Wednesday, 23 December 2009

PESANAN TOK GURU.

"Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Salam Pendahuluan

Politik ini kerja Nabi-Nabi. Ia ada kena mengena dengan Islam kerana melalui kekuasaan di dalam pemerintahan, banyak perkara penting dalam hidup meliputi setiap aktiviti manusia dapat diputuskan melalui kuasa pemerintah.

Ia mencakupi kegiatan untuk menegakkan maaruf dan mencegah kemungkaran. Ini amat berbeza sekali dengan fahaman politik para pemimpin Umno. Mereka menyifatkan Islam lain dan politik lain. Ia suku-suku menyebabkan Islam terkurung di surau-surau dan tidak didaulatkan.

Islam Agama Sejagat

Islam mengutamakan keselamatan manusia – bukannya Melayu sahaja! Islam mengatur seluruh sistem hidup bagi melindungi keselamatan manusia untuk mencapai kesejahteraan, bermula dari dunia lagi sampai ke dalam lubang kubur dan terus ke akhirat. Ini jauh berbeza dengan perjuangan orang sekular yang mengambil faham kebangsaan Melayu seperti Umno sebagai dasar perjuangan. Mereka hanya tahu dan bercakap mahu membawa kebahagiaan setakat dunia. Itupun, kejayaannya sangat diragukan boleh dicapai oleh rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Masalah inflasi, masalah keruntuhan akhlak, masalah rasuah, masalah kroni, masalah ketirisan, masalah jenayah, masalah perpaduan kaum, masalah murtad, masalah bahasa, masalah pencemaran alam, masalah keruntuhan bukit, masalah dadah, HIV dan Aids dan seribu satu macam masalah lagi. Ini semua merupakan contoh betapa gagalnya pemimpin Umno yang berfahaman kebangsaan ini yang memerintah Malaysia sekarang. Sudahnya di bumi tak jejak, ke langit tak sampai. Menyembah Allahpun tidak, menyembah berhalapun bukan.

Nak Jaga Orang Melayu

Kerja nak jaga orang Melayu, PASpun boleh jaga. Bahkan kaedah PAS menjaga kepentingan orang Melayu lebih logik dan konkrit. Lihat kerja kami menjaga amanah kuasa dalam kerajaan-kerajaan yang diamanahkan. Cara kami cukup berbeza dengan Umno yang menggunakan fahaman kebangsaan. Umno hanya setakat untuk membahagiakan rakyat sampai ke pintu kubur sahaja. Itupun jika bahagia?

Semangat Kebangsaan

Melalui konsep BN, Umno menyuburkan fahaman kebangsaan di kalangan bangsa-bangsa dalam gerakan aliran perjuangan bangsa masing-masing. Atas slogan perpaduan, mereka meniupkan semangat perkauman di atas pentas toleransi dan istilah permuafakatan yang muluk. Untuk umpan eksploitasi, mereka membiarkan syak wasangka tumbuh subur dalam kehidupan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum ini. Contoh boleh dilihat melalui isu-isu bahasa, aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat. Isu bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi yang sama-sama boleh kita saksikan. Saya yakin yang orang Melayu dan orang bukan Melayu sedang berada dalam kegelisahan. Hari ini pula timbul isu ketuanan Melayu. Ini semua ada kena mengena dengan politik Umno yang mahu “pecahkan perpaduan” untuk terus memerintah. Ini “divide and rule” yang selalu saya katakan. Rakyat tertanya-tanya, apa yang sudah terjadi dan akan terjadi dengan masa depan perpaduan kita pada masa ini dan akan datang.

Sebaliknya, semangat Islam bertolak dari Adam dan Hawa. Kita tidak berminat dengan kesedaran bangsa walaupun kita sedar kita hidup berbangsa-bangsa. Kita pupuk semangat kebersamaan yang bertolak daripada satu keturunan. Ini menimbulkan rasa senang dan tenang. Jauh dari perasaan syak dan curiga. Kesedaran ini mencetuskan benih baru. Ia menimbulkan rasa mesra kerana kita semua adalah bersaudara. Islam memberi peluang kepada semua bangsa untuk bertaqwa dan menjadi orang yang terbaik sama ada Cina, Melayu, India, orang asli atau Benggali. Sekiranya mereka menerima Islam, maka mereka layak untuk menjadi orang bertaqwa. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai manusia (tanpa mengira bangsa), sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

(Surah Al Hujuraat : Ayat 13)

Sokongan Terhadap Umno

Semua rakyat boleh perhati bahawa orang Melayu sudah lari daripada perjuangan Umno. Dalam keadaan orang yang sedang melarikan diri, Umno pula sedang ghairah menggantung pemimpin dan ahli-ahlinya yang sedia ada. Ada yang hanya kena setahun dan ada yang kena bertahun-tahun. Ada yang dipecat dan ada yang dikenakan tindakan disiplin. Kes-kes politik wang (rasuah) sudah mencecah angka 1,000 kes. Setakat yang saya ikuti, orang yang nak masuk Umno, tidak ada. Yang keluar, ada!

Pembangunan Di Kelantan

Jika Kelantan hendak diambil sebagai contoh, maka seluruh rakyat Malaysia boleh datang dan menyaksikan sendiri segala pembangunan dan projek yang sedang dilaksanakan. Jemputlah ke Gua Musang, Tok Bali, Kubang Kerian, Kota Bharu, Tanah Merah, Jeli dan di merata-rata tempat di negeri ini. Ada-ada sahaja pembangunan. Kami tidak mengatakan kami yang terbaik tetapi kami boleh mengatakan kami lebih baik. Kami sedar kami miskin, tetapi kami berjimat cermat kerana Islam menganjurkan kami supaya kami berjimat cermat. Kami jaga hukum Allah SWT. Mana yang boleh kami laksanakan, kami laksanakan. Mana yang belum boleh kami laksanakan, maka kami usahakan untuk melaksanakannya. Demikianlah cara kami.

Dengan mentaati Allah, Islam menjadi cukup mudah. Bahkan politik yang paling mudah ialah Islam. Bagaikan Peguam Negara, Nabi Muhammad SAW menterjemahkan segala isi kandungan Al-Qur’an untuk dilaksanakan. Kami menggunakan Islam sebagai panduan yang telahpun ada ‘blue print’nya. Dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dan pilihan raya-pilihan raya yang akan datang, mari kita tinggalkan Umno dengan rasuah dan segala penyakitnya. Walau di mana sekalipun, dalam konteks rasuah, Umno selalu menjadi parti yang serba salah.

Diberi Salah
Tak Diberi Kalah
Serba Tak Kena
Serba Salah

Salam Penutup

Jom, kita tinggalkan Umno. Tak payahlah kita berbalah. Yang kita hendak hanya satu iaitu SOKONG PAS dan Pakatan Rakyat. sokong PAS, menanglah Pakatan Rakyat. Jom, kita ke Putrajaya!

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan "

No comments:

Post a Comment