Open Artikel Oleh Dr Azly Rahman
(Terjemahan daripada bahasa Inggeris oleh Centre for Policy Initiatives)
'Wahai Manusia! Tuhan kamu itu esa dan dan kamu semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada orang Arab yang lebih mulia dari orang bukan Arab atau orang bukan Arab lebih mulia dari orang Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih), selain daripada belas kasihannya. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.'
- Sabda Nabi Muhammad s.a.w (Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi)
'Malaysia – dipunyai oleh siapa? Kepada warga Malaysia. Tapi siapakah warga Malaysia itu? Tuan Pengerusi Majlis, harapannya sayalah warga itu. Namun kadangkalanya, duduk di kamar ini, saya meragui kalau-kalau saya dibenarkan menjadi warga Malaysia. Ia keraguan yang membuai tergantung dalam pemikiran ramai orang,.... [sekali] emosi digerakkan dalam tindakan, manusia berlaga sesama manusia sepanjang kata-kata yang tidak terucap, kamu akan berdepan dengan perang yang akan memecahkan negara dari atas ke bawah dan meleraikan Malaysia.' – Lee Kuan Yew, Menteri Kanan, Republik Singapura.
Menaksirkan Ketuanan Melayu sebagai 'Malay superiority’ (keunggulan Melayu) sebaliknya agak tidak bermakna, tidak tepat secara asal usul ilmu bahasa dan secara falsafahnya dilihat angkuh. Saya kira kata 'kediktatoran' lebih dekat pada pengertiannya. Seterusnya membaca tulisan ini, tolonglah jauhi daripada membuat penghakiman tentang nilai dan janganlah terperangkap dalam penjara bahasa yang berhubungan dengan kata 'kediktatoran'.
Mendikte ['dikte' kata akar 'diktator'] membawa erti tersirat memberitahu, yang juga bermaksud menceritakan. Menceritakan bermaksud menjalin kisah berasaskan satu ideologi. Mengideologikan bererti mengurung. Mengurung bermaksud akan diperangkap. Kediktatoran di sini bermaksud pemerangkapan. Seseorang itu bukan menyedari kebebasan untuk memerintah tetapi sebaliknya sedar dirinya dalam perangkap – dan cuba keluar dari keadaan yang menjeratnya itu. Inilah bentuk kesedaran palsu.
Kata-kata, seperti yang diungkapkan ahli teori sastera Raymond Williams, perlu dipancangkan pada konteks/diletakkan dalam keadaan ekonomi yang muncul di dalamnya. Pernyataan terkenal Marx bahawa kewujudan manusia itu berdasarkan takrif keadaan ekonomi mereka dan keadaan ekonomi tersebut telah ditentukan sebelum mereka lagi. Ini merupakan pandangan 'ketentuan' (deterministic) dalam sejarah manusia.
Saya pertama kali mendengar ungkapan Ketuanan Melayu dalam pertengahan 1980-an dari buku karangan Malik Munip. Saya membaca karyanya, dalam masa yang sama menelaah tulisan Lim Kit Siang, ‘Malaysia in the dangerous 80s’ (Malaysia dalam tahun-tahun 80an yang berbahaya) untuk mendapatkan kesan penghujahan. Waktu itu, saya seorang siswa pengajian Sastera, Pendidikan dan Politik Antarabangsa.
Saya juga mendengar, para pelajar Melayu tidak digalakkan membaca karya Kit Siang dan digalakkan membaca 'Ketuanan Melayu'. Saya sukakan buku-buku yang diharamkan dan buku yang disebut orang supaya jangan dibaca. Terdapat rasa cabaran intelektual atas keupayaan membaca buku-buku terlarang.
Saya membaca buku Mahathir Mohamad, 'Dilema Melayu' dan buku Syed Husin Ali, 'Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya' serta buku, 'Mitos Pribumi Malas' karya Syed Hussein Alatas serentak pada waktu yang sama. Sekali lagi, untuk mendapatkan rasa keseimbangan.
Saya membaca penerbitan rasmi tentang keadaan ekonomi, disamping iringan bacaan rapi analisa ekonomi-politik negara kapitalis Malaysia.
Saya membaca karya Freud dan Marx bagi melihat sejauhmanakah penghujahan tentang totalitarianisme dari para pengarang besar arus pemikiran Sekolah Kajian Kemasyarakatan Frankfurt (Frankfurt School of Social Research). Saya membaca Al-Quran dan Bhagavad Gita, Ramayana dan Mahabharata untuk melihat dimanakah berdirinya hujah berkenaan keunggulan kaum dan apakah takdir masa hadapan manusia.
