Monday 10 August 2009

Pergerakan Pemuda UMNO cabar Pemuda PAS berhimpun

Oleh Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

1. Beberapa hari yang lalu , [ hari jumaat lepas kalau tidak silap ] saya telah dihubungi menerusi telefon bimbit oleh Saudara Khairy Jamaludin Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melalui sahabat lama saya saudara Lokman Adam .

2. Ringkas saya bertanya , mimpi apa sdr Lokman hubungi saya sejak sekian lama tidak bertemu kecuali lama dulu sewaktu beliau bersama AMK di bawah kepimpinan Ezam Mohd Noor.

3. Sejurus selesai bertanya khabar , sdr Lokman beritahu , ada orang nak bercakap dengan saya lalu di telefon bimbitnya di passkan kepada sdr Khairy yang mulanya bertanyakan perihal surat jawabnya berkait isu wacana ilmiah antara Pemuda PAS dan Pergerakan Pemuda UMNO .

4. Kemudiannya Khairy mengundang saya bersama Pemuda PAS untuk menyertai satu perhimpunan yang akan dianjurkan oleh Pemuda UMNO di Shah Alam bagi mengutuk Ronnie Liu berkait isu arak yang mencetus kontraversi baru - baru ini .

5. Menghormati beliau yang menghubungi saya secara terhormat , maka saya hanya jawab ringkas " Insyaallah , esok [ sabtu ] Dewan Pemuda PAS Pusat [ DPPP ] akan mengadakan mesyuarat bulanannya . Kami akan putuskan disitu [ dalam mesyuarat bulanan ] berkait dengan pelawaan Sdr Khairy [ Pemuda UMNO ] dan bagaimana pula stand DPPP terhadap isu arak di Selangor " .

6. Malangnya akhbar hari sabtu dan ahad telah tersebar berita dan kenyataan Khairy bagaimana Pemuda UMNO kononnya telah mencabar Pemuda PAS agar keluar berhimpun bersama mereka bagi membantah dan mengutuk Ronnie Liu sedang saya belum memberi jawapan balas secara rasmi kepada beliau . Tetapi oleh kerana beliau kelihatan terlebih awal dan tidak sabar - sabar mengumumkan kepada orang ramai menerusi media , maka biarlah saya juga menjawab menerusi media tanpa perlu menghubungi beliau [ Khairy ] lagi .

7. Saya tidak ada masaalah dengan hasrat Pemuda UMNO untuk berhimpun justeru perhimpunan sedemikian bukanlah asing bagi Pemuda PAS , lagipun Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang selayaknya membenarkan perhimpunan aman dianjurkan . Cuma , apa yang menarik ialah Pemuda UMNO mengundang Pemuda PAS untuk menyertai himpunan tersebut bersama mereka seraya mencabar kewibawaan Pemuda PAS sayap kepada Gerakan Islam PAS .

8. Kononnya himpunan mereka ialah untuk membela Islam dan hukumnya agar tidak dipersenda sebaiknya ditegakkan di bumi Selangor . Ianya gara - gara isu yang tercetus dari kontraversi arak di Selangor . Persoalannya sejak bila Pemuda UMNO peka terhadap isu agama dan perlaksanaan syariat ? jika ianya baru bermula dan berputik sehari dua ini , alhamdulillah semoga Pemuda UMNO terus mendekatkan diri dengan isu - isu agama malah berani bangkit mempertahankan Islam dan syariatnya agar kelak ia dapat ditegakkan di atas tanahair kita .

9. Kedua , rakyat masih sangsi khasnya Pemuda PAS terhadap hasrat Pemuda UMNO yang mahu menganjurkan himpunan pada 14 ogos ini demi mempertahankan dan menjaga kesucian Islam kononnya . Ianya berasaskan sikap yang diambil oleh Pemuda UMNO yang melarang ahlinya dari turun menyertai himpunan aman 100 ribu ummah untuk menentang akta zalim ISA baru - baru ini [ 1 ogos ] bahkan mendesak agar ianya segera dimansuhkan oleh kerajaan . Sedang ISA adalah akta yang juga bercanggah dengan Islam . Mempertahankan ISA adalah satu persendaan terhadap agama dan hak asasi kemanusian .

