Monday, 25 May 2009

ARAHAN BERPUASA SUNAT DAN SOLAT HAJAT

Semua ahli dan penyokong seluruh Perak khususnya diseru berpuasa sunat dan solat hajat mulai esok selama tiga hari berturut-turut. Demikian ditegaskan oleh Pesuruhjaya PAS Perak dan juga turut ditegaskan oleh Dato' Seri Hj Nizar. Berpuasa dan Solat Hajat hendaklah diniatkan bagi memohon pertolongan kepada Allah swt supaya diberi ketabahan, kesabaran, kecekalan dan akhirnya kemenangan dalam menghadapi kemelut politik di negeri Perak.

Sementara mogok lapar adalah dianjurkan kepada ahli-ahli dan penyokongya yang tidak beragama Islam. Mogok lapar adalah protes rakyat terhadap kemelut dan kekalutan yang berlaku di negeri Perak.

Program puasa sunat akan bermula esok dan akan berakhir petang Khamis . Walau bagaimanapun pogram puasa sunat masih boleh diteruskan bila-bila masa sahaja. BPP Perak akan menganjurkan majlis berbuka puasa pada petang Khamisnya dan Solat Hajat di sebelah malamnya di Pejabat Perhubungan PAS Perak.

Ketua Penerangan PAS Perak.

HAJI NIZAR TERUSKAN PERJUANGAN MENUNTUT KEADILAN

Hari ini peguam Hj Nizar dijangka akan menfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lepas ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya. Tarikh perbicaraan juga akan diketahui hari ini.

Kedudukan Zambry sebagai MB yang sah belum selamat lagi. Mahkamah Persekutuan akan bersidang bagi mendengar rayuan Hj Nizar. Sepatutnya perintah boleh dikeluarkan juga bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan Hj Nizar, sebagaimana Mahkamah Rayuan memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan bahawa Hj Nizar adalah MB yang sah ditangguhkan. Saya tidak pasti samada boleh ataupun tidak perintah tersebut dipohon.

Apapun Hj Nizar tidak akan luntur semangat perjuangannya. Beliau tetap di hati rakyat. Kemelut politik di Perak akan berakhir juga nantinya melalui penghakiman rakyat. Tidak dalam masa yang terdekat, Insya Allah dalam jangka masa yang tertentu. Rakyat tidak akan lupa peristiwa rampasan kuasa ini. Hj Nizar boleh hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri, tetapi majoriti rakyat tetap bersamanya. Zambry dan BN tidak boleh berbangga dengan kuasa kerdilnya yang diperolehi melalui rompakan kuasa.

Kalau BN yakin akan sokongan rakyat terhadapnya, ayuh ! segeralah menghadap Tuanku, mohon perkenan DUN dibubarkan, kita minta semula mandat rakyat, barulah kerajaan yang dibentuk benar-benar kerajaan sah yang mendapat majoriti rakyat.

(misabahblogspot)

Ahmad Awang : Puasa sunat dan mogok lapar diputar belit pihak tertentu.

IPOH, 25 Mei :- Program Puasa Sunat yang dianjurkan oleh PAS Perak yang berkebetulan dengan Program Mogok lapar yang diadakan oleh Pakatan Rakyat telah diputar belit oleh pihak tertentu sehingga memerlukan pejelasan lebih lanjut. Demikian antara kenyataan awal yang diberikan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Ahmad Awang kepada saya semasa dihubungi sebentar tadi.

Menurut beliau apa yang dianjurkan oleh PAS Perak adalah yang dianjurkan dalam ajaran Islam iaitu pada setiap awal bulan kalender Islam kita dianjurkan puasa sunat 3 hari berturut. Berkebetulan esok adalah tepat 1 jamadal akhir dan kita berpuasa sehingga Khamis ini.

"Saya juga telah mengarahkan Ketua penerangan PAS Negeri Perak, Ust. Misbah untuk memaklumkan kepada semua kawasan mengenai program ini, dimana kemuncaknya diperingkat negeri kita adakan solat hajat mohon dibubarkan DUN ditempat yang ditentukan kemuadian sementara di peringkat kawasan dibuat di markaz PAS" Jelas beliau.

Ust. Ahmad Awang juga menjelaskan diperingkat Negeri akan disediakan juadah berbuka pada setiap hari sehingga Khamis dan beliau mengalu-alukan warga sekitar Ipoh untuk berbuka bersama-sama di Pejabat PAS Ipoh di Medan Istana Ipoh.

Selain itu beliau menafikan mogok lapar yang dianjurkan menyusahkan dan membawa mudarat yang besar kerana mereka yang terlibat masih boleh minum setiap 6 jam dan penganjur juga menyediakan doktor pakar sebagai persedian jika ada kecemasan.

Saturday, 23 May 2009

Mengapa Mahkamah Rayuan bangkitkan soal mandatori? - Prof Dr Aziz Bari .

