Thursday 2 July 2009

Usul Membahaskan Laluan Alternatif Projek Jambatan Pulau Pinang

Artikel Oleh Anwar Ibrahim

Pada hari ini saya telah mengusulkan supaya mesyuarat Dewan Rakyat ditangguhkan untuk membincangkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Saya mencadangkan:

“Bahawa Dewan Rakyat membincangkan cadangan projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang memandangkan kos projek tersebut adalah terlalu tinggi berbanding cadangan laluan alternatif yang mampu menjimatkan RM4 billion dana awam.”


Pada Ogos 2006 Kerajaan Persekutuan mengumumkan projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang di bawah Rancangan Malaysia Ke9 dan upacara perasmian pecah tanah telah disempurnakan pada 12 November 2006 [oleh Perdana Menteri ketika itu YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ia dibina oleh usahasama China Harbour Engineering Co Ltd dan UEM. Pembinaannya menggunakan laluan selatan dengan jarak 24km dengan kos keseluruhannya melibatkan RM12 billion dan dijangka siap pada pertengahan 2012.

Menurut sumber industri, saya difahamkan bahawa projek yang sedia ada ini tidak wajar diteruskan, kerana ianya melibatkan kos pembinaan yang terlalu tinggi. Saya difahamkan juga bahawa adalah lebih wajar untuk membina projek Jambatan Kedua Pulau Pinang ini dengan menggunakan laluan alternatif melalui laluan utara dengan jarak 10Km yang lebih dekat dengan melibatkan anggaran kos keseluruhan yang lebih rendah berjumlah antara RM7 hingga RM8 billion.

Berbanding dengan projek yang sedia ada, amat jelas bahawa cadangan projek laluan alternatif bagi membina Jambatan Kedua Pulau Pinang berupaya menjimatkan RM4 billion dana awam.

Berikutan itu, saya mencadangkan supaya Dewan Rakyat membincangkan perkara ini bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai permasalahan dan alasan-alasan kukuh mengapa cadangan laluan alternatif bagi pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang tidak boleh dipertimbangkan meskipun ianya berupaya menyelamatkan RM4 billion wang rakyat.

Atas perkara yang tertentu ini yang melibatkan kepentingan rakyat umum yang perlu disegerakan, saya telah memohon secara rasmi kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya usul ini dibincangkan pada hari ini.

Sekian.

ANWAR BIN IBRAHIM

KETUA PEMBANGKANG DEWAN RAKYAT

AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH

No comments:

Post a Comment