Sunday 21 June 2009

19 jun...

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memohon supaya keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah, digantung sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Mohammad Nizar dalam permohonan untuk kebenaran merayu yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan, di sini, memohon perintah mahkamah supaya keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 Mei itu digantung sekiranya, kebenaran untuk merayu dibenarkan.

Notis usul permohonan untuk kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan itu difailkan kira-kira pukul 3.30 petang tadi melalui Tetuan Leong & Tan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 dan 10 Julai ini untuk mendengar permohonan itu.

Dalam permohonannya juga, Mohammad Nizar turut menyertakan satu lagi permohonan kepada Ketua Hakim Negara supaya kes itu didengar di hadapan 11 hakim.

(Mahkamah Persekutuan ketika ini mempunyai 12 orang hakim)

Beliau memohon diberi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Dr Zambry ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lepas yang mengisytiharkan beliau (Mohammad Nizar) sebagai menteri besar yang sah.

Mohammad Nizar, 52, yang berpakaian baju Melayu kelabu, hadir di mahkamah hari ini.

Dalam permohonan yang disertakan dengan afidavitnya, Mohammad Nizar turut merangka beberapa persoalan undang-undang penting berhubung interpretasi benar berkenaan Fasal 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu antaranya:

i. Dalam keadaan di mana Menteri Besar Negeri Perak ingin, dan telah memberi nasihat, untuk pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

ii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat pembubaran Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak;

iii. Dalam keadaan di mana tidak terdapat usul tidak percaya yang diambil dan diterimapakai dalam dan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Menteri Besar;

iv. Dalam keadaan di mana tidak terdapat peletakan jawatan Menteri Besar; sama ada jawatan Menteri Besar boleh dan/atau telah dikosongkan;

v. Sama ada Fasal 16(6) UTKP memperuntukkan bahawa penentuan isu kepercayaan terhadap Menteri Besar perlu dibuat dalam persidangan Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak atau sebaliknya;

vi. Sama ada UTKP memperuntukkan sebarang kuasa untuk seseorang Menteri Besar dipecat atau jawatannya dianggap kosong atau dikosongkan.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment