Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia , begitulah indah dan cantik nama diberi kepada ngo yang dipanggil Pekida ini . Ianya sebuah Ngo yang ditubuhkan sejak awal 80'an lagi . Kalau tidak salah ingatan saya , dulunya Pekida adalah sebuah Ngo yang aktif mengumpul ahli dalam aktiviti - aktiviti kebajikan seperti kenduri kendara , khairat kematian dan seumpamanya ..
Sebagai anak peneroka , saya dapat lihat dengan jelas perkembangan Pekida yang cukup popular seketika dulu di kawasan - kawasan seperti Felda dan desa - desa tradisi . Walaupun sedari awal tidaklah nampak penglibatan mereka secara aktif memperjuangkan Islam dan kedaulatannya di negara ini berbanding Parti Islam Se Malaysia PAS atau lain - lain jamaah Islam yang wujud samaada lebih dulu atau seangkatan dengannya
Namun Pekida dihormati sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan yang menaungi orang melayu dan menganjurkan pelbagai aktiviti sihat yang memberi kelebihan kepada masyarakat melayu muslim .
Imej Pekida Tercemar Teruk
Malangnya akhir - akhir ini , imej yang dulunya dilihat baik dan hebat telah dikotori atau dicemari oleh beberapa insiden yang membabitkan perlakuan ahli - ahli Pekida sendiri . Akhirnya kini kedengaran orang berkata Pekida adalah Mafia Melayu , Pekida adalah Kumpulan Gengster Melayu , Pekida adalah Kumpulan Penarik Kereta dan macam - macam lagi yang tidak mencerminkan nama asal Pekida iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia .
Mungkin tidak semua ahli pekida terlibat dalam aktiviti - aktiviti yang tidak sihat ini , tetapi sesuatu perlu dilakukan oleh kepimpinan Pekida agar pertubuhan Ngo ini tidak terus dilanda keruntuhan moral dan penyelewengan akhlak .
Saya melihat Pekida sewajarnya tampil sesuci dan seindah nama yang diberi . Bergabung pula dengan Ngo - Ngo lain bagi memperjuangkan Islam dan mempertahankan maruah ummah yang kini dicela dan diperlekeh oleh musuh - musuh Islam di dalam dan luar negara .
Ketika sunnah Rasulullah saw dicabar , syariat dipersenda malah ummat Islam diperkecil , kita tertanya - tanya di mana Pekida dan ahli - ahlinya ?
Pemulihan Imej Pekida
Sebagai sebuah Ngo yang mempunyai ramai ahlinya pula matang usianya , Pekida mestilah tampil dengan wajah Islam yang jelas untuk menjadi perisai kepada ummah . Tidak hanya terhad kepada majlis kenduri kendara atau khairat kematian . Sebaliknya Pekida mestilah agerasif dengan aktiviti kebajikan ummah yang melampaui sempadan ahli sendiri dan lebih penting berdiri sebaris dengan kumpulan - kumpulan Islam seperti PAS atau lainnya untuk memperjuang dan mendaulatkan Islam di atas tanahair tercinta .
Pekida sewajarnya keluar dari imej kumpulan kaki pukul , gengster , mafia dan pelbagai imej yang negatif . Ahli - ahli Pekida mestilah dididik dan diasuh atau ditarbiyyah dengan orientasi aktiviti amal Islami berpaksi kalimah at tauhid Laa Ilaha Illallah bersesuaian dengan nama yang diberi .
Apatah lagi berpijak di atas realiti , betapa ummat melayu hari ini perlu kepada asuhan dan bimbingan yang mendorong mereka mengukuhkan Iman dan Islam mendepani cabaran yang pastinya menggugat aqidah , akhlak dan pemikiran mereka .
Tidak ada gunanya Pekida dibiarkan atau digunakan sebagai platform samseng dan kaki pukul mengumpul pengaruh lalu membina empayar meluaskan kuasa jajahan agar ditakuti dan digeruni oleh lawan . Jika inilah situasinya , ia adalah sangat jelas bercanggah dengan nama indah pertubuhan ini iaitu Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyah Malaysia .
Aktiviti Kebajikan tidak boleh dibangunkan dengan pengaruh samseng demikian juga Dakwah tentu sahaja tidak akan berjaya melalui empayar kaki pukul .
Saya yakin , kepimpinan Pekida pasti sahaja menafikan bahawa Pekida adalah pertubuhan mafia dan samseng sebagaimana juga saya berkeyakinan penuh bahawa tidak semua ahli Pekida demikian sikap mereka . Namun maksud saya ialah Pekida mesti melakukan sesuatu untuk mengikis imej buruk yang kini bermain di setiap bibir rakyat dalam negara kita .
Saya mengesyorkan agar Pekida memprogramkan pertubuhan malah mewajibkan ahlinya dengan aktiviti - aktiviti amal Islami yang lebih aktif dan terancang seperti operasi Amar Makruf Nahi Mungkar , dakwah mengedar risalah kepada sasaran yang leka dan alpa terhadap Islam , Mendalami ilmu agama dan menyertai bengkel pembinaan syakhsiyah agar lahir sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab terhadap agama dan perjuangannya .
Kepimpinan dan anggota senior Pekida mestilah juga menampilkan qudwah yang soleh . Saya percaya , melalui perwatakan yang indah , imej yang tenang , pertuturan yang sopan , penampilan yang mulia dan kepimpinan yang berkarisma akan banyak membantu Pekida membersihkan imej sekaligus menepati ikrar mereka sesuci nama pertubuhan mereka sendiri .
Saya menyeru agar Pekida turut sama menyertai atau menyokong misi besar Parti Islam Se Malaysia PAS yang mahu mendaulatkan syariat Islam di atas tanahair tercinta ini . Melalui proses pembinaan dan pembentukan Aqidah yang sohih , Fikrah yang syumul dan Akhlak yang soleh .
Kerjasama boleh dibuat bagi melengkapkan pelan pelaksanaan misi dan visi PAS menjulang kalimah Allah swt dengan orientasi Amar Makruf dan nahi Mungkar serta dakwah yang terancang di negara kita ini .
Bayangkan , sewaktu Ngo seperti Yayasan Amal Malaysia , Unit AMAL DPP dan Muslim care turun membantu mangsa musibah seperti banjir besar , tanah runtuh , kebakaran , misi kemanusiaan ke Acheh dan kini ke Gazzah turut sama disertai oleh Ngo yang bernama Pekida ini .
Terus terang saya sebut , Pekida tidak sesuai menyokong apalagi menyertai UMNO dan BN yang sangat tebal semangat perkauman dan semangat menolak perlaksanaan syariat Islam di negara ini . Sedangkan .... apa lagi kalimah yang paling tinggi selain kalimah Laa Ilaha Illallah yang diperjuangkan oleh Pekida terdahulu dan itulah juga yang diperjuangkan oleh PAS sejak ia ditubuhkan tahun 51 .
UMNO dan BN pasti sahaja mengabaikan perkara ini sebaliknya UMNO dan BN kaya dengan pelbagai mungkar dan maksiat malah melindungi dan membajainya . Selayaknya UMNO dan BN tersenarai dalam operasi Nahi Mungkar yang mesti digerakkan oleh Pekida .
Dari segi nama sudah cukup membuatkan Pekida [ Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiyyah Malaysia ] tidak layak untuk duduk sebilik dengan UMNO dan BN . Bahkan suka saya tegaskan bahawa ahli UMNO dan BN selayaknya menjadi sasaran utama dakwah Pekida untuk membimbing mereka melaksanakan tuntutan kalimah tauhid Laa Ilaha Illallah .
http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment