Friday 5 June 2009

Nizar Fail Rayuan ke Mahkamah Persekutuan Isnin ini

Menteri Besar Perak yang sah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan Isnin ini 8 Jun, berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Walaupun masih belum menerima penghujahan bertulis keputusan Mahkamah Rayuan 22 Mei lalu yang membenarkan Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar, namun ini tidak menghalang langkah Mohammad Nizar Jamaluddin untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

"Kita masih belum menerima penghujahan bertulis daripada Mahkamah Rayuan. Walau bagaimanapun setelah berbincang dengan peguam pihak kami akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pada hari Isnin 8 Jun ini," kata Nizar.

Beliau berkata, pihaknya turut membuat keputusan memohon Mahkamah Persekutuan menggunakan panel hakim maksimum iaitu sembilan orang bagi mendengar kes itu.
Hakim Mahkamah Rayuan Md Raus Sharif sebelum ini berkata penghakiman bertulis akan dikeluarkan pada 29 Mei.

Bagaimanapun faks daripada pejabat Mahkamah Rayuan memberitahu bahawa mahkamah tersebut masih dalam proses menyediakan penghakiman bertulis tersebut menurut peguam Nizar, Leong Cheok Leng.

"Kita berharap akan menerima dokumen tersebut pada minggu ini supaya kami dapat bersedia untuk proses rayuan kepada Mahkamah Persekutuan," katanya.
"Adalah agak sukar bagi peguam saya untuk merangka soalan berperlembagaan (dalam rayuan) tanpa melihat alasan bertulis penghakiman itu.

"Bagaimanapun, kami terpaksa meneruskan juga tindakan memfailkan rayuan atas dasar perlu disegerakan (urgency) sebab kami hanya ada masa yang singkat dan tidak mahu menunggu lagi,” katanya.
Nizar mempunyai tempoh masa sebulan daripada tarikh keputusan secara lisan untuk memfailkan rayuan beliau.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang apabila Parlimen menyambung sidang 15 Jun depan.

No comments:

Post a Comment