10. Ketiga , Kenapa Pemuda UMNO tiba - tiba tertarik untuk mengadakan himpunan di Shah Alam bagi menentang arak di Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat bahkan mencabar Pemuda PAS agar turun berhimpun bersama mereka ? Kenapa mereka tidak mengadakan himpunan atau road show membantah penjualan arak ke seluruh negara yang rata - rata negeri masih berada di bawah kerajaan UMNO dan BN dan arak terlalu banyak di situ . Bagaimana kalau saya [ Pemuda PAS ] pula mencabar agar Khairy dan Pemuda UMNO mengadakan himpunan membantah arak dan judi dinegeri Pahang , Johor , Wilayah Persekutuan , Melaka , Negeri Sembilan , Langkawi , Pulau Tioman , Pulau Pangkor dan lainnya ? Sekurang - kurang Pemuda UMNO hantar memorundum membantah pun sudah dikira cukup .

11. Sementara Isu arak di negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat , DPP telah mengambil langkah menyerahkan memorundum kepada Yb Ronnie Liu melalui DPP Negeri Selangor dan disokong sepenuhnya oleh DPP Pusat . DPP Pusat telah memberi tempoh sekurang - kurangnya sebulan kepada Kerajaan Selangor untuk mengemukakan polisi penjualan arak di negeri itu .

12. DPP Pusat mengambil langkah menegur dan menasihati kerajaan negeri Selangor [ memandangkan Pakatan Rakyat masih baru - tak sampai 2 tahun - mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Selangor berbanding UMNO dan BN yang memimpin 50 tahun ] supaya Selangor dan negeri - negeri lain yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat menerima pakai kaedah penjualan arak yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri Kelantan . Malah ianya dilihat berkesan serta telah terbukti kesannya sejak 19 tahun lalu .

13. DPP Pusat telah menegaskan pendiriannya bahawa , sekali - kali Pemuda PAS sebagai Pemuda Gerakan Islam tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang cuba memperlekeh agama Islam apalagi menghinanya . Sebaliknya Pemuda PAS akan terus thabat dan teguh insyaallah , dalam mempertahan serta memperjuangkan Islam agar kelak syariatnya tertegak di atas tanahair ini .

14. Namun begitu , DPP Pusat tidak akan melulu dalam tindakan . Segalanya dihalusi dari pelbagai aspek melalui mesyuarat yang dianggotai oleh pemuda yang memiliki pelbagai latar belakang dan kemahiran pula dibimbing oleh hikmah para ulamak yang menerajui kepimpinan parti .

15. Pemuda UMNO tidak perlu mengajar Pemuda PAS bagaimana untuk ia mempertahankan kesucian Islam . Apa yang pasti UMNOlah punca segala kebanjiran maksiat dan mungkar yang sukar dibendung hari ini setelah mempunyai mandat memerintah sejak merdeka . Pakatan Rakyat sedang mengalih transisi cuma kini masih dalam diperingkat awal . Banyak perkara yang perlu diubah dan dibaiki . Tentunya ia tidak boleh dilakukan secara drastik justeru ia melibatkan paradigma yang perlu diubah , dianjak dan dibina kembali setelah 50 tahun ia terbentuk .

Sistem perlu dibaiki , sikap perlu diubah , mind set perlu dibina , peraturan perlu dikaji semula , undang - undang perlu diteliti , penguatkuasaan perlu disemak dan pencapaian perlu dinilai sementara Pakatan Rakyat , kalau pun tidak bermula dari kosong , nyata ianya bertolak dari paras yang terlalu rendah untuk melonjak ke tahap tinggi dalam keadaan gerakannya ditekan .
Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

No comments:

Post a Comment