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan Jumaat lalu yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi lansung tidak memeranjatkan. Demikian komen spontan Profesor Dr Abdul Aziz Bari terhadap keputusan mahkamah yang menghukumkan Dato Seri Dr Zambry Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Penghakiman 5 minit itu sungguh memeranjatkan banyak kalangan. "Buat masa ini saya fikir kita belum perlu untuk membuat komen yang menyentuh aspek teknikal penghakiman Datuk Raus Sharif kerana beliau sendiri pun belum memberi penghakiman bertulis," ujar Aziz lagi.

Bagaimanapun, tambahnya, keputusan itu tidak terlalu memeranjatkan kerana sejak merdeka hanya ada tiga orang hakim yang berani membuat keputusan yang tidak menyebelahi parti yang didokong oleh kerajaan pusat.

Aziz berkata, itu pun keputusan Mahkamah Tinggi dan ada yang memprovok Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat. Keputusan-keputusan yang menentang Kerajaan Pusat di buat dalam kes Dato Stephen Kalong Ningkan di Sarawak (1966), Dato Seri Joseph Pairin Kitingan di Sabah (1986) dan Dato Seri Nizar Jamaluddin di Perak (2008).

Sejak Februari lalu kebanyakan hakim memberi keputusan yang menyebelahi Umno termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan yang bertentangan dengan peruntukan perlembagaan yakni Perkara 72(1).

"Ertinya kita perlu sedar bahawa bukan semua keputusan mahkamah selaras dengan kehendak dan semangat perlembagaan," tegasnya lagi.

Aziz turut mengingatkan, meskipun Zambry diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebagai sah, tetapi kedudukan Speaker Dato Ganesan tetap haram kerana cara perlantikannya melanggar peraturan dewan.

Berbalik kepada keputusan Jumaat lalu Aziz berkata beliau berasa anih mengapa Mahkamah Rayuan menyebut soal mandatori (kewajipan termesti) dalam soal undi tidak percaya.

"Memang perlembagaan tidak mewajibkan begitu tetapi undi tidak percaya adalah cara yang terbaik kerana ia selamat dari manipulasi", ujarnya.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perlantikan Zambry sah kerana tidak ada kemestian di dalam perlembagaan bahawa mesti ada undi tidak percaya terhadap menteri besar yang ada.

Ketika mengulas perkara itu, Aziz berkata keputusan Mahkamah Rayuan tidak membantu memperkasa demokrasi. "Ia juga tidak selaras dengan kedudukan eksekutif di dalam sistem demokrasi berparlimen yang mesti mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan".

Aziz menegaskan di dalam keadaan undi tidak percaya tidak dihalang ia perlu dilakukan. Katanya, "Mahkamah sepatutnya memperkasa keperluan undi tidak percaya ini dan bukan sebaliknya".

Aziz berkata Raus mempunyai tugas berat untuk meyakinkan mengapa beliau memutuskan bahawa menteri besar yang ada boleh disingkirkan tanpa undi tidak percaya. Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membawa kesan yang besar kepada perlembagaan khususnya dan demokrasi umumnya.

Beliau mengakui memang ada keadaan di mana undi tidak percaya tidak perlu. "Tetapi itu di dalam keadaan menteri besar yang ada enggan atau lari darinya. Dalam kes di Perak sekarang ini jelas tidak berlaku; malahan Nizar bersedia menghadapinya," kata Aziz.

Sebelum ini Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan berkata keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu membayangkan seolah-olah sultan mempunyai kuasa yang lebih besar daripada apa yang dinyatakan oleh perlembagaan. Katanya lagi, mahkamah telah meletakkan beban yang cukup berat untuk dipikul oleh Raja-Raja.

Aziz berkata umumnya keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah berita sedih buat demokrasi di negara ini. "Di sisi perlembagaan istana dan mahkamah mempunyai tugas untuk mempastikan semak dan imbang. Raja dan hakim berperanan mempastikan keadilan dan ketelusan, bukan mengambilalih fungsi rakyat dalam memilih kerajaan".

Beliau tidak bersetuju dengan para peguam Umno yang mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan menamatkan krisis politik di Perak. "Yang pasti Nizar akan memohon untuk membuat rayuan dan kalau ditolak ia akan menyebabkan rakyat melihat mahkamah dengan pandangan yang negatif," ujarnya.

MAHKAMAH RAYUAN KETEPIKAN DOKTRIN RAJA BERPERLEMBAGAAN

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung ( YDPA ) bahawa beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat ( PR ) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria. Najib yang masih marah dan berang berkata : “ Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana –mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA . YDPA dengan senyum berkata kepada Najib : “ Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa

a. Seorang Menteri Besar ( di peringkat Negeri ) atau Perdana Menteri ( PM ) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya ( votes of no confidence ).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan ( 1966 ) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

YDPA seterusnya menambah : “ Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak. Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa . Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia."

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak ( Absolute Monarchy ). Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

Sketsa di atas adalah , bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.

Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan ( legitimacy ). Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah , Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan , maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.

Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama . Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.

Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.

Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.

21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak –pihak secara mendalam . Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari .Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut .

Suatu yang amat mengharukan kami ( pasukan peguam Nizar ) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr .Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan . Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insya’Allah.

Peguam Hanipa Maidin