di bawah undang-undang ? Adakah hanya kerana V. Sivakumar bukan beragama Islam maka kezaliman boleh dilakukan kepada beliau ? Jika ya, bagaimanakah kedua –dua tokoh agama ini ingin menjawab ayat Al-Quran yang menyatakan “ Janganlah kebencian kamu kepada satu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil, berlaku adillah kerana dengannya ( melakukan keadilan ) akan mendekatkan kepada taqwa.”

c. Apakah hukumnya ke atas mereka yang memfitnah Dato Seri Nizar siang dan malam bahawa beliau adalah penderhaka kepada Raja hanya kerana Nizar menyatakan kalimah “ patik memohon sembah derhaka” tatkala beliau diminta untuk meletakkan jawatan oleh Sultan Perak ? Bukankah fitnah lebih dahsyat dari membunuh ?
d. Mengapakah kedua-dua tokoh agama tersebut tidak pernah bersuara menyokong Kerajaan PR yang dipimpin oleh Nizar yang memberi semula bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat ( SAR ) dan memberi tanah sebanyak 1000 hektar kepada SAR sedangkan semua orang tahu Umno telah bertindak untuk mematikan SAR dan pernah juga menuduh SAR adalah sarang pengganas.

e. Apakah hukumnya tindakan biadap pihak polis dan disokong dan direstui oleh Umno yang menangkap orang ramai dengan sesuka hati hanya kerana mereka memakai baju hitam dan berhimpun secara aman bagi meminta Dun Perak dibubarkan ? Tidakkah kedua-dua tokoh agama ini sedar bahawa Haji Mohamad Sabu ditangkap kerana hanya ingin menganjurkan solat hajat di Perak ?

f. Adakah menangkap sesuka hati adalah sebahagian ajaran Islam ? Kalau ya terangkan kepada kami ayat Al-Quran atau Hadith manakah yang membenarkan hal tersebut ? Adakah diri dan jasad manusia tanpa mengenal agama tidak perlu dihormati ? Tidakkah Al-Quran menyatakan “ Sesungguhnya kami memuliakan Bani Adam” ? Bukankah Syaidina Umar r.a pernah menegur dengan keras Gabenor Mesir Amru Al’As apabila anaknya Muhammad memukul seorang rakyat qibti dengan kata-kata berikut “ Sejak bila kamu diberi lesen/permit memperhambakan sesama manusia sedangkan manusia itu dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas”.

f. Apakah hukumnya Umno menggunakan polis yang bersenjata masuk ke dalam Dun Perak pada 7 hb Mei 2009 meskipun tiada sebarang undang-undang yang membenarakan polis berbuat demikian dan tindakan polis itu semata-mata kerana ingin mewujudkan kekacauan di dalam Dun . Adakah terdapat di dalam Islam hukum mengheret keluar dengan kasar seseoarang seperti Sivakumar ( termasuk dengan mengangkat kerusinya sekali ) dan meletakkannya di dalam bilik stor tanpa membenarkan beliau masuk ke dalam sidang Dun meskipun beliau adalah seorang ADUN yang sah . Adakah hanya kerana dia bukan Islam maka mulut kedua-dua tokoh agama ini dikunci dari berkata-berkata ? Tidakkah kedua-dua tokoh agama ini ingat apa yang Rasulullah s.a.w. katakana kepada sahabat yang menegur Baginda apabila Baginda bangun mengormati mayat seorang yahudi yang lalu di hadapan Baginda. Bukankah Rasullullah s..a.w mengatakan begini “ Alaisat Nafsan ! ( Tidak mayat itu juga makhluk ? ). Lihatlah Rasulullah s.a.w bukan sahaja menghormati orang bukan Islam tetapi juga mayat orang Islam !!!

g. Islam mengajar pendamaian . Dalam konteks kes Perak semua orang tahu keadaan haru biru hanya dapat diselesaikan apabila dibubarkan Dun dan diadakan pilihanraya semula. Mengapakah kedua-dua tokoh agama ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan supaya Dun Perak dapat dibubarkan agar kedamaian dapat pulih semula di Perak.
h. Islam melarang sebarang amalan diskriminasi dan pilih kasih. Mengapakah kedua-dua tokoh agaman ini tidak bersuara apabila Mahkamah Rayuan dengan secara mudah dan cepat menggantung keputusan Mahkamah Tinggi apabila Zambry memohon penggantungan tersebut pada 12 hb Mei 2009 iaitu pada hari sama beliau membuat permohonan. Tidakkah kedua-dua tokoh agama tersebut melihat amalan pilih kasih apabila Nizar membuat permohonan bagi membatalkan penggantungan pada 13 hb Mei 2009 permohonan beliau hanya ditetapkan untuk pendengaran pada 21 hb Mei 2009 iaitu 8 hari selepas permohonan dibuat. Itupun pada tarikh 21 hb Mei permohonan Nizar tidak didengar kerana Rayuan Zambry juga ditetapkan pada tarikh yang sama . Bolehkah Islam menjustifikasi amalan tidak adil tersebut ?

1 comment: