Thursday, 21 May 2009

'Mat rempit hanya di Malaysia

GEJALA mat rempit hanya wujud di Malaysia, malah tiada sebarang jurnal antarabangsa yang pernah melaporkan masalah itu kecuali di negara ini.

Pakar pengangkutan awam yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, berkata ini disebabkan beberapa faktor termasuk penggunaan motosikal sebagai pengangkutan utama di Malaysia berbanding negara asing.

"Di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia misalnya, ramai berkereta atau menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja. Tidak ramai yang bermotosikal. Malah jika ada motosikal pun, mereka menggunakan motosikal berkuasa tinggi.

"Keadaan sebaliknya di sini kerana ramai bermotosikal. Malah lebih ramai daripada yang berkereta. Jadi wujudlah kelompok atau kumpulan tersendiri seperti mat rempit sama ada di luar bandar dan bandar. Merempit itu sudah menjadi satu budaya di kalangan pemilik motosikal ini," katanya.

Prof Abdul Rahim berkata, di luar negara, jika ada pun, hanyalah lumba kereta haram dan bukannya motosikal.

"Hanya ada beberapa negara yang melaporkan kejadian lumba kereta haram seperti Australia, New Zealand, Amerika, United Kingdom, Sweden, Croatia, Jepun, dan Hong Kong. Bagaimanapun, perlu diingat, keadaan di luar negara terkawal, tidak seperti Malaysia yang hampir setiap malam ada saja kejadian merempit." katanya.
Beliau turut mengaitkan gejala mat rempit itu dengan faktor cuaca. Di Malaysia, cuacanya sama sepanjang tahun, manakala di luar negara cuacanya empat musim.
"Apa yang pasti, tiada siapa pun yang mahu bermotosikal ketika musim sejuk." katanya.
Prof Abdul Rahim turut menyuarakan kebimbangannya kerana perkembangan semasa menunjukkan gejala mat rempit bukannya berkurangan atau terkawal, sebaliknya semakin menjadi-jadi. Buktinya, jika dulu cuma 10 atau 20 orang mat rempit bergerak dalam satu kumpulan, kini bilangan mereka mencecah hingga 200 orang.

Ditanya faktor utama yang menyumbang kewujudan mat rempit ini, beliau menyifatkan sekurang-kurangnya lima faktor iaitu sikap mat rempit, ada 'peminat' gejala itu, pengaruh permainan video, pengaruh media dan penguatkuasaan undang-undang yang longgar,
"Sikap mat rempit yang menyifatkan perbuatan mereka itu memberikan kepuasan dan keseronokan tersendiri. Mereka berasa teruja dapat beraksi di jalan raya, ditonton ramai, ada peminat serta ganjaran seperti wang dan wanita untuk ditiduri.

"Tidak kurang juga yang menjadikan aksi rempit itu cara meleraikan pertelagahan seperti kumpulan mana yang memandu paling laju. Merempit ini memberi kepuasan rekreasi kepada mereka. Jika orang lain seronok panjat gunung atau kegiatan sukan lain, mat rempit menganggap membonceng motosikal dengan laju dan mempamerkan aksi bahaya itu satu kepuasan. Lebih-lebih lagi jika mereka ada kawan yang meminati perkara sama," katanya.

Prof Abdul Rahim turut menyelar sikap pengeluar filem dan drama bersiri yang berlumba-lumba menghasilkan cerita mengenai mat rempit yang disifatkannya hanya memberi publisiti meluas dan menggambarkan mereka sebagai hero atau ikon.

"Pengarahnya pula mendakwa produksi itu memberi pengajaran. Tetapi saya mahu soal kembali, apa gunanya pengajaran yang cuma 20 peratus berbanding keburukan sebanyak 80 peratus lagi?

"Pernahkah beliau terfikir berapa ramai yang akan meniru aksi dipaparkan? Aura filem sedemikian bukan saja di ibu negara tetapi menular sehingga ke segenap pelosok tanah air. Jadi apa rasionalnya menghasilkan drama atau filem yang mempopularkan gejala sosial sedemikian?"

Prof Abdul Rahim juga menggesa pihak berkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) mewujudkan satu pangkalan data khas bagi pesalah merempit ini, khususnya mengesan mereka yang tegar dan harus dikenakan hukuman lebih berat apabila mengulangi kesalahan itu.

"Pangkalan data itu menjadi catatan rekod kesalahan dan rujukan pihak berkuasa itu sendiri. Selain itu, kerajaan juga harus lebih tegas dengan menggantung lesen mat rempit selama dua tahun. Kita harus lebih serius dan tegas menangani permasalahan mat rempit ini," katanya.

(BERITA HARIAN)

No comments:

Post a Comment