Jika kita membaca sejarah perkembangan ideologi ketuanan ini, kita dapat melihat ide tentang penguasaan sosial dan keunggulan kaum kemungkinan segalanya hanyalah berpunca daripada ekonomi. Tetapi soalan saya – siapa yang berhak mendakwa bahawa tanah ini dan itu dipunyai oleh kumpulan orang ini dan itu. Di titik manakah budaya dan kewarganegaraan bertemu dan merundingkan isu berkenaan kesetaraan [fahaman egalitarianisme]? Di mana 'kebenaran satu-satu budaya' itu sampai ke batas hadnya dan datang persoalan menguasai tentang 'kebenaran kewarganegaraan'?
Ia perihal persoalan yang cukup rumit. Warga Malaysia perlu menjawabnya setelah 50 tahun kemerdekaan. Kita mesti membuka ruang perbincangan berkenaan isu ini.
Lirik propaganda
Mari kita melihat bagaimana gagasan ketuanan Melayu disebar luaskan ke dalam jiwa anak-anak muda. Salah satu caranya, melalui kem-kem pemaksaan kepercayaan (indoctrination) dengan menggunakan nyanyian lagu-lagu.
Lebih berdekad lamanya, barangkali jutaan pelajar Melayu diajarkan lagu propaganda berbahaya, ‘WARISAN/Anak Kecil Main Api’. Salah satu rangkapnya mengungkapkan kuasa orang-orang Melayu:
… kini kita cuma tinggal kuasa
yang akan menentukan bangsa
hasil mengalir, ke tangan yang lain
pribumi merintih sendiri…
(senikata lagu Biro Tata Negara)
Saya tidak fikir kita memiliki kejernihan kefahaman terhadap maksud lirik ini. Saya juga meragui penulis lagu ini benar-benar mengerti maksud 'sejarah rakyat Malaya'. Ianya lagu yang berasaskan hasrat perkauman; liriknya ditulis seorang yang tidak memiliki kefahaman ekonomi-politik sejarah warga Malaysia, apatah lagi kemajuan terkini di bidang ilmu kejiwaan (psikologi) tentang kesedaran.
Program-program latihan yang memerangkap jerat dengan tema lagu ini bertujuan menumbuhkan perasaan takut orang Melayu, bukan terhadap orang lain tetapi diri mereka sendiri, serta mengacukan kebencian terhadap kumpulan etnik lainnya tanpa menyedari siapakah musuh sebenar orang Melayu.
Ia menggunakan kaedah merehatkan tubuh bagi membawa gelombang otak dalam isyarat alpha dan keadaan yang bersesuaian untuk penyampaian pesan-pesan tidak senonoh di bawah sedar. Dalam keadaan ini para pelatih dipukau ke dalam keadaan 'separuh tidur' bagi menyerap pesan ketuanan Melayu yang menjajah kesedaran mereka. Teknik ini dipelopori ahli sains Rusia, Barzakov dan Lozanoz di awal tahun 1970-an, dinamakan ’suggestopedia’ yang digunakan untuk menanam rasa takut yang mencengkam dalam diri seseorang dan kebencian mendalam terhadap orang lain.
Sejarah adalah himpunan corak rumit tata cara aturan susunan kata-kata yang saling mempengaruhi di antara teknologi, ideologi, budaya, taksiran dan proses yang melembagakannya. Sejarah tidaklah semudahnya dapat dikurangkan setakat lirik-lirik dangkal yang pernah dinyanyikan suatu waktu dahulu sebelum perang [Dunia Kedua] di Jerman dalam alunan gubahan semangat kebangsaan yang melampau.
Sejarah juga tentang kerumitan perkembangan beransur-ansur (evolusi) kelas pemerintah yang memiliki teknologi-teknologi pengawalan. Seperti kata Marx, pada setiap zaman hanya sejarah penguasa yang mengawal perkakas-perkakas pengeluaran yang akan ditulis dan ditulis kembali. Pemenang menulis sejarah, mereka yang kalah menulis puisi atau mengkaji sains kajian budaya (antropologi), keluh sebahagian orang lagi.
