Wednesday 17 June 2009

Khalid: PAS keluar arahan tutup mulut

Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata parti itu telah mengeluarkan arahan "tutup mulut" kepada semua pemimpin tingginya daripada bercakap tentang kerajaan perpaduan.

"Arahan tersebut dibuat kerana perkara itu telah diputarbelitkan oleh orang seperti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

"Malah, ia tidak dibangkit pun dalam ucapan dasar atau usul... ia timbul dalam sidang akhbar dan telah diperbesar-besarkan," katanya yang juga bekas ahli jawatankuasa pusat PAS.

"Kita mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan menolak Umno. Umno sedar perkara itu, tetapi mereka mahu mencetuskan kekeliruan bagi menimbulkan keraguan mengenai halatuju PAS," kata Khalid.

Khalid menegaskan demikian diminta mengulas kenyataan Najib hari ini yang menyatakan beliau melihat PAS ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disuarakan oleh presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Oleh itu, kata perdana menteri, beliau tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk negara.

Umno, kata Najib lagi, sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS.

'Pertikai keikhlasan Umno'

Mengulas lanjut, Khalid mempersoalkan keikhlasan Umno untuk mengadakan perbincangan dengan PAS mengenai kerajaan perpaduan.

Sebaliknya, kata beliau, idea untuk mengadakan perbincangan tersebut adalah pandangan peribadi Abdul Hadi dan bukan keputusan sebulat suara parti itu.

Khalid turut menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai satu helah.

Cadangan Abdul Hadi itu mendapat bantahan beberapa pemimpin utama parti itu walaupun idea itu disokong oleh timbalannya, Nasharuddin.

Antara yang membantah keras kerajaan perpaduan itu ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyifatkan mereka yang menyokong cadangan itu sebagai "boneka Umno".

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa - yang tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden - turut menentang cadangan kerajaan perpaduan itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa menyambut baik kesediaan Najib mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.

Sidang akhbar Mustafa Ali

Katanya, merupakan reaksi serius pertama dari perdana menteri terhadap cadangan kerajaan perpaduan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat bercakap bagi pihak PAS tetapi perlu membawa perkara itu kepada presiden dan pihak parti.

Namun begitu, katanya, PAS terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak.

Pendirian itu, katanya, telah diputuskan dalam muktamar tahun lalu dan sekali lagi pada muktamar tahun ini.

Oleh itu, katanya, timbul isu PAS akan bersama Umno atau BN.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment