Saturday, 13 June 2009

Golongan Yang Tidak Dihisab Memasuki Syurga

Golongan Yang Tidak Dihisab Memasuki Syurga

Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

"Apabila telah datang hari kiamat, maka didatangkan 4 golongan manusia di sisi pintu syurga tanpa dihisab dan disiksa, mereka ialah ;

1. Orang alim yang mengamalkan ilmunya.
2. Seorang haji yang sewaktu menunaikan haji tidak melakukan sebarang perkara yang
membatalkan hajinya.
3. Orang yang mati syahid di dalam peperangan.
4. Dermawan yang mengusahakan harta yang halal dan membelanjakannya di jalan Allah
tanpa riya.

Keempat-empat golongan ini berebut-rebut untuk mendahului memasuki syurga, kemudian Allah memerintahkan kepada Jibrail A.S. menghakimi mereka.

Berkata Jibrail A.S. kepada orang mati syahid, "Apakah yang telah kamu lakukan sewaktu di dunia sehingga kamu hendak masuk ke syurga?"

Berkata orang yang mati syahid, "Aku telah terbunuh dalam peperangan kerana mencari keredhaan Allah."

Berkata Jibrail A.S., "Dari siapa kamu mendapat tahu tentang pahala orang yang mati syahid?"

Orang yang mati syahid menjawab,"Aku mendengar daripada alim ulama."

Berkata Jibrail A.S. lagi, "Jagalah kesopanan, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu."

Kemudian Jibrail A.S. bertanya kepada yang mengerjakan haji, "Apakah yang kamu telah lakukan di dunia dahulu sehingga kamu hendak masuk ke syurga?"

Berkata yang berhaji,"Aku telah menunaikan haji semata-mata kerana Allah."

Berkata Jibrail A.S., "Siapakah yang memberitahu kamu tentang pahala haji?"

Berkata yang berhaji, "Aku mendengar dari alim ulama."

Berkata Jibrail A.S. lagi, "Jagalah kesopananmu, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu."

Berkata Jibrail A.S. kepada penderma pula, "Apakah yang kamu lakukan sewaktu kamu di dunia dulu?"

Menjawab si penderma, "Aku telah banyak menderma semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T."

Jibrail A.S. berkata lagi, "Siapakah yang memberitahumu tentang pahala orang yang menderma kerana Allah?"

Berkata si perderma, "Aku mendengarnya dari para alim ulama."

Maka Jibrail A.S. pun berkata, "Jagalah kesopananmu, jangan kamu mendahului guru yang mengajar kamu."

Kemudian orang alim berkata, "Ya Tuhanku, tidaklah boleh aku menghasilkan ilmu kecuali dengan sebab sifat kasih dermawan dan kebaikan orang yang dermawan itu."

Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, "Telah benar kata si alim itu, bukakanlah pintu syurga supaya si dermawan masuk dahulu. Kemudian barulah orang-orang lain masuk."

Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda, "Keutamaan orang alim di atas ahli ibadah itu seperti keutamaan saya di atas orang yang paling rendah di antara kamu."

Allah S.W.T. berfirman, maksudnya, "Aku Maha Berilmu dan Aku suka kepada orang yang berilmu."

Al Hassan r.a. berkata, "Tinta para ulama itu ditimbang pada hari kiamat dengan darah orang-orang mati syahid, dan tinta para ulama akan menjadi lebih berat daripada darah para syuhada."

Rasulullah S.A.W. bersabda, "Jadilah engkau orang alim (yang mengajar) atau orang yang belajar atau orang yang mendengar (pelajaran). Janganlah engkau menjadi orang yang keempat, akan rosaklah engkau."

Orang bertanya kepada Rasulullah S.A.W., "Amal apakah yang paling utama?"

Rasulullah S.A.W. menjawab, "Berilmu tentang Allah."

Sabda Rasulullah S.A.W. lagi, "Sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan kepada keturunan anak-anak Adam lapan perkara, dan dari lapan itu empat perkara bagi penghuni syurga, iaitu:

1. Wajah yang manis dan berseri-seri.
2. Tutur kata yang bersopan.
3. Hati yang bertaqwa kepada Allah.
4. Tangan yang dermawan.

Empat perkara bagi penghuni neraka:

1. Muka yang muram.
2. Tutur kata yang keji.
3. Hati keras yang engkar.
4. Tangan yang kedekut (bakhil).


Sabda Rasulullah S.A.W., "Sendi tegaknya dunia adalah disebabkan empat perkara:

1. Dengan berilmunya para ulama.
2. Dengan keadilan orang yang menjadi pemerintah.
3. Dengan orang kaya yang dermawan.
4. Dengan doanya orang yang fakir."

Suhaimi Mohd Zahari

No comments:

Post a Comment