Thursday 9 July 2009

Kerajaan Akui PPSMI Pincang dan Punyai Banyak Kelemahan

Akhirnya kerajaan mengakui hakikat kepincangan dasar PPSMI dan mengambil keputusan memansuhkan sepenuhnya perlaksanaan dasar itu mulai tahun 2011. Setelah sekian lama pejuang bahasa, budayawan dan sarjana menyatakan kebimbangan dan menyuarakan bantahan terhadap PPSMI, alhamdulillah keringat dan doa mereka dimakbulkan jua.

Saya tidak pasti keputusan tersebut didasari motif politik ataupun kerana menyedari PPSMI merupakan satu pengkhianatan kepada perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan dan merugikan ramai pelajar terutama dari kawasan luar bandar. Pastinya kenyataan Menteri Pelajaran bahawa dasar ini dimansuhkan kerana mempunyai banyak kelemahan memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan umno-bn.

Sekonyong konyong mereka cuba menutup sebelah mata setelah RM 4.5 billion ringgit dana awam dibelanjakan demi perlaksanaan dasar tersebut walaupun mendapat bantahan segenap lapisan masyarakat. Keadilan tuntas menekankan selama ini bahawa satu kajian yang menyeluruh sewajarnya diadakan sebelum perlaksanaan PPSMI. Ternyata teguran yang diberikan masuk telingan kanan keluar telinga kiri.

Sayugia Menteri Pelajaran mestilah menyediakan jawapan yang kukuh dan bertanggungjawab untuk dibentangkan kelak. Rakyat berhak mengetahui mengapa selepas 6 tahun ianya dilaksanakan, baru kerajaan mengakui kelemahan dan kepincangan PPSMI.

ANWAR IBRAHIM

No comments:

Post a Comment