Kembali ke lirik tadi. Setelah 50 tahun kemerdekaan, siapakah yang menderita di Malaysia? Siapa yang menjadi kaya-raya? Siapa yang membesar dan berkembang menjadi raja perompak? Apa yang terjadi ke atas sistem kehakiman kita, universiti kita, jalan-jalan di kota kita, jaminan keselamatan awam kita, sekolah kita, anak muda kita dan keseluruhan penyusunan sosio-ekonomi masyarakat menjelang pilihanraya umum ke-12 yang lalu. Bagaimana ide ketuanan Melayu menyumbang terhadap keadaan-keadaan yang wujud hari ini?
Bahasa kuasa dan ideologi di alunkan dalam lirik tersebut. Penakrifan 'bumiputera' dimainkan. Ia menjadi kata yang bermasalah dalam era dekonstruksionisme [fahaman tentang kemusnahan makna dan pembinaannya kembali dalam bermacam ragam taksiran atas dobrakan pada makna tersebut]; menurut penyair WB Yeats suatu era dimana tiada lagi pemusatan, “pusat bukan lagi penumpuan segalanya.”
Pemuzik rock akan mengingati lagu terkenal kumpulan Scorpion, 'Winds of Change' bagi mengenang runtuhnya Tembok Berlin dan permulaan pecahnya Empayar Soviet. Kita perlu berdepan dengan 'kemarahan' kata-kata.
Tamatkan Ketuanan Melayu
Bagi umat penganut Islam di Malaysia, sabda Nabi Muhammad S.A.W ini memang biasa didengar:
'Asal usul turunanmu tidak perlu dibanggakan. Tidak juga ia membawa kepadamu keagungan. Wahai Manusia! Tuhan kamu itu esa dan dan kamu semua manusia berasal dari Adam dan Hawa. Kamu semua sama ibarat bijirin gandum di dalam cupak ... tiada yang lebih mulia dari lainnya, kecuali dalam amal saleh dan ketaqwaanmu. Untuk melihat seseorang itu dalam kekejian, mencukupi jika dia menghina orang lain dengan wang, amarah dan pembaziran....'
Saya menyatakan ketuanan Melayu merupakan gagasan berbahaya yang mengancam hubungan kaum. Ia merupakan taksiran sombong terhadap sejarah terpilih; sejarah yang memberi keuntungan besar terhadap sekumpulan orang hasil daripada penerapan ideologi ini.
Siapapun yang mempromosikan gagasan ini adalah dangkal dalam perihal perkara falsafah sejarah. Saya tidak fikir Melayu hari ini membeli ide 'ketuanan Melayu dan kediktatorannya'. Jika ada ketuanan satu-satu kaum itu, maksudnya kaum lain hanyalah 'hamba' dan 'abdi' atau 'warga kelas kedua'. Itupun kalau kita ingin menganalisa dari sudut pandang hikayat 'Tuan dan Hamba'?
Selaku orang Melayu yang ingin melihat berakhirnya gagasan layu Ketuanan Melayu dan lahirnya kesedaran baru yang menghormati martabat semua kaum dan maruah kesemua kumpulan etnik, saya menyeru warga Malaysia untuk terus bersikap kritis terhadap apa jua usaha oleh kaum manapun untuk mencanakkan gagasan ketuanan palsu mereka. Ini kerana ianya akan mencambahkan etnocentrisme [fahaman kecintaan kaum yang melampau] yang berjiran pula dengan xenofobia [fahaman kebencian terhadap orang asing].
Kita perlu bekerja sama untuk mendobrak [dekonstruk] segala bentuk susun aturan politik berasaskan kaum. Seiring dengan itu bekerja ke arah menzahirkan tata cara baru yang berasaskan kepada reka bentuk ekonomi yang lebih setara yang mengambil kira keperluaan asasi dan martabat kesemua kaum.
Kita mesti mengajar murid-murid sekolah bagaimana untuk mendobrak rasa keunggulan ketuanan kaum itu, bukan saja dengan mengajar tolak ansur tetapi kesetaraan masyarakat – melalui strategi pendidikan kedamaian. Kita akan menuai hasilnya buat generasi akan datang.
Salah seorang pengarah Centre for Policy Initiatives, Dr Azly Rahman kini bertugas sebagai pensyarah di Amerika Syarikat. Rencana A Malay view of 'Ketuanan Melayu’ boleh dibaca versi bahasa Inggerisnya di blog beliau berjudul 'Illuminations'.
No comments:
Post a Comment